fbpx
ELLA genap 57 tahun pada 31 Julai lalu.

Positif, gembira kunci awet muda Ella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SATU jenama muzik yang tidak perlukan mukadimah, Ella membuktikan pelayaran bahtera kerjaya hampir empat dekad sememangnya menjadi kata kunci untuk relevansinya sehingga kini.

Kembara hampir empat dekad dalam industri muzik menyimpul rantaian suka duka membentuk siapa Ella yang dikenali seperti hari ini.

Relevan Ratu Rock negara itu tidak dapat disangkalkan lagi, apabila sehingga kini, dia sentiasa berada dalam liga tersendiri, sukar ditandingi dan tiada galang ganti.

Boleh dikatakan, penyanyi berperwatakan manja itu sentiasa ada ruang dan peluang untuk menghiburkan peminat yang tidak jemu menyokong sejak terjun dalam dunia hiburan sejak 1983.

Malah, baru-baru ini sempena ulang tahun kelahiran ke-57, pemilik nama lengkap Nor Zila Aminuddin itu mengejutkan peminat dengan pengumuman siri konsert jelajah Ella Puteri Kota yang bakal berlangsung di Pulau Pinang, 28 Oktober depan.

Meskipun kemampuannya tidak perlu dibuktikan lagi, usaha keras dan kecekalan Ella untuk terus berjuang dalam arena muzik tanah air selayaknya mendapat tabik hormat.

BERFIKIRAN positif dan sentiasa gembira. Itu jawab Ella saat ditanya tentang penampilannya yang seperti tidak dimakan usia.
– AMIR KHALID

Konsert jelajah

Berkongsi lanjut mengenai konsert jelajahnya, acara yang bakal berlabuh di Pulau Mutiara bukan sahaja atas permintaan peminat di Utara, namun lebih bermakna, negeri yang mudah disebut Penang, merupakan tanah kelahirannya.

“Kita mahu, kalau boleh bukan orang Pulau Pinang sahaja datang tapi semua orang di belah Utara tidak kira Kedah, Perlis dan sebagainya.

“Niat saya sendiri sempena hari lahir saya kali ini, saya mahu semua peminat, dari tahun pertama Ella jadi artis sampai sekarang, datang tengok konsert saya yang juga hadiah untuk mereka.

“Saya ingin peminat gembira, biarlah peminat daripada apa jua golongan sekurang-kurangnya, sekali dapat tengok konsert saya,” katanya lagi.

Tambah penyanyi bersuara serak basah itu lagi, momen yang terpateri indah ketika Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota di Axiata Arena sebelum ini menjadi pemangkin untuk meneruskan konsert di beberapa lokasi lain.

KEJAYAAN Konsert Ella Jilid Akhir Puteri Kota d Bukit Jalil, Jun menyuntik semangat Ella meneruskan jelajah konsertnya ke beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang dan Singapura.

“Saya suka dengan sambutan peminat jadi kami akan meneruskan konsert di beberapa lokasi lagi.

“Sebenarnya perancangan ini telah dilakukan awal cumanya tarikhnya sahaja yang baru kami putuskan, bila semua dah ‘lock’, hari ini saya umumkan,” jelas Ella lagi.

Penghibur kesayangan ramai itu turut mendedahkan konsert di Pulau Pinang kelak bakal menampilkan kelainan dari segi pentas, set lagu, artis jemputan, bahkan harga tiket lebih murah.

“Terdapat 50 peratus perbezaan daripada konsert sebelumnya di Axiata Arena seperti pentas 360 darjah, senarai lagu yang akan dinyanyikan, artis jemputan yang istimewa dan harga tiket yang murah,” ujarnya.

Menariknya lagi ujar Ella, susunan muzik akan dikelolakan Datuk Acis dan turut dilatari sembilan pemuzik profesional yang pastinya menyalurkan getaran lebih segar dari segi gubahan muzik bkepada penonton.

DENGAN rekaan pentas 360 darjah, penurunan harga tiket serta artis jemputan istimewa, Ella percaya peminat di Utara akan berpuas hati apabila memilih hadir ke konsertnya kelak.

Bukan gimik

Sebelum ini, pada Mac lalu Ella pernah memadam semua gambar dalam laman Instagram miliknya yang didakwa netizen sebagai gimik untuk Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota.

Dakwaan sama juga turut dilemparkan kali ini susulan kisah penularan laman Facebook Ella digodam yang dikatakan sebahagian daripada gimik siri konsert jelajah Ella Puteri Kota hujung bulan ini.

Tidak berdiam diri, isteri Kapten Azhar Ghazali itu menangkis segala dakwaan dan menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah merancang sebarang gimik seperti yang diperkatakan.

Katanya, kes berkenaan sudah dilaporkan di dua balai polis, sekali gus membuktikan isu membabitkan pihak tidak bertanggungjawab tersebut tiada kena mengena dengan promosi konsert jelajahnya.

“Tidak, Facebook saya kena godam itu bukanlah satu perancangan mahu pun gimik, dahulu saya padam gambar dalam Instagram juga bukan dirancang untuk konsert sebelum ini.

“Saya sudah buat laporan polis dan telah berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangani isu ini.

“Demi kebenaran, saya pergi dua balai polis iaitu di Ibu Pejabat Daerah Sungai Buloh dan Shah Alam atas laporan mencalarkan imej saya dengan memuat naik kandungan yang ‘bukan-bukan’ dalam paparan Facebook tersebut,” kata Ella.

Media sosial digodam, Ella nafi sengaja mencetuskan kerisauan tersebut sebagai gimik untuk melariskan tiket konsert.

Jaga kesihatan

Meniti usia mencecah lebih separuh abad, Ella tetap lincah layak wanita 20-an dan masih mempunyai kudrat untuk melaksanakan konsert jelajah yang pasti menuntut komitmen, sekali gus banyak tenaga.

Ditanya apa ‘amalan’ tertentu, Ella tertawa kecil. Merendah diri, Ella mengakui hanya melakukan rutin seperti orang biasa, senaman dan menjaga pemakanan.

“Untuk mendapatkan stamina yang baik, saya melakukan senaman secara konsisten selain sentiasa bersemangat ketika di atas pentas,”

“Saya juga jaga pemakanan, tetapi paling penting ialah kena sentiasa positif dan gembira.

“Pemakanan amat penting dan perlu teratur kerana mampu mengekalkan kesihatan yang baik untuk tubuh kita,” katanya seraya menutup bicara.

ELLA sambut ulang tahun kelahiran ke-57 pada 31 Julai lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN