Negara baru-baru ini dikejutkan dengan tindakan jelik yang dibuat oleh sebuah kumpulan dari Barat dalam satu festival muzik.
Tindakan tersebut mengakibatkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 dibatalkan serta-merta.
Malah, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
Biarpun mengakui kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara, namun tindakan biadab kumpulan tersebut telah menyentuh sensitiviti masyarakat dan bertentangan dengan budaya masyarakat di negara ini.
Perkara tersebut turut disokong oleh pelbagai pihak, termasuk Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang menegaskan bahawa tindakan undang-undang perlu diambil terhadap kumpulan muzik dari United Kingdom itu.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Freddie Fernandez baru-baru ini.
KOSMO AHAD!: Baru-baru ini negara dikejutkan dengan insiden sebuah band dari luar negara yang melakukan aksi tidak senonoh di atas pentas. Apakah pandangan Datuk mengenai perkara ini?
FREDDIE FERNANDEZ : Sejujurnya, saya tidak pasti sama ada kumpulan yang dimaksudkan itu mahu menggunakan platform festival tersebut untuk mencipta nama mereka. Jadi, saya berharap agar mana-mana pihak tidak memberikan apa-apa publisiti terhadap kumpulan ini dan mengutuk perbuatan jijik yang dilakukan itu.
Hal ini kerana mereka bukan sahaja tidak mematuhi undang-undang negara, malah mengakibatkan banyak pihak kerugian besar. Bagi saya, kumpulan ini merupakan penjenayah yang patut didakwa.
Saya dengar ada peguam Malaysia yang mahu mengambil tindakan. Saya amat menggalakkan apa sahaja tindakan yang boleh menyusahkan hidup mereka seperti mana mereka menyusahkan hidup kita, terutamanya bagi golongan yang terkesan akibat pembatalan konsert.
Saya berharap pihak kerajaan tidak sesekali berkompromi terhadap kumpulan ini pada masa akan datang.
Sekiranya diketahui mempunyai rekod buruk, maka jangan sesekali menerima kemasukan mereka.
Pada pendapat Datuk mengapakah perkara ini berlaku? Adakah mereka tidak diberi taklimat terlebih dahulu?
Mereka sebenarnya bukan sahaja telah diberitahu, malah telah menandatangani satu surat persetujuan yang mengatakan mereka tidak akan melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang negara.
Bagi saya, mereka ini adalah orang yang tidak bermoral, tidak berprinsip serta tidak mematuhi apa yang dijanjikan.
Mereka juga saya anggap sebagai tidak mempunyai nilai dan merupakan golongan kelas rendah. Saya berharap agar tiada sesiapa lagi yang meminati mereka selepas ini. Saya tidak kenal kumpulan itu, tidak pernah mendengar lagu-lagu mereka dan tidak mahu mendengar lagu-lagu mereka selepas apa yang berlaku.
Kumpulan itu bukannya tidak tahu peraturan di negara ini, namun memilih untuk tidak mengendahkannya menerusi tindakan mereka.
Apakah tindakan pihak berkuasa membatalkan terus konsert tersebut yang dijangka selama lagi tiga hari itu tepat. Ini kerana ada peminat yang kecewa dan ramai juga peniaga menanggung kerugian?
Sekiranya kerajaan membenarkan konsert diteruskan, orang yang sudah berbuat jelik itu akan berasa mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan. Ini seterusnya mungkin akan menyebabkan orang lain merasakan mereka juga boleh buat perkara sama.
Oleh itu, saya sokong pembatalan terus terhadap konsert tersebut. Namun, bagi golongan yang terkesan seperti peniaga yang sudah pun mengeluarkan belanja besar, maka kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya membantu golongan ini.
Secara jujurnya bagaimana pendapat Datuk mengenai lambakan konsert artis dari luar negara di Malaysia ketika ini?
Saya rasa ini bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh media. Bercakap tentang artis luar, saya tidak menafikan bahawa mereka telah mencipta populariti di sini. Salah satu cara untuk mereka mendekati peminat ini adalah dengan datang membuat persembahan di sini.
Ini bukanlah sesuatu yang salah, namun bagi saya ia harus dikawal juga memandangkan berlakunya ‘cultural colonism’ daripada pemuzik luar. Pada saya, ia berlaku secara senyap supaya syarikat rakaman yang mewakili artis ini dapat menjual produk mereka.
Malah, kos untuk mempromosikan artis luar ini lebih rendah kerana syarikat yang mewakili mereka tidak perlu menerbitkan album atau klip video. Mereka hanya perlu mempromosikan sahaja.
Berbeza dengan artis Malaysia, syarikat rakaman perlu menerbitkan album dan sebagainya.
Bagi saya, kerajaan perlu memberikan sokongan kepada artis tempatan kerana ramai artis tempatan yang buat lagu, namun lagunya tidak dimainkan di radio.
Ada pihak yang sanggup menjemput artis yang terang-terangan beraliran songsang dengan budaya timur semata-mata untuk menyemarakkan ekonomi negara. Bagaimana pandangan Datuk mengenai perkara ini?
Pada pendapat saya, sokongan kepada mana-mana pihak yang beraliran songsang merupakan hak peribadi mereka.
Namun, apabila artis luar itu datang ke negara ini untuk membuat persembahan, mereka seharusnya mematuhi undang-undang dan menghormati peraturan yang ada.
Kami amat mengalu-alukan kehadiran mereka dan menghargai bakat serta muzik mereka.
Namun, jangan gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan sesuatu yang menentang budaya kita.

Pada pendapat Datuk, apakah perkara-perkara yang perlu ditambah baik bagi memastikan perkara jelik di atas pentas tidak berulang lagi pada masa depan?
Saya rasa artis luar ini harus tahu bahawa pada masa akan datang, pihak berkuasa akan lebih berhati-hati dan akan memantau setiap persembahan. Sekiranya ada apa-apa berlaku, tindakan sewajarnya sudah boleh diambil.
Jadi pada masa akan datang, mungkin kita sudah boleh memperkenalkan peraturan baharu yang mana tindakan pantas boleh terus diambil tanpa laporan polis.
Tahniah diucapkan kepada Datuk kerana sekali lagi terpilih menerajui Karyawan. Pada penggal baharu ini, apakah isu-isu yang bakal diperjuangkan oleh persatuan?
Isu pertama adalah soal royalti. Biarpun boleh dikatakan umpama anjing menyalak bukit memandangkan sudah 23 tahun, namun saya tetap memperjuangkan perkara ini dan masih belum juga selesai. Kami tidak akan menyerah kalah dan akan tetap meneruskannya. Walaupun saya melihat ia semakin sukar apabila ada pihak yang menjaga badan-badan ini, namun tidak membuat kerja dengan betul.
Jadi, saya berharap agar pihak kerajaan mengambil serius terhadap isu ini dan bertindak dengan tegas bagi memastikan hak artis terjaga.
Sekarang apa yang saya lihat bahawa ada beberapa pegawai atasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memahami perkara ini.
Saya harap mereka akan membuat keputusan terbaik bagi membolehkan semua pihak boleh duduk semeja bagi membincangkan perkara ini.
Ramai artis yang ada kontrak dengan syarikat rakaman dan lagu-lagu mereka masih lagi dimainkan di radio.
Biarpun syarikat rakaman sudah menerima royalti mereka, namun artis tidak menerima hak mereka.
Isu lain adalah hal berkaitan peluang bagi golongan anak seni tempatan muncul di radio dan kaca televisyen. Saya melihat bahawa stesen televisyen kita kurang menghasilkan program-program yang membangun untuk anak seni.
Program-program sedia ada banyak tertumpu kepada hiburan sahaja dan tiada nilai yang mampu membangunkan industri muzik tempatan. Selain itu, kami menjaga kebajikan artis yang sakit.
Sebagai contoh penyanyi, Ibnor Riza yang menghidap kanser.
Kami juga akan meneruskan program bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerusi aktiviti ‘buskers’ yang memberi peluang kepada seniman jalanan menghiburkan orang awam.
Bagi golongan artis tempatan yang bekerja di kelab pula, kami akan terus memperjuangkan hak mereka supaya tidak dianaktirikan.
Kami akan terus berusaha supaya artis tempatan dapat diberikan peluang untuk membuat persembahan supaya mereka terus bekerja dan menjana pendapatan.
Kita dapati artis tempatan sering dipinggirkan berbanding artis luar. Apakah langkah dan usaha dilakukan oleh Karyawan bagi mengatasi masalah ini?
Saya beranggapan, perlu ada satu dasar kerajaan yang menyokong industri muzik. Jika dilihat tiada dasar atau pendekatan yang diwujudkan supaya industri muzik tempatan lebih berjaya pada masa akan datang.
Ada banyak institusi yang menghasilkan graduan dalam bidang ini, namun selepas keluar mereka tiada peluang pekerjaan.
Oleh itu, kita perlu mewujudkan satu rancangan jangka panjang yang boleh membangunkan industri dan penggiat diberikan ruang mendapatkan promosi di media.
Kebanyakan promosi juga hanya dilakukan di Kuala Lumpur.
Jadi, selepas ini mungkin kita boleh buat jelajah atau ekspo yang mana artis-artis boleh pergi ke negeri-negeri lain untuk membuat persembahan.
Akhir sekali, ada pihak yang mengatakan lagu-lagu baharu sekarang tak ada ‘roh’, hanya sedap didengar tetapi tiada makna. Adakah Datuk bersetuju dengan kenyataan ini?
Ada kebenarannya dengan kenyataan tersebut kerana kebanyakan lagu yang dihasilkan kini banyak menggunakan komputer, sekali gus menjadikan ia kurang sentuhan dan inspirasi daripada jiwa.
Kebanyakan lagu dibuat hanya sekadar sedap didengar dan tiada kombinasi lirik dan melodi yang boleh menyentuh jiwa pendengar.
Jarang ada lagu baharu yang dihasilkan kini boleh didengarkan untuk satu jangka masa panjang. Mungkin ia diminati, namun tidak lama kemudian mungkin dilupakan.
Berbanding lagu zaman dahulu, banyak yang boleh dikatakan evergreen dan masih lagi diminati selama berpuluh tahun lamanya.
Namun saya akui, ada lagu-lagu baharu yang sedap didengar dan menjadikan artis tempatan mendapat jutaan ‘views’.
Namun, untuk lagu itu terus kekal dalam masa panjang dan merentasi generasi mungkin kurang berbanding lagu lama. Barangkali kerana kurangnya ‘human touch’ pada lagu-lagu baharu ini.














