LIVERPOOL – Skuad kendalian Jurgen Klopp terpaksa menerima hakikat bahawa mereka bakal kehilangan pemain pertahanan, Trent Alexander-Arnold untuk tempoh empat minggu sehingga Disember ini.
Pemain pertahanan kanan itu mengalami masalah kecederaan paha ketika Liverpool terikat 1-1 menentang Manchester City kelmarin.
Alexander-Arnold bakal terlepas aksi menentang Leicester, Atalanta dan Brighton serta mungkin belum bersedia untuk diturunkan pada perlawanan menentang Ajax, Wolves dan Midtjylland pada awal Disember.
Kecederaan tersebut juga menyebabkan pemain itu terlepas aksi antarabangsa bersama England yang akan menentang Ireland, Belgium dan Iceland pada saingan Liga Negara-Negara Eropah.
Biarpun James Milner dimasukkan menggantikannya pada aksi menentang City, kecederaan Alexander-Arnold membuka peluang kepada pemain muda, Neco Williams untuk membuktikan kemampuannya.
Pemain berusia 19 tahun itu membuat penampilan pertama musim ini ketika masuk sebagai pemain gantikan ketika Liverpool menewaskan Atalanta 5-0 pada aksi Liga Juara-Juara.
Williams juga diturunkan pada aksi menentang Lincoln dan Arsenal pada saingan Piala Liga Inggeris. – AGENSI














