fbpx
KUMPULABN D'MASIV

Malam galau D’Masiv

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA dekad melayari bahtera perjuangan di arena seni suara yang sarat pancaroba sentiasa mengingatkan D’Masiv supaya meletakkan nilai persahabatan di tangga teratas bagi memastikan kelangsungan band tersebut.

Berbeza pendapat, kecil hati dan rajuk adalah perkara biasa dalam persahabatan apatah lagi dalam kalangan sekelompok individu yang sudah berkawan rapat sejak lama.

Kumpulan popular Indonesia, D’Masiv tidak terkecuali berdepan situasi serupa walaupun band kesayangan ramai itu sudah menginjak usia 20 tahun penubuhan.

Biar saling mengenali isi hati anggota sekumpulan, mereka bagai sebuah kabinet kerajaan yang setiap perincian atau keputusan tetap dibincangkan bersama-sama.

SELAIN memikat penonton dengan persembahan nyanyian bertenaga dan membelai emosi Rian selaku vokalis cuba ‘membeli’ jiwa penonton di Malaysia dengan bercakap dalam bahasa Melayu.

Lepak warung

Bagi vokalisnya, Rian atau Rian Ekky Pradipta, 36, saling ambil berat menjadi kunci keutuhan D’Masiv untuk mempertahankan kebersamaan sejak ditubuhkan sekitar 2003.

“Kami suka berkumpul di warung tepi jalan untuk menjamu selera sambil berbual-bual pasal kerjaya mahu pun kehidupan disebabkan suasana yang santai.

“Dari dahulu, itu memang rutin kami. Beramai-ramai pilih warung tepi jalan yang enak, kemudian makan dan bercerita apa saja. Itu yang membuatkan kami rapat.

“Kiranya D’Masiv kukuh kerana tiada rahsia antara kami. Jika tidak puas hati, luahkan dan kita selesaikan sama-sama. Kami bukan lagi sahabat, tapi bersaudara,” katanya ketika ditemui HibGlam sehari sebelum konsert D’Masiv Road To The World di Malaysia, minggu lalu.

Selain Rian, D’Masiv yang diterbangkan Neptune Presents ke Kuala Lumpur turut dianggotai Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

Mendominasi Zepp Kuala Lumpur selama dua malam pada Jumaat dan Sabtu lalu selepas tiket hari pertama licin dalam tempoh 48 jam, pentas dibuka dengan penuh bertenaga bersama lagu Di Bawah Langit Yang Sama.

Seisi gelanggang berprestij melompat riang dapat bertentangan mata dan mendengarkan nyanyian secara langsung band kesayangan mereka.

D’MASIV menunjukkan tenaga yang luar biasa kerana dapat menyampaikan dan melengkapkan kesemua 26 lagu pada malam kedua konsert.

Biarpun sudah memasuki hari kedua membuat persembahan, D’Masiv tetap mengekalkan energi padu membawakan 26 lagu termasuk Natural, Cinta Sampai Di Sini dan Aku Percaya Kamu.

Bagai dikatakan Rian sewaktu wawancara, repertoire persembahan menggamit memori sedari awal mereka berjuang yang turut memenuhi permintaan kelompok peminat muda.

Selepas seleksi keempat, vokalis serba lincah yang bagai tiada lelah itu menyapa sekitar 2,000 penonton yang memenuhi Zepp Kuala Lumpur.

“Aku kira malam ini akan sepi tetapi ternyata ramai sekali yang hadir menyaksikan persembahan kami,” selorohnya.

D’Masiv mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua penonton dan peminat yang sudah menjadi bahagian dalam perjalanan muzik mereka selama dua dekad ini.

Usikan

Pada masa sama, celoteh tersebut merupakan penghargaan daripada kumpulan muzik Indonesia itu kepada peminat Malaysia yang memberikan sokongan padu buat mereka.

Konsert diteruskan dengan penyampaian lagi Kau Yang Tak Pernah Tahu, Tak Punya Nyali, Salah Paham, Dengarlah Sayang, Ilfil, Sebelah Mata dan Lukaku.

Enggan membiarkan malam larut tanpa jenaka mahu menyampaikan persembahan biasa, D’Masiv menyelitkan usikan semasa menyanyikan lagu Lukaku.

Mereka meletakkan gambar pemain bola sepak Manchester United iaitu Lukaku pada latar belakang untuk memaklumkan judul lagu mereka.

Mata khalayak tertumpu kepada imej yang ditunjukkan pada latar belakang D’masiv tanpa memberikan fokus kepada nyanyian mereka.

Memasuki babak berikutnya, D’Masiv menukar mood muzik kepada akustik dengan lagu Sudahi Perih Ini, Apa Salahku dan Jangan Menyerah.

Mereka memberikan yang terbaik untuk menyempurnakan malam D’Masiv Live In KL dan meneruskan paduan tenaga dalam Side By Side, Esok Kan Bahagia, Hapus Aku dan Pergilah Kasih.

Ikut perancangan awal, bekas vokalis Nidji iaitu Giring sepatutnya naik pentas menyampaikan lagu Hapus Aku.

Namun, disebabkan masalah yang tidak boleh dielak, Giring hanya menyaksikan persembahan kumpulan lelaki itu bersama-sama penonton lain.

RIAN bersyukur dapat mengumpul peminat muda yang turut memberikan sokongan padu terhadap perjuangan D’Masiv.

Galau

Pentas semakin hangat apabila D’Masiv memasuki babak akhir iaitu menyampaikan seleksi lagu galau yang sangat popular suatu ketika dahulu.

Ingin Lekas Memelukmu Lagi, Di Antara Kalian, Rindu Setengah Mati dan Tak Bisa Hidup Tanpamu antara karya yang berjaya bikin peminat larut dalam kesedihan.

Diteruskan lagi dengan persembahan Merindukanmu, Semakin dan Diam Tanpa Kata untuk membuai perasaan penonton, terutama sekali bagi yang mengalami konflik cinta.

Cinta Ini Membunuhku menjadi lagu yang ditunggu-tunggu oleh Masivers (peminat D’Masiv) kerana liriknya dan melodi yang sungguh ikonik.

Semua penonton diminta untuk membuka lampu elefon bimbit untuk membantu impak ‘galau’ D’Masiv.

D’Masiv ternyata berjaya ‘membunuh’ rindu para pemujanya namun dalam masa sama menyediakan bekalan rindu sehingga kembali lagi bertemu pada satu ketika yang entah bila.

POPULARITI tidak menghalang D’Masiv meneruskan rutin makan
di warung tepi jalan sambil berbincang hal kerjaya dan peribadi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN