Kesungguhan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bergerak secara sendirian pada pilihan raya enam negeri menimbulkan pelbagai reaksi.
Ada sesetengah pihak menganggap tindakan itu sebagai satu langkah berani kerana calon-calon yang diturunkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tidak memiliki pengalaman dalam bidang politik.
Namun, ada pula pihak yang skeptikal dengan niat Muda memandangkan mereka masih lagi bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.
Jika dilihat di atas kertas, kebarangkalian untuk Muda memenangi sebarang kerusi menentang dua blok gergasi itu sangat tipis. Ia menimbulkan persoalan apakah sebenarnya percaturan di sebalik tindakan itu.
Bagi penganalisis politik, Prof Dr. Rusdi Omar, bibit ketidakpuasan Muda sudah kelihatan apabila mereka bertanding sebagai kuasa ketiga dalam PRN.
“Mereka bertanding untuk menunjukkan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya jangan sisihkan Muda dalam Kerajaan Perpaduan.
“Suara anak muda jangan diperlekehkan kerana mereka penentu kemenangan sesuatu parti politik dalam PRN nanti. Tanpa Muda, di sebelah PH dan BN, kemampuan Kerajaan Perpaduan dalam mendapatkan sokongan anak muda boleh tergugat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Baru-baru ini, Muda mengumumkan nama 20 calon secara keseluruhan untuk bertanding pada PRN kali ini.
Sebanyak 50 peratus daripada mereka adalah wanita selain calon-calon lain yang mempunyai pelbagai latar belakang.
Daripada jumlah itu, Muda mempertaruh dua calon di Negeri Sembilan, Selangor (14), Pulau Pinang (3) dan Terengganu (1).
Pada PRN kali ini, Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan tidak akan bertanding bagi memberikan laluan kepada ahli-ahlinya untuk menimba pengalaman dan menyerlahkan kebolehan mereka dalam medan politik.
Mengulas mengenai tanggapan Muda menjadi trojan horse yang akan memecahkan undi orang muda terhadap Kerajaan Perpaduan, Dr. Rusdi menganggap ia adalah lumrah dalam arena politik.
Jelasnya, penglibatan ahli-ahli Muda yang kurang berpengalaman dalam ‘perang’ politik harus dilihat dari segi manfaat untuk jangka masa panjang.
“Ini merupakan satu-satu cara Muda menimba pengalaman politik. Untuk berjaya dalam dunia politik, Muda mesti berani tanggung risiko. Mungkin Muda tidak boleh menang kali ini, tapi tindakan ini merupakan pelaburan untuk perjuangan parti itu pada masa hadapan.
“Saya juga tidak menolak kemungkinan besar Muda akan beralih arah kepada Perikatan Nasional sekiranya Kerajaan Perpaduan tidak mengambil kisah tentang parti itu,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan hari pengundian ditetapkan pada 12 Ogos ini.














