BERMULA sebagai pempengaruh media sosial bersama konten gaya berani mati apabila hanya menutup payu dara atau bahagian intim lain dengan bunga, replika ular hinggalah hiasan-hiasan kecil, kini sepotong nama Uorfi Javed semakin menyerlah di Bollywood.
Berjinak-jinak dengan dunia media sosial pada usia seawal 17 tahun nyata dengan pantas mengharumkan nama gadis itu dalam platform digital biarpun kerap menuai kecaman atas keberanian penampilan seksi.
Langkah yang dimulakan sejak tujuh tahun lalu membawa tuah kepada gadis kelahiran Uttar Pradesh, India itu yang hidupnya dilingkungi adat budaya sopan selain dikelilingi mereka yang kental menganut agama Islam.
“Inilah saya yang sebenar. Tidak hipokrit kerana saya lebih selesa jadi diri sendiri tanpa dikongkong orang sekeliling,” katanya yang engggan terlalu mengambil pusing tanggapan sekeliling.
Dalam satu wawancara, pelakon televisyen itu secara sinikal mengatakan individu yang melempar cacian adalah pelayar utama laman sosial peribadinya.
“Lucu bukan? Orang mengutuk dan melabel saya dengan bermacam gelaran termasuk wanita tiada maruah, tetapi hakikatnya mereka yang paling banyak masa melihat gambar atau video saya.
“Ironi bukan? Tetapi itu adalah kenyataan, cuma netizen enggan mengakuinya sedangkan ada bukti menerusi komen masing-masing,” luah gadis bertubuh genit itu.

Diugut bunuh, rogol
Atas keberanian itu, Uorfi juga pernah membuat laporan polis apabila menerima pelbagai ugutan termasuk yang terbaharu sekitar tiga bulan lalu.
Dia mengatakan seseorang telah meninggalkan ancaman mahu membunuhnya atas alasan gaya provokatif dalam berpakaian didakwa terlalu memualkan masyarakat dan memalukan India.
“Setiap orang ada pilihan untuk tengok atau tidak. Jika tak suka jangan lihat, bukan memberi ancaman,” luah gadis berusia 25 tahun itu.
Begitupun, itu bukan ugutan pertama diterimanya apabila akhir tahun lalu Uorfi mendedahkan mendapat surat ugutan seorang lelaki yang mahu merogolnya.

“Semua ini menakutkan, tetapi saya yakin individu seperti itu hanya berani di belakang sahaja sekadar mahu menakutkan-nakutkan,” tambahnya.
Ditahan polis Dubai
Dalam rancak berkongsi mengenai kesalahan orang yang membencinya, Uorfi sebenarnya pernah ditahan pihak berkuasa Dubai atas kesalahan berpakaian menjolok mata.
Biarpun tidak menghebahkan insiden yang berlaku sekitar awal tahun ini, perkara tersebut meningkatkan lagi darjah kebencian netizen terhadapnya.
Dicop biadab dan tidak menghormati undang-undang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), sumber mendakwa dia ditahan untuk siasatan, namun dibebaskan.
Begitupun, dalam keghairahan masyarakat menabur kutukan, ironinya sebilangan selebriti wanita popular seakan-akan meniru keberaniannya.
Gaya berani jadi ikutan
Antaranya Nia Sharma, Neha Bassin hingga Nikki Tamboli yang didakwa semakin berani menunjukkan tubuh seksi mereka berbanding awal kemunculan mereka.
Mendedahkan lagi sisi gelap keluarganya, peserta program realiti Big Boss itu mengakui pernah lari dari rumah gara-gara dipukul bapanya disebabkan fitnah.
Ketika usianya 17 tahun, heboh di perkampungannya mengenai khabar angin, kononnya dia terbabit dalam filem lucah.
Keadaan tersebut berpunca daripada gambar seksinya yang dicuri pihak tidak bertanggungjawab dan kemudian dimasukkan ke laman lucah tanpa pengetahuannya.

Susulan dianggap memalukan keluarga, Uorfi dipukul teruk bapanya yang mendorong dirinya meninggalkan kampung yang dianggap toksik itu ke bandar bersama seorang saudara.
Sambil belajar, Uorfi mengambil upah mengajar kelas tambahan untuk kanak-kanak sehingga mampu meneruskan pengajian di kolej mengambil jurusan komunikasi.














