PETALING JAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd. Radzi Jidin menafikan dakwaan bahawa Pusat Khidmat Masyarakat Putrajaya Care menolak orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan ke Pejabat UMNO.
Radzi berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Kata Radzi, beliau amat menghormati Tengku Adnan sebagai bekas Ahli Parlimen Putrajaya dan veteran dalam politik selain mengambil pendekatan untuk merendah diri serta tidak menyentuh apa-apa tentangnya.
Namun, katanya, Tengku Adnan perlu menerima kekalahan dengan hati terbuka dan tidak perlu menabur fitnah.
“Hari ini, saya dimaklumkan Tengku Adnan memuat naik hantaran di Facebook menyatakan apabila ada orang nak bertemu wakil rakyat Putrajaya, alasan dari pegawai suruh ke Pusat Khidmat Masyarakat UMNO.
“Cukup-cukuplah. Fitnah ini mudah di mulut tapi tidak mudah untuk dijawab di hari pengakhiran. Kalau ingin menongkat langit untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), bertandinglah secara sihat,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.
Mengulas lanjut. Radzi berkata, Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim masih belum menjelaskan bayaran kos guaman sebanyak RM50,000 seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.
Sebelum ini, Ahmad Faisal memfailkan satu petisyen untuk membatalkan keputusan (PRU15) bagi Parlimen Putrajaya atas alasan belaku sogokan kepada pengundi, namun telah ditolak mahkamah.
“Mohon Ahmad Faisal segerakan bayaran RM50,000 kepada saya. Sepertimana saya sebut, setiap sen daripada wang tersebut akan saya salurkan kepada Putrajaya Cara.
“Kepada Tengku Adnan, cukup-cukuplah memfitnah. Carilah damai di hati,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE