fbpx
GAMBAR HIASAN

Sedih Hati Malique berhantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENYANYI rap memang berbakat besar. Baik daripada segi gubahan lirik, susunan lagu dan elemen kreatif, mereka ini golongan yang dianugerahkan dengan kebolehan semula jadi dalam menghasilkan irama unik.

Terbaharu rapper legenda, Malique muncul bersama single berjudul Sedih Hati menggabungkan suara lunaknya dengan lirik empat baris diulang-ulang yang dikatakan dinyanyikan oleh Allahyarham Mona Fendi.

Kematangan Malique dalam berkarya jelas dipaparkan dalam lagu ini. Bahasa puitis dengan pemilihan perkataan yang tersusun dan memerlukan pendengar membuka kamus untuk memahaminya harus mendapat pujian.

Kemunculan semula bekas ahli kumpulan Too Phat itu sememangnya dinantikan oleh peminatnya. Selepas bergerak secara solo, Malique atau nama sebenarnya, Cairel Adrin Ibrahim lebih banyak mendiamkan diri berbanding sahabatnya, Joe Flizzow.

Namun, diam-diam ubi berisi apabila Malique yang mencapai A-Level dalam akademiknya menggegarkan dunia seni tanah air menerusi Sedih Hati.

Dianggap sebagai pengubat rindu, rata-rata peminat rap mengakui lagu itu bukan sahaja ada auranya yang tersendiri, malah berhantu. Apa yang ingin dibincangkan dalam lagu itu ialah ia berkisar mengenai kiasan halus ditujukan kepada pihak tertentu yang menggunakan taktik kotor demi mencapai cita-cita mereka.

Perkataan seperti deteriosasi, egotistikal, teatrikal, ruwaibidhah dan kakistokrasi sememangnya sukar difahami tetapi sengaja dipilih supaya ia sesuai dengan ritma lagu dan memaksa pendengar melakukan ‘kerja rumah’ untuk mencari maksudnya.

‘Salam dari warga kemurungan’ antara contoh lirik yang dinukilkan dalam lagu itu bagi menyampaikan maksud suara hati pihak tertentu mengenai apa yang mereka rasakan ketika ini.

Kalau diperhatikan, rapper di seluruh dunia seperti Tupac Shakur atau Rage Against The Machine sendiri menyampaikan ketidakpuasan hati mereka melalui lagu.

Lirik-lirik yang penuh dengan maksud tersirat mewarnai lantunan irama dengan suara dan ton yang penuh jiwa. Setiap kali mendengar lagu rap tulen, kita tidak akan dapat menangkap maksudnya jika hanya melihat pada tersurat tanpa membuat analisis dan membaca komen atau pendapat pendengar lain yang mempunyai pandangan mereka tersendiri.

Apapun, penulis merasakan single terbaharu Malique ini dikeluarkan tepat pada masanya dengan apa yang berlaku di negara kita ketika ini.

Kadar dasar semalaman, tukaran ringgit, kos sara hidup, perebutan kuasa dan tekanan perasaan seolah-olah memaksa luahan suara marhaen diperdengarkan melalui saluran lebih santai tetapi berkesan. Lebih parah apabila ada pihak tertentu tanpa kita sedari menjarah keringat kebanyakan orang melalui taktik licik dengan menawarkan sesuatu melalui kontrak yang kabur.

Kesimpulannya, muzik adalah universal yang boleh bertindak untuk menghibur, berjenaka, menegur dan mendidik. Hilang legenda, pasti akan ada penggantinya cuma lambat atau cepatnya sahaja.

Kalau tidak, masakan tiba-tiba muncul adik Cinta Suci Indah Urmila yang dikatakan suaranya mirip ratu rock negara, Ella. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN