fbpx
SOPHIA LIANA

Sophia Liana introvert, berguru dengan Malique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JALUR muzik Sophia Liana kian kental. Nuansa muzik rap membuatkan anggota De Fam itu teruja dapat berguru dengan penyanyi hip hop dan komposer tersohor, Malique sekali gus menyerlahkan sisinya sebagai penggubah lagu rap.

Tampak tegas dan lincah atas pentas, namun hakikatnya Sophia seorang yang introvert atau sukar bergaul sehingga dilabel segelintir pihak sebagai sombong.

Mengakui sukar mengikis sikap pemalu walau hampir sedekad bergelar penyanyi rap, wanita berusia 32 tahun itu berharap tiada sesiapa tersilap sangka dengan personalitinya itu.

Kata Sophia, dua rakan seperjuangan, Azira Shafinaz dan Cik Manggis mempunyai karakter yang sungguh jauh berbeza berbandingnya.

Sophia atau nama sebenarnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri berkata, Azira sememangnya seorang wanita mudah mesra, sementelah Cik Manggis dikenali dengan sikap ramah.

Saling melengkapi

Akuinya, personaliti berbeza yang ketara dianggap sebagai pelengkap yang menjadikan De Fam serta persahabatan mereka istimewa.

Malah katanya, sikap pemalu menyebabkan dirinya lebih banyak melakukan tugasan belakang tabir termasuk menggubah lagu.

SOPHIA tidak akan meninggalkan De Fam yang sudah dianggap sebahagian daripada ‘nyawa’ untuknya terus berada dalam arena muzik. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

“Saya bukan sombong, cuma kalau wawancara dengan media pun saya minta Azira atau Cik Manggis yang bercakap.

“Sebab bila dah ‘panas’ saya boleh rancak (bercakap).
“Apa pun karakter berbeza inilah yang membuatkan kami akrab sekali gus menjadikan De Fam saling melengkapi,” katanya.

De Fam kekal utuh

Melihat perjalanan kumpulan yang bersatu sejak 2015 itu, Sophia mengakui, bahawa setiap ahli De Fam memang rancak dengan karier solo masing-masing.

Azira dan Cik Manggis atau Nurshazwani Shamsuddin ligat di arena lakonan, manakala dirinya kental sebagai rapper solo selain terbabit dalam penciptaan lagu jingle atau iklan.

Walau masing-masing sukses bergerak sendiri, jauh di sudut hati, De Fam tetap berada di tangga teratas.

“Keutamaan kami adalah De Fam. Itu janji awal kerana kerjaya seni kami juga bermula secara berkumpulan dan itulah nadi kami bertiga.

“Jika kebetulan ada undangan mahu pun projek berkumpulan, kita ketepikan perkara lain demi kelangsungan kumpulan ini.

SOPHIA mengakui dirinya lebih introvert dan pemalu berbanding dua lagi anggota kumpulan De Fam.

“Tidak mungkin De Fam terkubur. Dalam mana-mana kumpulan pun, projek solo hanya sampingan,” katanya yang menghasilkan single bersama De Fam berjudul Berubah tahun lalu.

Berguru dengan Malique

Berkongsi perjalanan karier, Sophia mengakui bertuah apabila mendapat perhatian ikon hip-hop tempatan, Malique yang menyuntik semangat untuk berkarya.

Dedah anak kelahiran Ipoh, Perak itu, fasa pandemik membawa angin peralihan dalam mencipta lagu rap sebaik dihubungi anggota Too Phat itu.

Terkejut dan teruja bercampur baur, daripada panggilan telefon akhirnya mereka dapat bertukar fikiran dan ilham penciptaaan lagu dan lirik.

“Saya pun terkejut apabila dihubungi Malique, tetapi berikutan fasa pandemik kami banyak berkongsi idea dalam telefon.

“Apabila kelulusan bekerja mula dibuka, baru dapat ke studio dan dari situ, saya makin rancak hasilkan lagu sampailah sekarang. Kiranya Malique guru saya,” luahnya

Buat ‘jingle’

Begitupun, Sophia belum bersedia untuk menyerahkan karyanya kepada penyanyi rap lain kerana merasakan waktunya belum tiba.

Sebaliknya, figura yang sebelum ini menyerlah dengan lagu Supergirl bersama De Fam fokus terhadap penerbitan lagu iklan atau jingle.

“Sebenarnya kalau setakat nak bagi serangkap dua seni kata ‘rap’ untuk sesebuah acara mahu pun program televisyen saya sedia.

SOPHIA bersyukur menjadi satu-satunya penyanyi rap wanita yang menandatangani kontrak dengan Def Jam Malaysia sekali gus merealisasikan penerbitan lagu Nah.

“Untuk sebuah karya penuh mungkin belum lagi sebab kebanyakan garapan ciptaan sendiri lebih sesuai untuk diri saya atau De Fam.

“Tambahan pula buat masa ini saya giat dengan pembikinan lagu jingle yang juga harapan untuk masa depan saya untuk lebih serius dengan cabang bisnes ini,” tambahnya.

Nah lagu sarat mesej

Membina jenama sendiri, Sophia Liana yang juga satu-satunya rapper wanita di bawah label syarikat, Def Jam Malaysia kini tampil dengan lagu baharu berjudul Nah.

Nah ciptaan bersama Navigator, Mambang dan Zizi Kirana berkisar isu dalam masyarakat yang berkaitan menuding jari atau menyalahkan orang lain.

Terdahulu, cubaan bergerak dengan projek solo lima tahun lalu menyaksikannya menjalin kolaborasi dengan ramai penyanyi termasuk Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha, Budak Ngam dan Harith Zazman.

“Saya berharap Nah mendapat sokongan daripada pendengar di luar sana. Saya faham bukan mudah bersaing sekarang namun ini adalah perjuangan saya,” getusnya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN