fbpx
SOPHIA ALBARAKBAH

Sophia Albarakbah buktikan diri disayangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMPAK lembut membuatkan dirinya secara tidak langsung kelihatan mudah dibuli. Hakikatnya, pelakon jelita Sophia Albarakbah memiliki sisi kental yang sukar tergugat.

Andai si penyebar fitnah atau mereka di luar sana yang sewenang-wenangnya mengecam melewati batas, bintang jelita yang kerap dikaitkan dengan pelbagai gosip liar itu sedia melawan demi mempertahankan nasib diri.

Apatah lagi terbaharu, selain didakwa netizen kononnya sekali lagi mengganggu rumah tangga orang, kemenangan dalam Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) pula dipertikai.

Sophia nafi kini demand sebaik berjaya menggenggam trofi dalam ABP35.

Ramai sayang

Dengan hujah masih terlalu ‘hijau’ untuk layak menggondol trofi Aktres Filem Popular, Sophia dikatakan tidak setanding finalis lain iaitu Maya Karin, Diana Danielle, Janna Nick serta Ahirine Ahiruddin.

“Sebenarnya ramai tidak tahu saya ceburi lakonan bermula dengan produksi filem iaitu Mimaland bergandingan dengan Fattah Amin sekitar 2019.

“Cuma disebabkan ketika itu negara dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut menjejaskan pelbagai sektor termasuk pawagam, jadi ramai tidak perasan.

“Kemudian, saya bintangi pula filem Jerangkung Dalam Almari, Pasal Aku, Ada Hantu 1 dan Ada Hantu 2, tetapi waktu itu orang masih bimbang ‘turun’ pawagam.

“Orang lebih banyak tengok drama, mereka fikir saya dari situ tanpa tahu saya bermula dengan filem,” katanya yang ditemui di Istana Budaya, baru-baru ini.

Bersyukur kerjaya sebagai anak wayang mula dipandang banyak mata sebaik merangkul trofi tersebut, akuinya sedikit sebanyak hatinya kini kian berbunga.

Andai selama ini menyangka dibenci khalayak kerana kerap berdepan kecaman, kemenangan diraih bukti lebih ramai menyayanginya.

“Segala fitnah yang hadir bukan dari pihak teman seperjuangan, sebaliknya individu luar yang tidak tahu apa-apa.

“Jika diterangkan pun mereka enggan percaya, tetapi menjawablah nanti di sana dengan Tuhan.

“Kalau melampau sangat, memang saya akan saman. Berhati-hatilah, jangan sesuka hati melempar tohmahan

“Sekarang trofi ini juga bukti ramai sayangkan saya dan mahu saya teruskan perjuangan biar berdepan liku mencabar,” tambahnya lagi.

EMPAT
tahun dalam arena seni yang dianggap Sophia sebagai ruang untuk terus memantapkan bakat serta skil lakonan.

Tak demand

Pada masa sama, aktres berusia 30 tahun itu turut menafikan dakwaan mula demand atau meletakkan harga tinggi dengan pencapaian yang baharu diraih.

Sophia berkata, tidak pernah terlintas pun berbuat sedemikian yang dirasakan bukan lesen untuk ‘tarik’ harga kerana masih menganggap diri setahun jagung dalam arena seni.

“Siapalah saya kalau nak dibandingkan dengan aktres senior lain atau mahu letak harga tinggi. Produksi pun tahu bagaimana mahu menilai hasil kerja kita.

“Sebagai penggiat seni, anugerah diterima tentu saja suntik semangat untuk lebih bekerja keras selain memantapkan prestasi lakonan.

“Saya juga mahu mencabar diri membawakan watak berat. Beri saja karakter, saya sedia sahut cabaran,” luahnya dengan penuh semangat.

GELARAN Aktres Filem Popular membuktikan masih ramai peminat menyayanginya ketika dia berterusan dihentam segelintir netizen hanya disebabkan mainan gosip baharu.

Kekasih bangga

Dirisik soal peribadi, Sophia akui ditemani insan tercinta yang turut menjadi saksi saat dia menjulang trofi tempoh hari adalah momen sarat makna.

Katanya, lelaki yang hanya diperkenalkan sebagai Mr. Doctor itu berulang kali menyatakan dia sememangnya layak menerima gelaran berkenaan.

“Saya bersyukur peminat sukakan karya saya dan mengundi, begitu juga kekasih yang meluangkan masa menemani saya pada malam anugerah ini.

“Pastinya anugerah pertama yang saya raih selepas empat tahun berkecimpung dalam dunia seni mempunyai makna tersendiri dalam kerjaya dan kehidupan saya,” ulasnya menutup bicara.

Sophia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang andai masih ada individu cuba menfitnahnya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN