fbpx
ROSSA

Kekal ‘papan atas’, Rossa pernah fikir ingin bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAI dibawa mengembara ke momen naratif kehidupan, cinta dan karier, lebih 2,000 peminat setia Datuk Seri Rossa yang berada di Zepp Kuala Lumpur Jumaat lalu ibarat dipukau dengan celoteh serta seleksi hits penghibur itu.

Sepanjang dua jam, setiap dendangan popular sejak awal bergelar penyanyi hingga buah tangan terbaharu pentas diberi judul Another Journey: The Beginning membuai rasa khalayak dengan kisah sayu bersulam momen lelucon.

Sememangnya pemilik nama penuh Seri Rossa Roslaina Handiyani itu cukup disenangi bukan hanya disebabkan katalog lagu popular, malah kemesraan dengan peminat membuatkannya terus disayangi.

AKSI penuh energetik selama dua malam berturut-turut membuktikan kelincahan Rossa sebagai seorang bintang yang memberi kepuasan kepada khalayak. – AFIQ RAZALI.

Tidak hairan apabila tiket konsert laris disambar sehingga penganjur menambah satu malam lagi iaitu pada 13 Julai bagi memenuhi permintaan.

Ingin bersara

Membuka pentas tepat pukul 8.15 malam dengan karya Aku Bukan Untukmu yang disambut sorakan penonton, penampilan Rossa nyata memancing tumpuan.

Tidak menunggu lama, Rossa terus melayangkan ucapan selamat bertemu kepada penggemarnya yang disebut Pencinta Rossa.

Lebih istimewa apabila pada malam itu beliau bermurah hati membelanja semua penonton yang duduk di bangku audiens makanan ringan iaitu hotdog.

Tampak seperti perkara biasa, namun layanan pelantun lagu Ayat Ayat Cinta terhadap peminat menunjukkan penghargaan tidak pernah berbelah bahagi.

Enggan khalayak menunggu lama, pada awal persembahan Rossa terus menghangatkan pentas dengan katalog lagu hits termasuk Jangan Hilangkan Dia yang dikatakan mempunyai kisah tersendiri.

Siapa sangka Rossa pernah terdetik mahu berundur dari dunia hiburan ketika sedang mengecap kegemilangan sekitar 2016 tanpa mendedahkan isu atau kemelut dihadapi ketika itu.

Namun, rahsia yang disimpan kemas sekian lama didedahkan di hadapan penonton apabila mendendangkan Jangan Hilangkan Dia yang juga merupakan runut bunyi filem popular Indonesia, I Love You From 38.000 Feet.

Bekas kekasih

Pada malam sama, ibu tunggal anak satu itu turut mendedahkan pernah mempunyai kekasih asal Malaysia.

“Jadi mantan (bekas) ya, itu orang Malaysia, sempat bercinta. Langsung waktu pandemik Covid-19 melanda aku bikin satu lagu.

Rossa turut mengundang bintang muda Indonesia, Mahalini berpadu suara dalam konsert Another Journey: The Beginning di Zepp Kuala Lumpur.

“Lagunya berjudul Masih. Ini aku tujukan buat dia ya. Jangan dicari (dia) di medsos (media sosial) nanti,” katanya sambil bercanda yang disambut tawa ramai.

Tidak cukup dendangan Ayat Ayat Cinta serta Atas Nama Cinta, setiap seleksi pasti dinyanyikan penonton yang turut teruja apabila beberapa judul diberi suntikan improvisasi melalui susunan muzik baharu.

Energetik

Pantas menuai reaksi, beberapa seleksi galau yang berubah kepada nuansa rancak seperti Terlalu Cinta dan Tegar yang menjadikan Zepp Kuala Lumpur berubah ke lantai tari menari.

Antara pilihan lagu lain bernuansa rancak yang menunjukkan aura energetik seorang figura yang telah mencecah usia 44 tahun itu adalah Khanti, Lupakan Cinta serta Wanita.

Tidak ketinggalan wanita berfizikal genit itu melantunkan medley atau gabungan lagu Ayat Ayat Cinta serta Atas Nama Cinta.

Bagai tiada lelah, hampir 25 lagu diperdengarkan sepanjang dua jam beraksi, Rossa juga sempat menonjolkan skil memalu gendang.

Bonus persembahan mega tersebut tentu saja bersemi dengan penampilan istimewa penyanyi merangkap komposer popular fenomena, Mahalini yang berpadu suara dengannya.

Tidak cukup dengan itu, tunang Mahalini iaitu Rizky Febian turut berkongsi pentas dengan diva itu menyanyikan lagu popular masing-masing yang menjadi siulan ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN