PERCERAIAN bukan lagi perkara asing di negara ini memandangkan isu itu kerap kali ‘dibincangkan’ masyarakat secara terbuka, terutama di media sosial.
Jika di media sosial, sudah tentu ia membabitkan selebriti dalam dunia hiburan tanah air.
Kes-kes perceraian artis menjadi bahan bualan paling hangat oleh netizen dan peminat dalam industri tersebut, meskipun ia sebenarnya tidak enak didengar.
Secara realitinya, isu perceraian ini bukan hanya dihadapi oleh golongan itu, tetapi juga menjadi masalah membelenggu masyarakat secara keseluruhan.
Ia dibuktikan dengan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan iaitu seramai 43,934 kes perceraian direkodkan pada 2021 di seluruh negara berbanding 47,272 kes pada tahun sebelumnya.
Walaupun mencatatkan penurunan sebanyak 7.1 peratus, ia tetap menunjukkan satu kadar perceraian yang tinggi dan membimbangkan.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, penurunan kes mungkin disebabkan oleh penutupan Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil dan Jabatan Pendaftaran Negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac 2020 hingga 21 November 2021.
Katanya, penutupan itu menyebabkan jumlah kes yang boleh dikendalikan mahkamah terhad berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menyentuh tentang pasangan muda yang bercerai pula, statistik Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2022 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan pada November tahun lalu itu menunjukkan lebih 23,000 pasangan muda bercerai.
Peguam syarie, Farah Diyana Azhar berkata, beliau banyak mengendalikan kes perceraian membabitkan pasangan muda.
“Jika dalam saman dan pernyataan tuntutan kes, alasan biasanya diletakkan sebagai tiada persefahaman, namun di sebalik itu, ada pelbagai faktor iaitu masalah kewangan, hubungan orang ketiga dan campur tangan keluarga.
“Pasangan muda ini biasanya mempunyai masalah kewangan menyebabkan mereka terpaksa menetap di rumah keluarga, ia menjadi isu apabila ada ahli keluarga yang mengganggu hubungan suami isteri tersebut,” katanya.
Selain itu katanya, pasangan muda juga kurang matang selain tidak mempunyai ilmu rumah tangga mencukupi menyebabkan mereka mudah melafazkan cerai
“Ada juga kes perceraian disebabkan pasangan menagih dadah dan mengamalkan hubungan sejenis,” jelasnya.
Justeru, katanya, pasangan muda yang ingin mendirikan rumah tangga perlu memastikan mereka berkemampuan daripada segi kewangan, selain bersedia daripada aspek kerohanian, ilmu agama dan rumah tangga.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Pertubuhan Ibu Tunggal Malaysia (MPITM), Murtini Kasman berkata, mengikut rekod, rata-rata pasangan muda bercerai disebabkan masalah kewangan.
“Namun, kita melihat kebanyakan ibu tunggal muda ini akan berkahwin semula dalam tempoh setahun hingga dua tahun selepas perceraian,” katanya.
Tambahnya, pasangan muda dinasihatkan agar membuat pertimbangan dan persiapan sepenuhnya sebelum berkahwin, selain perlu mengenali hati budi pasangan dan keluarganya.
“Golongan itu juga perlu mengukuhkan pengetahuan agama termasuk berkaitan institusi keluarga,” katanya.














