fbpx

Terapi hormon bantu wanita menopaus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANITA menopaus masih boleh menjalani kehidupan dengan penuh keyakinan.

BERBICARA tentang menopaus, hal tersebut akan berlaku pada setiap wanita apabila tiba masanya.

Menopaus adalah satu fasa dalam kehidupan yang diselubungi misteri, terutama dalam kalangan wanita muda yang selalunya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan atau apa yang perlu dilakukan apabila fenomena semula jadi ini berlaku.

Pengarah Perubatan IMU Healthcare yang juga Profesor Obstetrik dan Ginekologi, Prof. Dr. Nazimah Idris berkata, kita perlu bercakap mengenai perkara ini lebih awal lagi sebelum wanita mencapai menopaus supaya mereka lebih bersedia dan kurang bimbang mengenainya apabila ia berlaku.

Menurutnya, ramai wanita yang dijumpainya berharap mereka tahu lebih awal apa yang dapat dilakukan supaya boleh lebih bersedia.

“Memandangkan setiap wanita pasti akan mengalaminya, maka anda sepatutnya memasuki fasa kehidupan ini dengan lebih berpengetahuan.

“Secara asas, menopaus berlaku apabila ovari wanita berhenti menghasilkan telur dan putus haid.

“Dari segi perubatan, menopaus disahkan apabila wanita itu tidak datang haid selepas satu tahun,” kata Dr. Nazimah.

Tambahnya, secara amnya, ia berlaku di antara usia 45 dan 55 tahun dan purata usia menopaus global ialah 51.4 tahun, dengan lima peratus wanita mengalami menopaus awal di antara usia 40 and 45 tahun.

Sebelum menopaus berlaku, wanita akan melalui satu peringkat dinamakan perimenopaus, yang lazim berlangsung selama empat ke lima tahun.

Pada masa ini, adalah normal bagi wanita mengalami haid yang tidak teratur yang mungkin termasuk pendarahan lebih banyak dan ini termasuklah kitaran haid yang jarang atau melangkau.

Ini disebabkan perubahan dalam sistem endokrin wanita yang membawa kepada penurunan paras estrogen dan ini selalunya disertai rasa hangat panas (hot flash) dan kemerah-merahan pada kulit, emosi berubah-ubah, sukar tidur dan kekeringan faraj.

DR. NAZIMAH

Selain itu, ia turut sebabkan wanita menjadi pelupa, kurang bertenaga dan penurunan libido yang apabila bersekali dengan kekeringan faraj, boleh membawa kepada kurang berminat kepada seks dan hubungan intim.

Apabila menopaus berlaku, gejala-gejala tersebut menjadi lebih teruk dan boleh berlarutan selama lima tahun lagi.

Jelas Dr. Nazimah, umumnya, keseluruhan proses itu boleh mengambil masa kira-kira 10 tahun dan ia satu tempoh yang lama untuk wanita menangani gejala-gejalanya, jika ia mengganggu kehidupan harian.

Terangnya, sebagai contoh, kira-kira 80 peratus wanita alami rasa hangat panas, yang jauh lebih serius daripada rasa panas melebihi kebiasaan.

“Rasa hangat panas ini boleh menjadi teruk, dengan gelombang haba yang kuat terutama pada waktu malam, tidur akan terganggu dan menyebabkan kerengsaan atau kesukaran menumpukan perhatian.

“Isu ini boleh ditangani dengan terapi hormon, tetapi hanya 30 peratus yang benar-benar telah pergi mendapatkan rawatan. Mungkin kerana sama ada mereka tidak tahu wujudnya rawatan itu, atau mereka lebih sukakan remedi semula jadi di rumah,” ujarnya.

Mengulas tentang terapi hormon, Dr. Nazimah memberi jaminan bahawa secara umumnya ia boleh diterima dengan baik dan sangat membantu melegakan rasa hangat panas dan antara lainnya meningkatkan kualiti tidur, kekeringan faraj dan inkontinens urinari (ketidakupayaan mengawal pembuangan air kencing).

Rawatan hormon ada pelbagai jenis dan doktor akan mengesyorkan jenis rawatan berdasarkan keperluan individu, selain bergantung kepada sejarah keluarga.

Pilihan adalah termasuk pemberian tablet untuk melegakan gejala keseluruhan atau krim topikal untuk mengurangkan kekeringan faraj.

“Pihak doktor akan mengesyorkan tablet yang mengandungi kedua-dua estrogen dan progesteron, yang mana masing-masing membantu melegakan gejala dan melindungi rahim.

“Bagi wanita yang sudah menjalani histerektomi (prosedur membuang rahim), satu rawatan yang hanya mengandungi estrogen seperti tablet atau cincin faraj akan dicadangkan.

“Ada juga sejenis ubat yang dikenali sebagai tibolone yang membantu mengurangkan risiko osteoporosis, yang berkait rapat dengan kekurangan estrogen,” kata Dr. Nazimah.

Kebanyakan wanita boleh menerima rawatan terapi hormon, kecuali mereka yang menghidap barah payudara, berpenyakit hati, tromboembolisme (penyekatan pembuluh darah oleh gumpalan darah beku) dan penyakit jantung kerana secara umumnya ia dianggap selamat buat wanita sihat.

Pun begitu, wanita sakit kronik pun boleh menerima rawatan tersebut selagi mana mereka terurus dengan baik.

Dalam pada itu, Dr. Nazimah menerangkan, menopaus menandakan peringkat baharu dalam kehidupan setiap wanita dan boleh diterima dengan penuh keyakinan.

Menurutnya, ini bermakna berakhirnya episod sakit senggugut dan pendarahan, kurangnya kemungkinan pertumbuhan pelvik dan tidak perlu risaukan kemungkinan hamil atau menggunakan alat pencegah kehamilan.

“Selain itu, anda boleh meneroka cabaran baharu sementelah anak-anak pun sudah dewasa dan akan bersara tidak lama lagi. Malah, kehidupan seksual yang sihat juga masih boleh dinikmati semasa menopaus,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI