fbpx

Liga Super: JDT tewaskan TFC yang beraksi dengan 9 pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain TFC, Sony Norde (tengah) diasak keras oleh pemain JDT, Arif Aiman pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.

KUALA NERUS – Jaringan berkelas dunia dan dua layangan kad merah menghiasi aksi Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memihak kepada skuad Harimau Selatan 3-1 sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan JDT terus unggul dengan rekod bersih 100 peratus kemenangan manakala TFC kekal di kedudukan ketujuh dengan mengumpul 20 mata daripada 14 perlawanan.

Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, TFC terlebih dahulu menguji Ahmad Syihan Hazmi di kubu JDT hasil rembatan jarak dekat Sony Norde minit ke-17 yang tinggi melepasi sasaran.

Penjaring terbanyak Liga Super, Fernando Forestieri kemudian memukau penonton di stadium apabila bola sepakan guntingnya dari luar kotak yang menerjah jaring untuk gol pembukaan minit ke-21.

Seminit berselang TFC cuba melawan apabila bola hantaran Argzim Redzovic singgah di kaki Engku Nur Shakir Engku Yaacob namun kuisan pemain tengah itu gagal menewaskan penjaga gol.

Sang Penyu akhirnya berjaya mengikat jaringan 1-1 pada minit ke-28 hasil sepakan percuma Norde dari jarak jauh sekali gus membawa TFC kembali dalam permainan.

Kedudukan itu tidak bertahan lama setelah Bergson Da Silva menyudahkan sepakan penalti berpunca kekasaran ke atas Arif Aiman Hanapi dalam masa tambahan babak pertama.

Nasib malang menimpa TFC setelah Redzovic diarah keluar padang pada minit ke-52 sebelum nasib sama dialami Ivan Mamut (m-74) untuk tuan rumah beraksi sembilan pemain.

JDT kemudian cuba menambah luka Sang Penyu malangnya sepakan percuma Juan Muniz serta percubaan Forestieri dan Oscar Arrivas menuju hujung permainan tersasar.

Sebelum tambahan masa lima minit ditiupkan pengadil, Endrick Dos Santos menyudahkan peluang terhidang sekali gus memastikan kemenangan mutlak 3-1 buat JDT. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI