fbpx
SEORANG suspek yang ditahan bersama Toyota Vellfire yang dicuri. - IHSAN JABATAN SIASATAN JENAYAH BUKIT AMAN

Hilux, Fortuner paling banyak dicuri, jadi pilihan penyangak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merampas sebanyak 847 buah kenderaan curi bernilai RM19.8 juta menerusi Ops Lejang di seluruh negara dalam tempoh empat bulan sejak Januari lalu.

Menurut sumber, kenderaan yang paling banyak dirampas dalam operasi itu adalah trak pikap antaranya jenis Toyota Hilux dan Toyota Fortuner.

“Siasatan awal mendapati kenderaan curi tersebut dijual semula sama ada di dalam negara atau di negara jiran.

“Selain itu, ada juga kende­raan-kenderaan yang dicuri itu dileraikan sebelum komponennya dijual kerana terdapat permintaan daripada pembeli,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Menurut sumber itu, harga sebuah trak pikap curi dianggarkan mencecah RM100,000.

Jelasnya, trak pikap mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pembeli di pasaran gelap kerana fizikalnya yang tahan lasak dan sesuai digunakan di kawasan muka bumi yang berbukit bukau.

SEORANG lagi suspek yang ditahan bersama kenderaan curi. IHSAN JABATAN SIASATAN JENAYAH BUKIT AMAN

Dalam operasi sama, JSJ Bukit Aman turut menahan seramai 1,225 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kende­raan. Mereka yang diberkas berusia 35 hingga 50 tahun.

Polis turut menumpaskan dua kumpulan yang aktif mencuri kenderaan di negara ini dan dipercayai mempunyai rangkaian dengan sindiket jenayah sama di luar negara.

Mengulas lanjut, sumber itu memaklumkan, terdapat kaedah baharu yang digunakan oleh anggota sindiket mencuri kenderaan untuk menembusi sistem keselamatan kenderaan yang canggih.

“Mereka (sindiket) menggunakan gajet khas yang mampu ‘melumpuhkan’ sistem keselamatan kenderaan sedia ada sebelum ia dicuri. Gajet tersebut juga mampu digunakan untuk membuat kunci pendua.

“Sebelum dijual, sindiket akan meletakkan kenderaan curi di lokasi terpencil sebelum diambil pihak ketiga. Urusan jual beli pula akan diserahkan kepada orang tengah untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

SEBAHAGIAN kenderaan termasuk trak pikap curi yang dirampas pihak berkuasa menerusi Ops Lejang selama empat bulan sejak Januari lalu. – FACEBOOK JSJ PDRM

Sejak Januari hingga April tahun ini, sebanyak 6,709 kertas siasatan dibuka oleh JSJ bagi kes kecurian kenderaan.

Selain kenderaan, polis me­rampas wang tunai sebanyak RM502,865.

Dengan penahanan dan rampasan itu, JSJ Bukit Aman percaya dapat menyelesaikan sebanyak 1,658 kes. Sebanyak 639 kes atau 9.5 peratus kertas siasatan sudah dituduh di mahkamah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN