POPULARITI drama rantaian, Perempuan Itu berada di puncak apabila menjadi sebutan sejak siaran episod pertama walaupun pada awalnya, pernah menerima ‘ancaman’ untuk diboikot gara-gara kontroversi adegan panas ketika trailer dilancarkan.
Barangkali disebabkan plot atau naratif karya berkaitan isu kecurangan membuatkan penonton lupa amarah dan rasa jelik saat sedutan aksi ghairah meletus dan menjadi polemik dalam kalangan peminat.
Namun, dari yang sisi lain, naskhah arahan Isma Yusof dan Ain Sharif tersebut menaikkan nama seorang pelakonnya yang juga bakat baharu iaitu Erysha Emyra sehingga penonton mahu mengenalinya dengan lebih dekat.
Percubaan pertama meneroka arena lakonan dalam Perempuan Itu nyata menyuntik ilmu bermakna dalam kerjaya seni dan hiburan wanita berusia 24 tahun itu.
“Perempuan Itu bukan sahaja bantu melonjakkan nama saya, malah memberi input terutama dari segi skil lakonan.
“Ini platform pertama saya untuk berlakon biarpun hanya sebagai watak sampingan iaitu gadis bernama Wardah.

“Paling penting, saya banyak belajar kerana hari-hari pergi ke set dan melihat pelakon lain menjayakan babak masing-masing,” kata pemilik nama lengkap Nur Erysha Emyra Zakaria itu.
Ditanya mengenai langkah awal menjejakkan kaki ke dunia seni lakonan, kata Erysha, pada peringkat awal Erma Fatima selaku penerbit agak bimbang kerana kemampuannya sebagai pelakon masih berstatus terlalu ‘hijau’.
Hal ini kerana, anak kepada pelakon Datin Seri Noniswara itu belum pernah terlibat sebagai pelakon, selain hanya berjinak-jinak sebagai model tudung usai menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Masa dapat tawaran berlakon dengan produksi milik Erma Fatima, kami berbincang hampir seminggu dari pagi hingga petang.
“Dia agak ragu-ragu dengan bakat saya dan nasihatkan saya ambil kelas lakonan supaya tidak kekok menjalani penggambaran kelak.
“Saya sempat pergi berguru selama dua hari sebelum menjalani penggambaran. Sekurang-kurangnya ada persediaan sikit,” ujarnya lagi.
Cita-cita ibu
Melanjutkan bicara, anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu memaklumkan, langkah menginjak masuk arena seni adalah demi memenuhi impian ibunya.
Pada awalnya, Erysha berasa berat hati berikutan sifat malu dan pendiam yang menebal, namun akhirnya mengalah disebabkan ingin mencabar diri dengan perkara baharu.
“Ibu pernah cakap mahu anaknya menjadi pelakon seperti dia walaupun selama ini kami tidak membicarakan soal itu di rumah.
“Selepas habis SPM kebetulan saya menjadi model tudung dan ibu terus menggalakkan saya menceburi bidang seni alang-alang peluang di depan mata.
“Saya pula keberatan kerana agak introvert tetapi disebabkan sering berjumpa orang ketika menjadi seorang model, akhirnya saya gagahkan diri mencuba (berlakon),” kata pelakon tinggi lampai itu.
Chinta Wrong Direction
Bersama portfolio yang kuat terutama pengaruh bonda tercinta, anak kedua daripada tiga bersaudara itu mempunyai laluan mudah untuk lolos ke dalam dunia seni.
“Pengaruh ibu yang memang sudah terkenal sebenarnya memberi jalan mudah buat saya jadi pelakon.

“Itu jalan saya. Kalau orang lain harus pergi sesi uji bakat atau masuk pertandingan untuk menonjolkan diri,” katanya tersenyum manis.
Selepas Perempuan Itu, Erysha mendapat tawaran memegang watak utama dalam drama Chinta Wrong Direction arahan Hadith Omar.
“Watak Chinta sedikit berat kerana terlibat dengan penderaan mental dan fizikal oleh bapanya.
“Syukurlah saya menterjemahkan karakter Chinta dipukul semasa awal penggambaran dengan baik.
“Mudah menjiwai apa yang dialami Chinta khususnya kalau ada babak air mata,” tutup alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki itu.














