fbpx
TOYOTA Hilux GR Sport menggunakan rim bersaiz 18 inci serta tayar berukuran 265/60.

Hilux GR Sport, model pikap dengan ciri-ciri prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UMW Toyota Motor (UMWT) pada Februari lalu telah melancarkan Toyota Hilux GR Sport sebagai varian tertinggi bagi pikap mereka.

Varian baharu yang menumpukan ciri-ciri prestasi mengikut tanda nama GR yang ada pada model pikap itu.

Sebanyak tiga warna ditawarkan seperti Super White II, Attitude Black Mica dan Crimson Spark Red Metallic.

Penulis berpeluang memandu uji model itu baru-baru ini.

Model pandu uji berwarna Super White II ini menggunakan enjin sama dengan varian Rogue.

Toyota Hilux GR Sport hadir dengan gril hadapan baharu yang lebih ‘sporty’.

Enjin turbo diesel empat silinder 1GD-FTV 2.8 liter itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 204 PS pada 3,400 rpm dan tork tertinggi pada 500 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm.

Sistem transmisi automatik enam kelajuan yang ada pada model ini turut ditawarkan bersama pedal shifter.

Penulis difahamkan ini merupakan varian pertama Toyota Hilux yang menawarkan ciri-ciri pedal shifter. Barulah rasa mantap!

Model ini juga dilengkapi sistem pacuan empat roda separuh masa, pembezaan gelinciran terhad automatik, kunci pembezaan belakang dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC).

Sistem suspensi sukan dengan monotube damper untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih mengujakan dan kestabilan lebih baik, di samping memberikan keseimbangan optimum.

Pada bahagian luaran model ini, varian GR Sport mendapat gril hadapan baharu yang lebih ‘sporty’ lengkap dengan logo GR.

Sebelah sisi pula, ‘overfender’ telah ditambah dan warnanya dipadankan dengan badan, cermin sisi serta bar sukan yang berwarna hitam.

Pikap ini menggunakan rim bersaiz 18 inci dengan reka bentuk unik untuk GR Sport serta tayar berukuran 265/60.

Di sebalik rim hadapan terdapat angkup brek yang dicat merah dengan logo GR.

Pada bahagian belakang tiada banyak perbezaan kecuali pelekat warna kelabu, hitam dan merah serta logo GR.

Masuk ke bahagian dalam, Toyota Hilux GR Sport hadir dengan tempat duduk hadapan yang berbeza dengan mana-mana model Hilux sebelum ini.

Tempat duduk hadapan ala buket itu menggunakan material gabungan kulit dan suede serta sulaman logo GR pada bahagian kepala.

TOYOTA Hilux GR Sport dilengkapi meter Optitron dengan aksen merah serta animasi
alu-aluan GR.

Stereng dengan balutan kulit juga lengkap dengan garisan merah, masuk tanpa kunci dan menghidupkan enjin, pedal sukan aluminium, butang hidup enjin GR, meter Optitron dengan aksen merah serta animasi alu-aluan GR.

Elemen-elemen yang ditawarkan ini sudah cukup untuk menaikkan ‘mood sukan’ ketika memasuki pikap ini.

Seperti varian Rogue, GR Sport didatangkan dengan rangkaian sistem Toyota Safety Sense yang merangkumi Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC) serta Lane Departure Alert (LDA) dengan Yaw Assist.

Sejarah model Hilux GR Sport ini bermula selepas kejayaan Toyota dalam perlumbaan Rali Dakar.

Ia adalah wajar untuk Toyota memberikan lambang GR pada model Hilux.

Model ini juga hadir bersama sistem telematik kenderaan (VTS) yang dipasang sebagai ciri standard.

RUANG belakang Toyota Hilux GR Sport sangat luas.

Ia bertujuan membolehkan pengesanan kedudukan kenderaan dalam masa nyata menggunakan isyarat penentu kedudukan global (GPS).

Kesimpulan yang penulis lihat pada model ini adalah tawaran Toyota untuk model pikap dengan varian lebih ‘sporty’.

Pengenalan model ini memberi lebih pilihan kepada orang ramai jika ingin memiliki pikap.

Kepercayaan kepada jenama Toyota yang terkenal dengan ketahanan dan lasak mungkin satu kelebihan.

Bagaimanapun, cita rasa setiap orang adalah berbeza, tepuk dada tanya selera, seluk poket dan buat keputusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN