fbpx
TUCKER yang meraih gelaran doktor yang masih berkhidmat tertua di dunia oleh Guinness World Records pada 2021 menyifatkan tidak bersara adalah salah satu daripada lima rahsia dirinya panjang umur selain kekal aktif, tidak merokok, tidak meletakkan batasan pada diri dan sentiasa berkongsi ilmu.

Dr. Tucker doktor tertua dunia enggan bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI usia melepasi satu abad, lelaki itu masih lagi mempunyai kudrat dan keinginan untuk bekerja serta berkhidmat untuk masyarakat.

Bukan kerana mengejar harta, warga emas itu tidak pernah mempertimbangkan untuk bersara daripada pekerjaan yang dilakukannya sejak 76 tahun lalu.

Menurut lelaki itu yang juga merupakan doktor tertua di dunia yang masih berkhidmat, Dr. Howard Tucker, 100, dirinya melihat bahawa persaraan merupakan musuh kepada umur yang panjang.

“Ramai orang yang bersara kemudian menjadi tidak aktif dalam rutin harian mereka menghadapi peningkatan risiko penurunan kognitif.

“Apabila kita seronok melakukan apa yang kita buat dan berkemampuan meneruskannya, kenapa perlu bersara?” katanya dalam satu temu bual dengan media antarabangsa baru-baru ini.

Selain masih berkhidmat di St. Vincent Medical Charity Medical Center, Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat (AS), datuk kepada 10 cucu itu juga aktif berkongsi ilmunya sebagai pakar neurologi kepada generasi muda.

Tucker dilahirkan pada 10 Julai 1922 dan merupakan seorang warga AS yang telah berkhidmat dalam sektor perubatan sejak tahun 1947.

Beliau juga mempunyai kelayakan sebagai seorang peguam dan lulus Peperiksaan Bar Ohio di usia 67 tahun pada tahun 1989 sebelum menerima pengiktirafan Guinness World Records sebagai doktor tertua yang masih berkhidmat pada Februari 2021 ketika berusia 98 tahun 231 hari.

Tucker yang dilahirkan di Cleveland memutuskan untuk mengikuti kerjaya dalam bidang perubatan semasa bersekolah di Cleveland Heights High School.

Selepas menamatkan persekolahan di sekolah menengah pada tahun 1940, Tucker melanjutkan pelajaran di universiti dengan mengikuti pengajian ijazah sarjana mudanya di Ohio State University College of Medicine bagi jurusan doktor perubatan.

Tucker menyertai Tentera Laut Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua dan kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Neurologi untuk Armada Atlantik semasa Perang Korea.

Dalam karier perubatan, Tucker menamatkan residensinya di Klinik Cleveland diikuti latihan di Institut Neurologi New York sebelum kembali ke Cleveland sebagai pakar neurologi di Pusat

Perubatan Cleveland Hospital Universiti dan Hospital Hillcrest selama lebih tujuh dekad.

Semasa masih mengamalkan neurologi, tercetus minat Tucker untuk mendalami bidang undang-undang setelah menjadi saksi perbicaraan berhubung perubatan, lantas mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam kedoktoran jurisdiction di Cleveland State University Cleveland-Marshall College of Law selain lulus Peperiksaan Bar Ohio.

Pada tahun 1960, kepakaran Tucker mendapat perhatian selepas dia menyelesaikan kes perubatan yang melibatkan dua gadis muda yang koma dan mengenal pasti punca koma adalah keracunan barbiturat.

Pada usia 100 tahun, Tucker masih bekerja sebagai doktor.

Tucker juga mengajar petugas perubatan di Pusat Perubatan Amal St. Vincent dan meneruskan pekerjaan sebagai saksi pakar untuk pelbagai kes undang-undang perubatan.

Dalam kehidupan peribadi, Tucker berkahwin dengan Sara Sue Siegel pada tahun 1957. Isterinya yang berusia 88 tahun juga masih mengamalkan bidang perubatan sebagai psikoanalisis.

Meskipun di usia melebihi 100 tahun, ramai orang kagum dengan semangat Tucker yang masih mahu menyumbang bakti dan kepakaran dalam bidang perubatan.

Selain itu, keadaan kesihatannya yang masih baik turut menjadi perhatian dan dia juga tidak lokek berkongsi tip bagaimana untuk kekal sihat meskipun di usia senja.

Kongsi Tucker, ada beberapa gaya hidup yang dia lakukan untuk kekal sihat dan memiliki umur yang panjang serta bahagia.

“Pertama, saya tidak pernah berfikir untuk bersara, malah dengan ilmu dan pengalaman yang ada, banyak perkara boleh dilakukan.

“Sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19, saya merawat pesakit selama lima atau enam hari seminggu, kemudian, saya beralih kepada mengajar petugas perubatan sehingga tiga hari seminggu,” kongsinya yang sentiasa menyarankan orang ramai supaya mencintai karier mereka.

Tambahnya, kedua ialah sentiasa bersenam atau melakukan aktiviti kecergasan. Apabila Tucker tidak bekerja, dia seronok meluangkan masa bersama cucu bermain ski dan menonton sukan.

Akui Tucker, meskipun sudah tua dia masih meneruskan aktiviti bersukan seperti berenang, berjoging, mendaki dan bermain ski hingga lewat 80-an bagi mengekalkan kesihatan fizikalnya.

“Walaupun saya tidak lagi bermain ski dan tidak aktif seperti dahulu, saya cuba untuk tetap bersenam setiap hari.

“Dalam seminggu, saya bersenam di atas treadmill sekurang-kurangnya 4 kilometer dengan menggunakan kelajuan tinggi yang disarankan mengikut keupayaan saya,” katanya.

Tip ketiga yang dikongsikan Tucker adalah menjauhi rokok. Dia benar-benar mengelak tabiat merokok agar kesihatan organnya terjaga.

“Pada tahun 1930-an, saya meminta kebenaran ayah untuk merokok, dia berkata: “Saya tidak keberatan jika anda merokok, tetapi mengapa ada orang yang mahu memasukkan apa-apa selain udara segar ke dalam paru-paru ketika hidup ini begitu singkat?’” katanya sekali gus membuatkan dirinya hilang keterujaan terhadap rokok.

Keempat, Tucker juga boleh dikatakan seorang yang tidak pernah membataskan dirinya untuk melakukan apa yang dia suka seperti memakan makanan kegemarannya.

“Saya sering makan stik kegemaran, walaupun tidaklah setiap hari,” katanya.

Kelima, dia juga suka berkongsi ilmu dan mengakui bahawa perkara itu juga merupakan salah satu hal yang membuatkan dirinya bahagia.

Di kesempatan hidup yang masih ada, Tucker mengambil peluang itu untuk berkongsi bukan saja ilmu kepada petugas perubatan lain tetapi juga kisah hidupnya menerusi sebuah filem dokumentari dihasilkan oleh cucunya.

“Jangan sesekali bazirkan ilmu pengetahuan yang anda ada,” pesannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN