fbpx
AMIR juga sering menyanyikan semula lagu-lagu penyanyi lain yang dikongsi dalam Instagram dan YouTube miliknya. Hobi sebegitu dianggap sebagai cara mengasah vokal setiap hari. – AMIR KHALID

Dahulu kosong, kini berisi – Amir Masdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Gemilang gelaran juara Akademi Fantasia 2016 (AF2016) sahaja nampaknya tidak mampu mempertahankan kuasa bintang Amir Masdi.

Lima tahun memburu tempat terbaik dalam radar perhatian peminat, jejaka itu melalui rentak sukar. Jarang sekali kadar bacaan momentum kariernya memacu laju, banyak kali juga bakatnya terlindung dek bayang suram. Jika ada yang masih ingat, sepotong nama Amir diperkenalkan menerusi kelibat lelaki bertubuh kecil namun memiliki suara besar.

Di pentas yang pernah melahirkan nama-nama popular itu, Amir belajar untuk mencari jati diri menjadi siapa Amir Masdi ketika ini.

Sayangnya, gelaran nombor satu tidak pernah termaktub sebagai hal yang pasti untuk membuatkan Amir kekal konsisten dengan populariti.

Lima tahun melalui pahit manis dan turun naik sebagai anak seni, adakalanya dia dipandang sepi.

 

 

MASIH dalam proses pembikinan, satu hari nanti Amir berharap dapat melunaskan impian peminat dan diri sendiri untuk berkolaboratif dengan rakan seperjuangan, penyanyi Sharul Kamal.

 

Hakikatnya, pemilik nama lengkap Amir Syazwan Masdi itu mengakui tiada istilah terlambat untuk mengejar apa yang telah tercicir.

Cuma, apa yang sentiasa memenangi hatinya ialah rasa syukur di sebalik momentum perlahan pacuan seninya.

Tercicir di belakang mengajar hatinya untuk kental menongkah ilmu dan cabaran industri.

“Sewaktu masuk ke dalam industri atas tiket AF2016, saya memang tiada ilmu sebagai penyanyi. Apa yang ada cuma bakat. Ketika itulah saya perlahan-lahan belajar mengenal dunia industri secara berperingkat.

“Andai kata ketika itu populariti mencanak naik tanpa ada ilmu sebagai pendamping, kemudian saya jatuh terduduk sekelip mata. Keadaan itu lebih menyakitkan sebenarnya daripada apa yang saya lalui sekarang,” ujarnya kepada Pose semasa fotografi baru-baru ini.

Mendalami kata-kata pemuda berusia 24 tahun itu, jelas dia memaknai prinsip enggan lukisan hidupnya terlihat kosong.
Baginya, ilmu ialah warna yang akan menentukan hala tuju hidupnya kelak.

Jalan lurus

Meskipun merentas masa yang sedikit panjang, perlahan-lahan namanya kembali menjadi sebutan.

Semuanya gara-gara kemunculan Amir dalam program realiti Immortal Songs sekitar September lalu yang membawakan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah nyanyian asal Ratu Rock Ella.

Hampir mencatat sejuta tontonan dalam laman YouTube, rata-rata komen tentang mutu persembahan pelantun lagu Puas itu berbaur positif. Ada juga yang mengungkapkan rasa kagum bercampur sesal, memandangkan sebelum ini mereka tidak pernah mempedulikan kehadiran penyanyi itu.

 

KERAP diminta peminat untuk tampil bersama band sendiri untuk memacu kariernya pergi lebih jauh, namun buat masa ini Amir masih selesa bergerak solo.

 

Ditebak dengan situasi yang meletakkan posisi dirinya sunyi daripada perhatian peminat, sedikit pun tidak pernah terbit rasa kecewa di atas pundak lelaki itu. Amir ampuh berdiri di atas garis realiti.

“Saya akui memang tidak cukup popular. Kelompok peminat yang kenal saya pun masih kecil. Hidup saya belum lagi sampai ke tahap, kalau mana-mana, semua orang kenal.

“Sebenarnya, perasaan saya lebih ke arah tidak sangka bahawa ada orang baharu kenal saya selepas menyertai program tersebut.

“Ingatkan peminat. Terkejut jugaklah sebenarnya, tetapi saya bersyukur dengan komen membina,” tuturnya.
Umpama menanti bulan jatuh ke riba, perjalanan lima tahun dalam industri mahu dibawa terbang tinggi. Kini bulan benar-benar jatuh di atas ribanya.

Lagu nyanyian Amir berjudul Kau Sakiti yang dicipta oleh Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong, Romeo dan Mage berjaya meloloskan penyertaan dalam kelompok 30 buah lagu ke peringkat Semi Final Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35).

“Sudah tentu saya mengharapkan kedua-dua lagu Kau Sakiti dan Asmara layak ke final tetapi semuanya berbalik kepada soal rezeki. Dapat masuk satu pun sudah cukup kira besar rahmat.

“Sepanjang menjadi penyanyi, setiap tahun saya ada hasrat untuk melepaskan diri ke pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu.
Alhamdulillah saya kira ini adalah peluang besar. Saya akan gunakannya sehabis baik,” kata Amir yang menyandarkan harapan untuk melangkah
ke pentas AJL kelak.

Giliran Amir untuk membuat persembahan pada pentas SFMM35 jatuh pada hari kedua iaitu 21 November ini.

Tanggungjawab

Bicara Amir kemudiannya terheret tentang perjalanan seni yang terlihat perlahan, tambahan pula dengan keadaan semasa yang masih berdepan pandemik Covid-19, semua itu sebenarnya berhubung kait.

 

BINTANG ollywood, Harry Styles merupakan inspirasi Amir daripada banyak aspek terutama segi muzik, fesyen dan personaliti

 

Jujur anak kedua daripada empat beradik itu mengakui situasi yang melanda negara hampir 10 bulan berperang dengan musuh ‘ghaib’ memberi kesan buat dirinya.

Apatah lagi ketika ibu sudah tidak bekerja, si ayah pula dirundung duka apabila menjadi antara yang terpaksa diberhentikan kerja oleh majikan. Dua adiknya pula masih belajar.

Kini, Amir menggalas tanggungjawab menyara keluarga. Cuma ketika ini pendapatan terjejas gara-gara acara hiburan seperti persembahan tidak dapat dilakukan seperti kebiasaannya.

“Tertekan juga sebab membayangkan masa depan yang tidak tahu bagaimana. Sumpah, emosi saya memang terganggu apatah lagi tanggungjawab besar yang sedang menanti.

“Tetapi, syukurlah Covid-19 tidaklah membuatkan saya sampai ke tahap kemurungan cuma lebih kepada tekanan yang berat. Pada usia 24 tahun, saya tidak boleh ambil tanggungjawab sebagai perkara yang menyusahkan.

“Daripada mengeluh, saya perlu pikul tugas ini dengan hati terbuka. Saya perlu merancang masa depan bergantung pada situasi semasa. Dalam kepala saya, sudah ada sesuatu untuk dilakukan,” ujarnya yang kali terakhir mengadakan persembahan bertemu peminat pada pertengahan Januari lalu.

Berdamai dengan takdir, Amir mendepani hari mendatang dengan minda yang positif.

Tiada pernah timbul istilah sesalan memilih haluan bergelar anak seni. Bagi penyanyi muda berpotensi besar itu, kegilaan terhadap bidang muzik adalah hal paling dicintai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN