fbpx

Ramai pelajar pilih sastera senang lulus, cepat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDEDAHAN kepada dunia sains perlu diberikan kepada murid-murid di bangku sekolah rendah lagi bagi membolehkan mereka berminat dengan subjek berkenaan. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Pihak sekolah digesa menarik semula kebebasan pelajar dalam memilih aliran selepas melangkah ke tingkatan empat supaya program Sains, Teknologi, Jurutera dan Matematik (STEM) tidak disisihkan.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, punca STEM kurang mendapat sambutan apabila pelajar diberi kebebasan untuk memilih di pe­ringkat sekolah lagi.

“Dengan kebebasan yang diberi, ada kecenderungan pelajar memilih kursus yang dianggap lebih mudah untuk lulus, lebih santai yang mana program-program tersebut dilihat lebih se­nang untuk membina kerjaya.

“Contohnya, jika kita buat perbandingan dua pelajar yang mana seorang pelajar aliran sains (melanjutkan pengajian kedoktoran) mengambil masa lebih kurang enam tahun, manakala seorang lagi pelajar aliran sastera (melanjutkan pengajian pengurusan) hanya memerlukan tiga tahun dan terus boleh bekerja.

“Dalam tempoh tiga tahun bekerja, dia akan memiliki lebih banyak pengalaman dan sudah dikira ‘senior’. Jika dalam rangka perkhidmatan awam, dia mungkin sudah sampai gred 44, manakala seorang lagi baru menamatkan pengajian,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Justeru, kata Dr. Raduan, selain daripada pemilihan belajar, keseluruhan ekosistem aliran sains perlu ditambah baik ekoran ia tidak banyak membantu termasuk kurang menerima pengiktirafan.

“Kita tak boleh bagi alasan tiada bajet dan sebagainya kerana ini merupakan satu pelaburan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan,” ujarnya.

Katanya, banyak program di peringkat universiti yang terjejas, sekali gus memerlukan perancangan lebih teliti menghubungkan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“KPM dan KPT kena kolabrasi dalam hal ini. Contohnya, dahulu kita ada pelan pendidikan rendah dan pelan pembangunan pendidikan tinggi, namun tiada kesinambungan daripada perkara tersebut.

“Ia perlu ada sinergi semua perkara ini dan intervensi khusus daripada kerajaan dari segi polisi serta tingkatkan ekosistem yang lebih mengiktiraf kerjaya dalam bidang sains dan matematik,” ujarnya.

Sementara itu, menurut bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, usaha bersepadu antara KPT dan KPM wajar dilaksana bagi mewujudkan kesedaran betapa pen­tingnya bidang profesional dalam kalangan pelajar.

Katanya, pendedahan secara berterusan seperti kempen dan aktiviti dalam kelas mampu mengembalikan minat pelajar terhadap bidang berkenaan.

“Pertama sekali, pihak sekolah dan KPM boleh melaksanakan pelbagai kempen mengapa para pelajar harus minat dalam bidang STEM. Para pendidik juga boleh menjadi lebih proaktif di dalam kelas dengan menekankan kepentingan bidang sains dan teknologi.

“Di peringkat sekolah, selain guru, semua pihak juga perlu me­libatkan diri termasuk kaunseling serta pengetua. Jika konsisten, dengan sendirinya minat mereka akan bertambah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata, KPT juga mempunyai peranan penting kerana secara lazimnya, pelajar akan melanjutkan pengajian dalam kursus yang mereka minati.

“Kita tahu bekalan untuk memasuki institusi pengajian tinggi datangnya daripada sekolah. Jadi KPT dan universiti boleh turun ke lapangan mendekati pelajar sekolah kerana semuanya bermula dari bawah.

“Dengan penerangan yang jelas tentang subjek atau kursus diperlukan, sedikit sebanyak ia membuka mata pelajar dan mendedahkan mereka mengenai bidang profesional berkaitan sains, teknologi dan matematik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI