PALUAN gendang ketawak ibu, gendang ketawak anak dan gong yang dimainkan oleh sekumpulan pemain muzik di penjuru gelanggang mengiringi langkah pembukaan silat oleh Abu Hanifah.
Pemuda berusia 24 tahun yang lengkap berbusana pesilat itu mempersembahkan jurus dan buah silat seni Melayu Pahang kepada para tetamu.
Ia sebagai tanda selamat datang ke daerah kelahiran tokoh pahlawan Melayu yang cukup terkenal iaitu Mat Kilau.
Seusai persembahan solonya, Abu memberi isyarat kepada pesilat-pesilat muda untuk tampil mempamerkan asas-asas belebat Melayu Pahang.
Kemudian, ia diikuti dengan persembahan tempur dari duo pesilat dan kumpulan pesilat lelaki.
Persembahan daripada ahli Persatuan Silat Seni Melayu Pahang di Ulu Cheka, Jerantut, Pahang itu merupakan acara pembukaan sebelum amalan minum dan mandi minyak dilakukan mereka.
Amalan minum dan mandi minyak berasaskan santan kelapa itu dilakukan setiap tiga bulan sebagai tanda tamatnya satu tempoh pengajian dalam seni persilatan.
Upacara tersebut diketuai oleh guru silat yang juga pengasas Persatuan Silat Seni Melayu Pahang, Hassan Awang Long.
Pada sesi tersebut, pesilat-pesilat akan tampil seorang demi seorang untuk minum dan mandi minyak yang telah dibacakan dengan ayat-ayat al-Quran oleh guru silat.

– MUHAMAD IQBAL ROSLI
Amalan tersebut bertujuan untuk memulihkan kembali urat dan sendi ahli persilatan setelah menjalani tempoh pembelajaran yang panjang.
Menurut Abu, minum dan mandi minyak juga berfungsi untuk memberikan tenaga serta menaikkan semangat pesilat-pesilat.
“Tempoh bagi setiap pembelajaran memakan masa selama tiga bulan. Terpulang kepada individu itu sendiri sebanyak mana mereka mampu menyerap ilmu yang diajar sepanjang tempoh tersebut.
“Semakin cepat seseorang pelajar memperkemaskan pergerakannya, semakin cepat mereka mampu ke tahap seterusnya.
“Setiap kali tamat satu tempoh, kami akan amalkan minum dan mandi minyak,” katanya juga merupakan pembantu pengajar silat tersebut.
Demonstrasi mandi dan minum minyak tersebut dipersembahkan kepada media sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat setempat di Ulu Cheka.
Ia bersempena dengan program Ulu Cheka Exploration yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia Wilayah Timur baru-baru ini.
Difahamkan, Hassan merupakan anak didik Nong Taib Santan atau dikenali sebagai Pawang Nong yang juga merupakan Pawang Diraja Negeri Pahang pada suatu masa dahulu.
Lebih menarik, Pawang Nong pula merupakan sahabat dan anak murid kepada pahlawan ulung, Mat Kilau.

Ini secara tidak langsung memberi bayangan bahawa seni silat itu merupakan saki-baki ilmu daripada pahlawan terhormat tersebut.
Mengimbau kembali detik dirinya menyertai silat seni Melayu Pahang itu, Abu memaklumkan, dia mula terlibat dalam seni mempertahankan diri tersebut pada usia 11 tahun.
Abu mendedahkan bahawa silat itu pernah menjadi satu kemahiran ‘wajib’ bagi anak-anak muda di kampung tersebut.
Bermula daripada berlatih di bangsal berdindingkan buluh dan tanah, Abu kini membantu membimbing pelapis-pelapis silat seni tersebut di bangsal yang diperbuat daripada batu serta berlantaikan simen.
Tambah Abu, silat itu pernah hampir pupus apabila generasi lebih dewasa tidak lagi memiliki masa untuk menyampaikan ilmu tersebut kepada anak-anak muda ekoran tuntutan hidup.
Disebabkan itu, dia dan rakan-rakannya mengambil inisiatif untuk menjadi ‘penyambung’ kepada dua generasi agar seni tradisi kampung tersebut tidak hilang begitu sahaja.
“Pada mulanya, saya tidaklah minat dengan aktiviti silat ini. Saya menyertainya kerana ia adalah salah satu aktiviti rutin bagi setiap anak muda di kampung ini.
“Tetapi lama-kelamaan, saya semakin mendalami dan memahami silat ini. Selepas itu, timbul minat untuk terus mengamalkan silat seni ini sehingga sekarang. Kini, saya telah menjadi ‘penunjuk’ (pembantu pengajar).
“Kami memiliki tiga warna bengkung mewakili pangkat yang dimulakan dengan merah, merah putih dan merah putih kuning,” jelasnya yang kini memakai bengkung merah putih.
Sementara itu, pesilat cilik, Hanania Maisara Husin, 8, berjaya mencuri tumpuan umum disebabkan gerak buah silatnya yang kemas dan tangkas.
Diberi kepercayaan untuk melakukan persembahan duo bersama seorang lagi pesilat remaja lelaki, kanak-kanak yang mesra disapa dengan panggilan Sarah itu tidak sedikit pun berasa gentar.
Sarah merupakan salah seorang daripada lima beradiknya yang terlibat secara aktif dalam Persatuan Silat Seni Melayu Pahang.
Abangnya, Hafizuddin, 22, dan Haziq Aiman, 21, merupakan pesilat, manakala Hazriq Iskandar, 17, serta Hadif Syazwan, 15, merupakan pemain gendang.
“Saya mula belajar silat ini ketika berusia enam tahun. Waktu itu abang-abang ajak saya untuk datang ke bangsal dan ajar saya bermain silat.
“Mula-mula agak susah, tapi lama-lama saya sudah membiasakan diri dengan teknik-teknik silat ini.
“Kini, saya sudah boleh mempelajarinya dengan mudah,” katanya.
Menjadikan Abu sebagai seorang yang ingin dicontohi, Sarah mahu terus memperbaiki teknik silatnya.
“Saya berlatih setiap Jumaat dan Sabtu. Dahulu, saya berlatih pada setiap malam, tapi apabila ramai menyertai silat, latihan bermula pada pukul 5 petang.
“Saya mahu berlatih sebaik mungkin agar dapat jadi macam Abu. Silat Abu sangat kemas dan lembut,” ujarnya.














