ALOR SETAR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kematian seorang suspek kes dadah di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di Jitra, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejadian berlaku pada pukul 5.30 pagi tadi apabila lelaki berusia 51 tahun itu ditemui menggantung diri di dalam lokap berkenaan.
“Orang Kena Tahan (OKT) itu ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 Ogos lalu hingga 10 Ogos ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pihak koroner hadir ke tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk dibedah siasat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan kes itu dijalankan di bawah Laporan Mati Mengejut (LMM) oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman.
“Sebagai langkah awal, semua anggota yang bertugas semasa kejadian akan dipindahkan sementara ke cawangan lain sehingga siasatan selesai.
“Siasatan juga akan memastikan semua arahan pentadbiran berkaitan lokap dan Kaedah-Kaedah Lokap 1953 dipatuhi,” ujarnya.
Tambahnya, pihak polis akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil kerana ia melibatkan kepentingan awam. – KOSMO! ONLINE