fbpx
AZNUREEN sahaja yang dikatakan mahir menggunting doh membentuk jerami padi dalam keluarga Aishah pada masa ini.

Karipap padi juadah tradisi berbentuk jerami atas dulang hantaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS selesai acara rewang bersama sanak saudara pada majlis perkahwinan sepupunya, wanita itu memuat naik satu video di akaun media sosial miliknya.

Video yang dirakam ialah rakaman dia bersama ahli keluarganya yang lain ketika menyiapkan satu juadah yang dinamakan sebagai karipap padi.

Siapa sangka, hantaran yang dimuat naik Alia Hamdan, 33, di media sosial itu terus menjadi tular dan orang ramai mula menyatakan minat terhadap juadah unik itu.

“Saya hanya memuat naik video proses pembuatan karipap padi itu atas tujuan suka-suka.

“Namun, saya tidak menyangka ia kemudiannya menjadi tular dan ramai yang memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama mereka melihat dan mendengar tentang karipap padi,” katanya kepada K2.

Jelas Alia, juadah itu merupakan satu juadah dipelajari dan dipelopori neneknya, Aishah Ahamad, 78, yang kemudiannya diturunkan kepada bapa saudaranya, Aznureen Abd. Rahman, 56, yang kini menjadi satu-satunya individu yang mahir membuat karipap tersebut.

Kongsi Aishah pula, karipap padi satu ketika dahulu sememangnya cukup popular sebagai salah satu juadah yang diletakkan di atas dulang hantaran.

Begitupun, ia sudah kian dilupakan, malah keluarga Aishah juga kali terakhir membuat karipap padi pada tahun 1995 sebelum dihasilkan semula baru-baru ini.

“Saya mula belajar buat karipap padi ini hampir 40 tahun lalu daripada program kemahiran wanita kelompok kecil, yang mana kami belajar membuat pelbagai jenis kuih tradisional.

“Malah, ketika itu juga, karipap padi ini cukup popular dan sering ditempah untuk dijadikan hantaran bagi majlis perkahwinan di sekitar kampung saya di Batu Pahat, Johor,” katanya.

Tambah Aishah, semasa anak-anaknya masih kecil, mereka akan memerhati proses pembuatan karipap padi itu dan anak keempatnya iaitu Aznureen cukup minat membuat juadah itu.

Juadah ini turut menggunakan inti kentang seperti karipap biasa.

Jelas Aznureen, memandang ketika itu dia sering berada di rumah, maka dialah yang menjadi pembantu ibunya untuk menyiapkan tempahan karipap padi.

“Dari situ, saya pun belajar teknik membuat karipap ini seperti teknik menggunting doh membentuk jerami padi dan teknik membakarnya.

“Kami banyak menghasilkan karipap ini sekitar tahun 1985, namun selepas itu kami berhenti menghasilkannya memandangkan ibu juga sudah tidak begitu sihat dan saya pula melanjutkan pengajian. Selepas 10 tahun, saya membuatnya sekali lagi pada 1995 bagi majlis perkahwinan salah seorang saudara kami,” kata Aznureen.

Jelas pekerja swasta itu lagi, ramai yang bertanya kepada mereka sekeluarga tentang beza karipap padi dengan karipap biasa.

Kata Aznureen, keunikan karipap padi terletak pada saiz dan teknik pembuatannya yang agak rumit dan memerlukan kemahiran yang tinggi.

“Karipap padi ini intinya sama sahaja seperti karipap biasa iaitu kentang dan juga daging, namun ia juga boleh dipelbagaikan mengikut selera. Contohnya, ia juga boleh diletakkan inti manis seperti jem buah-buahan.

“Bagi kulit karipap pula, ia sama sahaja dengan kulit pastri biasa, namun kaedah penyediaannya sedikit berbeza yang mana ketika dibancuh, kami akan membancuhnya dengan menggunakan air panas yang menggelegak supaya kulit pastri itu sudah masak elok sebelum dibakar,” katanya.

Karipap padi merupakan juadah yang sudah semakin dilupakan masyarakat.

Jelasnya, cabaran utama dalam penyediaan karipap padi adalah teknik menggunting doh untuk membentuk jerami padi. Jika salah gunting, bentuk doh tersebut akan menjadi ‘cacat’ dan corak atau bentuk bunga padi itu tidak akan kelihatan.

Selepas Aishah, Aznureen ketika ini menjadi satu-satunya individu dalam keluarga besarnya yang begitu mahir menggunting doh karipap padi itu dengan kemas.

“Doh itu perlu digunting dengan menggunakan teknik dan arah yang berbeza-beza kerana jika salah gunting, kesemua bahagian bunga padi itu akan kelihatan leper selepas dibakar.

“Ia sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi,” ujar Aznureen sambil menambah biasanya satu karipap padi sebesar satu kaki mengambil masa hampir dua jam untuk disiapkan.

Teknik membakarnya juga agak rumit memandangkan karipap padi perlu dibakar sebanyak empat kali bagi memastikan setiap lapisan doh yang diletakkan di atasnya masak dengan sempurna.

Bagi kemasan akhir pula, Aishah menjelaskan, pada zaman dahulu, ia dihias dengan menggunakan daun bawang dan hirisan cili.

Ia seterusnya akan dibungkus dan diletakkan atas dulang hantaran.

Jika lebih 30 tahun lalu, Aishah berkata dia mengambil tempahan pada harga RM50 bagi setiap karipap padi yang dihasilkan.

Namun kini, biarpun tidak mengambil tempahan secara rasmi, ramai yang sanggup membayar antara RM250 sehingga RM400 bagi setiap karipap padi yang dihasilkan kerana prosesnya yang rumit, selain tidak ramai yang pandai membuatnya.

Aishah dan Aznureen berkata, mereka berharap agar resipi sedemikian boleh diwariskan kepada generasi yang akan datang bagi memastikan kuih-kuih tradisional sebegitu tidak dilupakan begitu sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN