HARI INI, kira-kira 8 juta rakyat Malaysia menanti penuh senyum, pasti ada yang asyik memeriksa akaun bank masing-masing. Ia berikutan wang Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang akan dikreditkan kepada mereka bermula hari ini.
Ini adalah bayaran kali ketiga yang diawalkan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha. Setiap daripada mereka akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 mengikut kelayakan.
Alhamdulillah rezeki bagi yang layak. Sudah pasti di saat berdepan kos sara hidup ini dengan serba serbi barang naik harga selain peniaga mengeluh kekurangan pelanggan, STR sedikit sebanyak pastinya melegakan.
Apa yang pasti, penerimanya sudah tentu merencana macam-macam perkara dengan duit berkenaan, daripada membeli barangan masakan untuk menyambut raya korban termasuk menyimpan untuk kes-kes kecemasan.
Apa yang penting belanja secara berhemah. Biar sedikit janji dapat. Begitu juga belia dan golongan pelajar yang akan memohon E-Tunai Belia Rahmah mulai hari ini. Apabila berjaya, jangan boros.
Kepada ibu bapa, simpan sedikit untuk membeli buku latihan anak-anak.Jika lebih simpan untuk bayaran anak ke kelas tambahan. Silibus kini ‘maha’ tinggi, anak-anak tadika sudah belajar kata nama am, khas, malah matematik sehingga darab.
Bagi anak-anak darjah dua sudah ditanya ayat tersirat dan tersurat, belum lagi perumpamaan dan sebagainya. Seingat penulis dulu darjah 5 atau 6 baru kita didedahkan dengan soalan-soalan begitu.
Matematik budak sekolah rendah juga boleh tahan soalannya, panjang dan berbelit untuk difahami.
Melihat situasi ini anak-anak masuk darjah satu tidak lagi boleh merangkak tetapi terus berlari laju. Lambat akan ketinggalan. Begitulah acuannya sekarang.
Sebenarnya di usia sebegitu kemahiran membaca, mengeja dan mengira perlu diasah sebaiknya sehingga lancar dan tiada masalah.
Umum mengetahui, kritikan terhadap tahap silibus mata pelajaran di sekolah rendah bukanlah perkara baharu cuma sehari dua ini ia kembali hangat.
Bukanlah mahu menangguk di air keruh tetapi realitinya yang terpaksa dihadapi adalah kemerosotan semangat belajar anak-anak apabila di usia muda perlu mengerah otak biarpun belum menguasai sepenuhnya yang asas. Silibus biarlah seiring dengan umur.
Jangan sampai hilang minat seterusnya kita bakal menyaksikan pertambahan bilangan yang gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Seorang pakar memaklumkan adalah mustahil calon SPM gagal Bahasa Melayu melainkan dia tidak tahu mengeja atau membaca.
Jangan diabai 93,647 calon SPM yang gagal mendapat sijil peperiksaan dalam tempoh dua tahun sejak 2020.
Tarik dan bimbinglah golongan ini, kita tidak mahu mereka hanya bekerja di sektor gig tetapi pelapis barisan menteri. Duit bukan segala-galanya tetapi segalanya perlukan duit. -KOSMO! ONLINE














