fbpx

Ambil iktibar kes pecah amanah penolong akauntan Kesedar – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika berucap pada MPC dan Apresiasi KKDW 2022 hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) agar mengambil iktibar berhubung kes penolong akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang ditahan kerana disyaki pecah amanah membabitkan jumlah RM24.8 juta.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ini kerana peristiwa yang berlaku membabitkan agensi dibawah kementerian itu telah membawa persepsi negatif kepada organisasi.

“Kerana nila setitik ini lah yang merosakkan prestasi (kementerian), ini juga bukan hanya soal persepsi tetapi soal integriti. Saya memandang soal integriti ini mestilah diperlihatkan, bukan hanya didendangkan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perkhidmatan Cemerlang (MPC) dan Apresiasi KKDW Tahun 2022 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau dan timbalan menteri juga tidak pernah berkompromi untuk mengambil tindakan disiplin dan undang-undang terhadap mana-mana kakitangan yang didapati terlibat dalam kes pecah amanah.

“Soal integriti yang melibatkan rasuah, pecah amanah, penyelewengan atau kepentingan peribadi itu memang kita tak boleh berkompromi. Dalam hal ini kita semua adalah aset kepada kerajaan dan kita mewakili rakyat apatah lagi rakyat di luar bandar,” ujarnya.

Terdahulu pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan anugerah kepada 10 orang penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang, 86 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KKDW serta lima pesara dari kementerian dan agensi.

Semalam media melaporkan, penolong akauntan Kesedar ditahan Sabtu lalu kerana disyaki pecah amanah dipercayai menggunakan identiti sembilan individu dalam Kesedar.

Ahmad Zahid menyifatkan ia perbuatan licik lebih-lebih lagi apabila dilakukan untuk satu tempoh yang lama iaitu lapan tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI