fbpx
ANNA JOBLING

Anna Jobling elak bikin onar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

POPULARITI luar biasa yang diraih pelakon muda, Anna Jobling gara-gara naskhah Melur Untuk Firdaus ternyata tidak sia-sia.

Kelebihan membina pengaruh dan mempesona peminat di negara seberang digunakan oleh pelakon berusia 22 tahun itu sebaik mungkin untuk melebarkan kerjaya seni di Indonesia.

Dia bakal berkampung di Bali, Indonesia selama enam minggu untuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri untuk laman penstriman atau Over-The-Top (OTT), MNC TV.

“Drama itu bukanlah cinta semata-mata, kerana untuk platform OTT genrenya lebih bebas. Watak pun saya belum tahu, apa yang pasti ceritanya menarik. Cuma ini adalah tawaran ketiga daripada produksi Indonesia yang saya terima.

“Sebelum ini dua tawaran terpaksa saya tolak kerana terikat dengan jadual penggambaran drama Melur Untuk Firdaus 2. Saya anggap itu bukan rezeki dan kali ini masanya benar-benar sesuai,” ujar Anna yang ditemui pada majlis Blooming Night With Anna Jobling baru-baru ini.

Meskipun menjadi projek pertamanya dengan produksi Indonesia, Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman yakin bahawa kerjasama tersebut bakal membuka pintu rezeki yang lebih luas untuknya di sana.

“Saya pasti apabila bekerja dengan produksi Indonesia saya akan mengenali lebih ramai orang dan pasti akan ada tawaran-tawaran lain selepas ini,” tutur Anna.

ANNA bakal berkampung di Bali demi penggambaran sebuah drama untuk siaran platform digital di Indonesia.

Jaga batas, sensitiviti

Sambung Anna, dia amat bersyukur dengan peluang dan kepercayaan yang diterimanya daripada produksi seberang kerana sedar bukan semua selebriti Malaysia bernasib baik sepertinya.

Malahan, dia juga tidak berasa berada di tahap yang berbeza berbanding pelakon tempatan lain hanya kerana dia berpeluang berlakon di Indonesia.

“Saya masih Anna yang dahulu, rasanya tidak ada yang berubah, saya pun masih terima tawaran daripada penerbit di sini. Saya bukannya berpindah terus ke Indonesia, tetapi berulang-alik antara dua negara.

“Sebenarnya di Malaysia kita ada ramai pelakon berbakat dan hebat, cuma mereka tiada peluang untuk ke seberang sahaja. Saya bertuah dan bersyukur kerana mendapat peluang seperti ini,” luah Anna.

Meskipun diterima dengan tangan terbuka di Indonesia, seperti mana umum tahu industri seni di sana agak ‘berani’ berbanding Malaysia.

Lihat sahaja drama-drama seberang, kebanyakan babak panas atau bersentuhan yang tidak dibenarkan tayangan menerusi televisyen Malaysia adalah sesuatu yang ‘normal’ untuk industri lakonan di sana.

ANNA bersedia berdepan cabaran lebih besar untuk mengembangkan sayap kariernya.

Bercakap tentang perkara tersebut, Anna sedar bahawa tanggungjawab tergalas di bahunya cukup besar.

Selain menjaga nama baik Malaysia, dia juga harus menjaga diri daripada terpalit daripada sebarang kontroversi yang memalukan.

“Saya akui industri seni di sana agak berbeza, Malaysia lebih konservertif dan sopan, manakala Indonesia lebih terbuka. Tetapi saya berjanji tidak sesekali lupa diri bahawa saya pelakon dari Malaysia.

“Sejak awal saya telah berpesan kepada pihak pengurusan supaya lihat skrip dan watak terlebih dahulu sebelum menerima sebarang tawaran. Mereka mesti berbincang dengan saya terlebih dahulu.

“Sebagai pelakon saya mempunyai pendirian tersendiri, saya tidak mahu apabila sampai di sana, saya terpaksa melakukan kerja atau melakonkan babak yang tidak saya suka dan selesa,” tegasnya.

ANNA Jobling menganggap usia muda masa paling tepat digunakan sebaik mungkin untuk mencari harta dan mengejar impian.

Duta kecantikan

Selain lakonan, rezeki Anna di Indonesia semakin mencurah-curah apabila turut dilantik sebagai duta produk kecantikan dan kosmetik popular di sana iaitu MS Glow.

“Saya agak terkejut apabila mendapat tawaran ini kerana produk kecantikan dan kosmetik MS Glow memang agak popular di sana.

“Sebagai pelakon Malaysia yang baru hendak memasuki pasaran di Indonesia, diberi kepercayaan sebegini membuatkan saya benar-benar terharu,” kata Anna.

Kongsi Anna lagi, disebabkan jadual kerja yang begitu padat, dia tidak langsung mempunyai waktu rehat.

Namun begitu, Anna tidak mengeluh sebaliknya menghargai setiap kesibukan kerja dengan penuh rasa syukur sementelah dia sendiri suka bekerja.

“Memang saya tidak mempunyai masa sendiri atau bercuti panjang. Kalau ada masa rehat saya akan gunakan untuk tidur sahaja.

“Kesibukan mambuatkan saya berasa seperti sudah berusia 30 tahun walaupun baru 22 tahun. Tetapi jika diberi pilihan sama ada berehat atau bekerja, saya akan pilih kerja,” ujar wanita cantik itu.

BIARPUN bakal melangkah membina nama di Indonesia, Anna kekal dengan pendirian siapa dirinya sebagaimana diamalkan sepanjang karier di tanah air sendiri.

Berjimat

Bukan tamak sehingga mengabaikan waktu rehatnya semata-mata demi kerja, tetapi bagi Anna, usia muda adalah waktu yang sesuai untuknya bekerja mengumpul harta dan impian.

Sungguhpun pendapatannya semakin bertambah, Anna suka suka berjimat cermat sejak dahulu masih mengekalkan sikapnya yang tidak boros dalam berbelanja.

“Saya memang mempunyai sasaran harta yang diinginkan, sebelum ini saya telah beli kereta cuma lesen memandu masih dalam proses (ketawa).

“Selepas ini impian terbesar saya adalah membeli rumah secepat yang mungkin, selebihnya saya lebih suka menyimpan.

“Sebenarnya, sejak dari dahulu saya bukanlah jenis boros dalam berbelanja, jika ada duit lebih saya akan simpan. Saya tetap Anna yang dahulu, saya akan rasa membazir jika membeli barangan yang tidak diperlukan,” kongsi Anna.

Dalam pada itu, bercerita tentang pencalonan dalam Anugerah Bintang Popular, Anna menyerahkan rezeki kepada peminatnya.

“Saya yakin peminat saya akan melaksanakan tugas mereka dengan baik. Sebelum ini sudah terbukti menerusi kemenangan dalam Anugerah MeleTOP dan Anugerah Drama Sangat.

“Apa sahaja keputusannya, saya tetap akan bersyukur dengan sokongan peminat,” tutur Anna menutup bicara.

Kredit foto: Winston Gomez / Mask Team
Penata gaya: Ruth Caroline Sembiring
Aksesori: by @leciel.design , shirt, skirt & hat @patrickowenofficial
Busana: Tajaan @stevenhuang_official

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN