fbpx

Pelajar 11A kematian ibu dapat 10 tawaran belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Syahril (tengah) bersyukur apabila menerima banyak tawaran menyambung pengajian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis, Bachok semalam. – KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

BACHOK – Pelajar cemerlang, Muhammad Syahril Saidi, 18, yang memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 meskipun menjaga arwah ibunya yang terlantar sakit menerima lebih 10 tawaran untuk menyambung pengajian dan biasiswa.

Muhammad Syahril berkata, dia tidak pernah menyangka akan menerima banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang ingin membantunya untuk me­nyambung pengajian diperingkat menara gading.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan tidak menyangka akan menerima tawaran yang tidak putus-putus daripada pelbagai pihak sehingga saya sendiri tidak tahu untuk memilih tawaran yang sesuai.

“Setakat ini, saya menerima tawaran untuk sambung pengajian dan biasiswa termasuk daripada Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara), kerajaan negeri, dan beberapa universiti awam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis di sini semalam.

Muhammad Syahril memberitahu, setakat ini, dia masih belum membuat sebarang keputusan dan akan berbincang bersama keluarga termasuk guru bagi memilih tawaran yang sesuai untuk menyambung pe­ngajiannya.

Bagaimanapun katanya, jauh di dasar hati, dia berhasrat untuk menyambung pengajian ke luar negara dalam jurusan yang berkaitan dengan Bahasa Arab.

“Sebelum ini, saya ingin belajar di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana ingin menjaga ibu yang sakit, tetapi saya tangguh dulu.

“Selepas kematian arwah ibu, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, perancangan saya mungkin berubah selepas mendapatkan pandangan keluarga dan guru yang lebih berpengalaman,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah.

Dalam pada itu, Muhammad Syahril berkata, kejayaannya pada SPM 2022 baru-baru merupakan berkat sokongan daripada seluruh ahli keluarga dan sanak saudara yang sentiasa membantunya.

“Tanpa dorongan mereka, saya pasti tidak mampu untuk menghadapi situasi ini seorang diri,” jelasnya.

Pelajar ini mendapat perhatian ramai apabila memperoleh keputusan 11A dalam SPM walaupun menjaga ibunya yang terlantar sakit saraf.

Selepas tiga hari keputusan cemerlang itu, ibunya menghembuskan nafas terakhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI