fbpx
Norizan bersama kucing pedigree dari baka Sphynx, manakala Sylvia bersama kucing baka Maine Coon.

Kucing pedigree bersusur galur keturunan jelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSIS golongan bangsawan, kucing pedigree (dibiak secara terkawal) memiliki susur galur keturunan yang jelas dan didaftar secara rasmi.

Kucing-kucing terlibat dibiakkan secara khusus untuk mendapatkan ciri fizikal dan tingkah laku tertentu.

Pembiakan kucing pedigree berdaftar dikawal secara teliti dan perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh persatuan-persatuan yang berdaftar dengan World Cat Congress (WCC).

Antaranya seperti Cat Fanciers’ Association (CFA), The International Cat Association (TICA), Fédération Internationale Féline (FIFe) dan World Cat Federation (WCF).

Sijil yang dikeluarkan mengandungi butiran seperti nama kucing, baka, warna, jantina, maklumat keturunan dan nombor pendaftaran. Antara baka yang telah mendapat pengiktirafan daripada organisasi tersebut adalah Sphynx dan Maine Coon.

Sphynx merupakan baka kucing tidak berbulu, berkulit berkedut dan bertelinga besar, manakala Maine Coon adalah kucing baka asli Amerika Utara bersaiz besar.

Bagi Sphynx, bakanya terhasil daripada proses mutasi genetik semula jadi apabila seekor kucing domestik berbulu pendek Kanada melahirkan anak kucing botak pada 1966.

Norizan bermain dengan Rose pada pertandingan CFA International Cat Show di pusat beli-belah 3 Damansara, Petaling Jaya, Selangor. – SADDAM YUSOFF

Melihat fenomena unik tersebut, pembiak haiwan mula melakukan uji kaji pembiakan selama beberapa generasi bagi melihat sekiranya genetik mutasi tersebut stabil.

Proses itu dilakukan bagi mendapatkan ciri-ciri baka yang diingini dan meluaskan kumpulan gen, sekali gus menghasilkan baka kucing tahan lasak.
GC, DW Purpur Caprice Rose of Perdana merupakan seekor kucing betina berbaka Sphynx yang berusia setahun setengah milik pasangan Norizan Mahmud, 41, dan Muhammad Hafidz Rahmat, 43.

Memiliki corak ‘dilute calico’ pada kulitnya, Rose yang bersaiz medium dibeli daripada pembiak di Russia pada tahun lalu.

Rose merupakan salah seekor daripada lapan ekor kucing baka Sphynx milik pasangan tersebut yang didaftar di bawah nama Perdana Cattery.

Turut memegang peranan sebagai salah seorang ahli majlis baka CFA, Norizan berkata, kepentingan membeli kucing memiliki sijil adalah untuk menjaga ketulenan sesuatu baka yang dibiakkan.

“Dengan adanya program pedigree ini, pembiakan dapat dilakukan secara terkawal.

“Ini dapat mengelakkan berlakunya inbreeding (pengawanan sesama keluarga).

“Pemilik juga dapat tahu latar belakang kucingnya dan ciri-ciri yang akan terhasil daripada keturunan kucing itu nanti,” katanya yang turut memiliki 25 ekor kucing baka Sphynx dan British Shorthair.

Berkongsi pengalaman menjaga kucing baka Sphynx, Norizan menjelaskan, terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan sekiranya ingin memiliki kucing baka itu.

“Walaupun tidak berbulu, namun kulit Sphynx berminyak dan boleh menyebabkan daki melekat pada fabrik.

“Jadi, suhu bilik ideal untuk Sphynx adalah sekitar 24 darjah Celsius. Tidak terlalu panas, tidak terlalu sejuk.

“Dari segi diet, perut Sphynx sangat sensitif dengan makanan yang tinggi kandungan protein.

“Ini akan menyebabkannya mengalami cirit-birit,” katanya.

Sijil perakuan berstatus pedigree yang diiktiraf oleh CFA milik Rose.

Rose merupakan salah seekor daripada empat kucing milik Norizan yang dipertandingkan pada CFA International Cat Show di pusat beli-belah 3 Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Untuk rekod, CFA merupakan pertubuhan yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada tahun 1906.

Sehingga kini, terdapat 45 baka kucing yang diiktiraf CFA dengan 42 daripadanya layak dipertandingkan untuk meraih gelaran terbesar best of the best pada hujung tahun.

Salah seorang pemilik kucing Maine Coon, Sylvia Chen, 23, berkata, dia memelihara baka berkenaan kerana bentuk fizikalnya yang besar dan berperwatakan lincah.

Ujarnya, kucing yang dibeli daripada pembiak dari Thailand pada harga sekitar RM8,000 itu diberi nama Momo.

MOMO mempamerkan aksi lincah ketika sesi pengadilan pada pertandingan CFA International Cat Show.

Dia berkata, baka tersebut dibeli kerana ia boleh menyertai kategori kucing bulu panjang pada pertandingan bertaraf antarabangsa.

Memiliki warna ‘silver patch’ dengan corak ‘tabby’, Momo merupakan seekor kucing betina yang memiliki sijil daripada WCF.

Menurut Sylvia, penjagaan kucing baka Maine Coon memerlukan lebih perhatian pada aspek bulunya.

“Saya sering sikat bulunya sekurang-kurangnya dua kali sehari. Ini bagi membantu agar bulunya tidak kusut dan bergumpal. Dari segi pemakanan, saya berinya makanan gel untuk atasi masalah hairball.

“Untuk diet lain, saya baginya daging mentah pada sebelah malam supaya dapat memenuhi keperluannya sebagai kucing bertubuh besar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN