JAKARTA – Seorang pekerja warung kopi di Kabupaten Cianjur, Jawa Barat menjadi tular apabila wajahnya dikatakan mirip selebriti media sosial Indonesia, Anya Geraldine.
Gadis bernama Intan R Sintia Rose, 23, bekerja sambilan di warung kopi milik ibunya di Kampung Baru, Cianjur. Dia memberitahu, wajahnya dikatakan menyerupai Anya selepas dia memuat naik satu rakaman video dalam aplikasi TikTok.
“Saya merakam video TikTok itu sekadar untuk suka-suka ketika membantu ibu di warung,” katanya kepada portal Kompas.com, Khamis lalu.
“Tidak sangka ada penonton video yang mungkin tersalah pandang dan memberitahu wajah saya seperti Anya Geraldine.
Meskipun Intan tidak berasa wajahnya seiras Anya, dia menerima pujian netizen seadanya.
Katanya, Anya dikenali sebagai seorang perempuan yang berdikari, merendah diri dan rajin. Ini juga bukan kali pertama wajah Intan dikatakan iras selebriti itu.
“Kali ini menjadi tular kerana adanya media sosial,” katanya.
Gara-gara video tularnya, warung kopi Intan dikerumuni anak-anak muda yang datang untuk berbual dan minum kopi yang dibancuh oleh gadis itu.
Malah warung yang biasanya tutup pukul 9 malam itu terpaksa melanjutkan waktu operasi hingga pukul 11 malam.
Intan gembira klip videonya tular dengan harapan dapat menarik perhatian pihak tertentu bagi merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang guru.
“Sejak kecil saya bercita-cita mahu menjadi seorang guru tetapi sejak tamat pengajian, belum ada tawaran. Jadi, saya bantu ibu di warung dahulu buat sementara waktu,” katanya yang merupakan lulusan dari sebuah universiti di Cianjur. – Agensi














