MEMILIKI personaliti yang lemah lembut dan sopan dalam menutur kata, pelakon itu pernah mencuri tumpuan saat dengan membawakan watak sebagai Nadia dalam drama rantaian 7 Hari Mencintaiku.
Sejak berkecimpung dalam industri hiburan tanah air bermula tahun 2016, nama Jaja Iliyes sebenarnya agak asing bagi sesetengah pihak.
Biarpun terlibat dalam drama-drama rantaian sejak empat tahun lalu, pesonanya mendap usai setiap kali drama lakonannya menamatkan siaran.
Bukan mengharapkan api kontroversi yang barangkali mampu memarakkan sensasinya, namuan itulah namun itulah hakikat karier Jaja.
Menyimpulkan senyum seraya mengatur kata, Jaja atau nama lengkapnya Siti Hajar Iliyes meluahkan apa yang terbuku dalam jiwa.
Dia lebih rela menjadi individu yang kurang dikenali berbanding sarat kontroversi.
“Benar, populariti penting untuk seseorang kekal lama dalam industri tetapi bukan itu yang saya mahu.
“Biarpun penting tetapi saya tidak mahu dikenali hanya kerana kontroversi. Saya bimbang masyarakat akan terus salah faham tentang kehidupan sebagai anak seni.
“Khalayak seharusnya mengenali saya berdasarkan hasil lakonan. Menjadi satu kegembiraan sekiranya lakonan saya dapat memberi impak kepada peminat,” tuturnya sambil tersenyum saat menjelaskan pendekatan peribadinya dalam dunia hiburan.
Anti kontroversi
Wanita berusia 25 tahun itu berulang kali menjelaskan, dia sebenarya takutkan impak kontroversi dan berusaha sebaik mungkin bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan situasi sebegitu.
Menjadi anak seni, dia cukup sedar betapa kisah panas mudah bertebaran dan semua itu bagaikan racun yang mampu mengundang padah sekiranya tersilap langkah.
Enggan disebut menconteng arang ke muka keluarga, anak bongsu daripada tiga beradik itu rela kerjayanya berkembang perlahan meskipun banyak saingan di kiri dan kanan.

“Setiap orang mempunyai rezeki masing-masing, termasuk saya. Tiada istilah pesaing kerana kekuatan lakonan itu terletak kepada setiap individu.
“Saya tidak mahu bergantung kepada kontroversi untuk popular kerana semua itu akan menjejaskan maruah keluarga.
“Disebabkan saya bekas pelajar teater, jadi ada beberapa pensyarah akan memberi teguran sekiranya tersilap langkah,” katanya.
Jaja yang merupakan bekas penuntut Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berpegang teguh pada bidalan, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.
Biarpun tidak terlalu popular tetapi lakonan berbekas dalam ingatan penonton.
Tidak terhenti di situ, Jaja juga sentiasa mengingatkan diri tentang tujuan penglibatannya dalam dunia lakonan. Tambahan pula, dia mempunyai pendidikan profesional dalam bidang seni.
“Setiap karya perlukan keikhlasan. Insya-Allah akan mendapat hasil yang baik. Jadi, tidak perlu memaksa diri sekiranya memang bukan rezeki kita.
“Jadi saya hanya berusaha ke arah kebaikan dan kesannya juga akan memuaskan,” ujarnya seraya tersenyum.
Petaka
Asyik bercerita tentang pegangan, Jaja sempat berkongsi pengalaman saat berkongsi bingkai cerita dengan seniwati veteran terkenal, Wan Maimunah.
Tidak henti memuji keperibadian wanita berusia lebih separuh abad itu, Jaja nyata teruja atas peluang menjayakan filem bertajuk Petaka
#SyurgaIniMilikmu.
Beraksi sebaris dengan pelakon senior seperti Wan Maimunah menjadikan dirinya kerdil, sementelah masih berstatus pucuk muda dalam industri.
“Awalnya saya berasa takut dan bimbang tidak dapat memberikan mutu lakonan untuk searas dengan ibu (panggilan untuk Wan Maimunah). Syukur, ibu sangat membantu dan memberi tunjuk ajar. Dia tidak kedekut ilmu.

“Siapa tidak kenal ratu air mata filem Melayu, Wan Maimunah. Dia mudah menitiskan air mata dan membawakan watak penuh emosi secara bersahaja.
“Saya sangat kagum, saya perlu lebih banyak belajar tentang teknik lakonan terutama melibatkan naskhah berat,” ujarnya yang membawakan watak sebagai Syikin iaitu anak kepada Wan Maimunah dalam filem Petaka.
Ekoran kesempitan hidup Syikin tidak bersekolah dan menghabiskan usia remaja dengan menjaga ibu yang sedang sakit.
Filem yang dijadualkan bersiaran menerusi Astro First bermula Disember itu turut diselitkan dengan babak aksi.
Akui Jaja, selain menjiwai watak yang hidup dirundung malang, dia juga harus melakonkan sendiri babak aksi tanpa mendapat latihan profesional terlebih dahulu.
Aksi
Katanya, penerangan mengenai koreografi pertarungan bagaimana diberitahu lebih awal namun segala pergerakan dibuat secara spontan saat penggambaran dimulakan.
“Kami membuat sesi panaskan badan sebelum penggambaran kerana bimbang akan berlaku kecederaan. Tetapi babak bergaduh dan melompat dilakukan secara spontan mengikut emosi.
“Awalnya, saya agak takut tetapi dengan bantuan pengarah, pelakon berpengalaman dan kru, saya menjadi yakin dan syukur tiada sebarang kecederaan berlaku,” jelas wanita kelahiran Johor itu.
Diterbitkan Arie Zaharie Production dan AA Success Pictures, Petaka turut menampilkan Azman Ahmad memegang watak utama.
Selain Jaja, Wan Maimunah dan Azman, filem arahan Azhari Zain tersebut turut membariskan selebriti seperti Nabila Huda, PU Azman, Danish Danieal @ Coki dan Zali Shuhali.














