fbpx
NUR FAZURA

Fazura muak watak wanita berebut suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAMA mengukir nama dalam industri, Fazura tidak hanya mengangguk saat disuakan tawaran. Dia enggan tunduk digula-gulakan naratif klise dalam sebarang penglibatan lakonan.

Fazura sememangnya satu nama yang tidak perlu diperkenalkan. Populariti yang diraih sepanjang bergelar pelakon kini bersambung dalam arena perniagaan.

Memahat jenama kukuh dalam industri tanah air sebagai selebriti dalam kelas tersendiri, bintang kelahiran Pekan, Pahang itu kini fokus terhadap keluarga kecilnya, selain sibuk menguruskan bisnes.

Jarang muncul dalam televisyen menerusi drama mahupun filem kebelakangan ini nyata menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat sama ada si jelitawan itu masih berlakon atau tidak.

Apa yang pasti, isteri kepada Fattah Amin itu menyepi dalam arena seni lakonan bukan kerana tidak laku.

Dia sebaliknya masih menerima tawaran, namun memilih untuk berkata ‘tidak’ jika dihulurkan watak bersimpang daripada kemahuan hatinya.

MENCECAH usia 40 tahun, Fazura kini lebih cenderung ke arah naskhah yang memartabatkan kaum wanita.

Junjung martabat wanita

“Saya sudah lama tidak berlakon, banyak fokus bisnes. Ada tawaran tetapi kebanyakan jalan cerita hampir sama tetapi jangan risau, saya kini berlakon filem dan saya akan buat ‘comeback’ bulan hadapan untuk sebuah drama bersiri.

“Saya sangat memilih watak, kalau kita tengok drama sekarang, jalan ceritanya hampir sama, dua orang wanita berebut seorang lelaki. Saya dah muak dengan semua itu (wanita berebut lelaki), saya rasa drama sebegitu mencetuskan lebih ramai penyondol.

“Drama berebut lelaki seolah dinormalisasi sehingga menjatuhkan maruah wanita, saya dah lama berlakon macam itu dulu. Sekarang, saya nak berlakon watak ke arah memperjuangkan maruah dan martabat wanita,” katanya.

Lebih menarik perhatian, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin itu bahkan mengakui, sudah lama tidak menonton drama Melayu dek jalan cerita terlalu membosankan dan klise.

“Saya memang tak tengok drama Melayu, tak habis-habis dengan jalan cerita yang sama, semuanya seolah menunjukkan wanita sebagai insan yang lemah.

“Drama saya kelak, wataknya akan lebih menonjolkan sisi kekuatan seorang wanita yang perkasa dan bermaruah.

“Itu yang saya mahu perjuangkan dalam jalan cerita sekarang bukannya sekadar ‘cintan-cintun’ berebut lelaki,” katanya.

MEMINATI lagu berunsur ketuhanan dengan lirik mencengkam jiwa, Fazura kini berkolaborasi dengan Ahmad Dhani dalam sebuah lagu baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Lagu baharu

Enggan terlalu larut dalam topik dunia lakonan, Fazura sempat berkongsi tentang karier nyanyiannya.

Dia juga mempunyai berita gembira buat peminat setia yang sudah lama menantikan buah tangan terbaharu daripadanya.

Dalam masa terdekat, pelantun lagu Noktah itu bakal tampil dengan lagu terbaharu ciptaan sepenuhnya komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani.

Kata Fazura, lagu tersebut sudah pun dirakam dan dinyanyikan Ahmad Dhani, namun diberikan nafas baharu sebelum dinyanyikan semula olehnya.

“Ahmad Dhani janji nak buat lagu untuk saya, lagu pun sudah ada, lagu tersebut sudah lama kami rakam sebab itu lagu Ahmad Dhani sendiri yang digubah semula khas buat saya. Judul lagu tersebut ialah Jika Cinta Allah.

“Dia buat semuanya semula, tambah orkestra dan elemen muzik lain untuk kayakan lagi bunyi lagu itu malah ada ‘featuring’ dia juga.

“Ini merupakan kolaborasi pertama saya dengan Ahmad Dhani,” kongsinya panjang lebar.
Bintang Gol dan Gincu itu turut bercadang melancarkan lagu berentak islamik tersebut menjelang September nanti bersempena ulang tahun kelahirannya.

Selain itu, anak ketiga daripada empat bersaudara itu mengakui amat meminati karya-karya yang dihasilkan oleh komposer juga vokalis kumpulan Dewa 19 itu kerana semuanya sarat dengan lirik berunsur positif dan mempunyai makna mendalam.

“Saya kalau dengar lagu, memang tak dengar lagu lain kecuali lagu Dewa 19 sebab saya rasa lirik yang ditulis Ahmad Dhani amat indah dan mendalam selari dengan apa yang saya suka,” katanya.

Jika dahulu Fazura sering ditanya bila ingin menimang zuriat pertama, kini soalan sama masih menjadi topik perbualan memandangkan puteri sulungnya Nur Fatima Aisya, seperti sudah bersedia untuk menerima seorang adik.

KASIHAN melihat Fatima tiada teman bermain, Fazura dan suami bersedia untuk menimang cahaya mata kedua pada bila-bila masa.

Anak kedua

Tidak melatah walau diusulkan persoalan berbaur peribadi, Fazura tenang meluahkan keterbukaannya tidak menolak andai dikurniakan rezeki menimang cahaya mata kedua dalam tempoh terdekat.

Akui pelakon berusia 40 tahun itu, dia dan suaminya, Fattah Amin kasihan melihat anak sulung mereka, Fatima keseorangan tanpa teman bermain.

“Sebenarnya soalan tentang zuriat ini agak peribadi buat saya tetapi rezeki Allah itu saya tidak akan tolak kerana saya memang sudah bersedia menimang cahaya mata kedua.

“Ada rezeki kami terima, cuma apabila melihat Fatima tiada kawan bermain, mungkin sudah tiba masa dia punya adik,” katanya.

Bersulam senyuman, Fazura tidak menafikan mahupun mengiakan tanggapan khalayak jika ada yang menyangka dirinya membuat perancangan keluarga dalam soal zuriat.

“Doakan sahaja yang terbaik,” tutup Fazura.

FAZURA memilih untuk berkata ‘tidak’ jika dihulurkan watak bersimpang daripada kemahuan hatinya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN