PETALING JAYA – Golongan mahasiswa boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bersedia memperhalusi cadangan untuk mewujudkan akta bagi melindungi kebajikan pelajar latihan industri termasuk mewajibkan pemberian elaun.
Cadangan itu akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk dibincangkan di peringkat kementerian terlebih dahulu sebelum ke peringkat seterusnya.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan mewujudkan akta khusus buat pelatih industri merupakan langkah yang baik bagi menjamin kebajikan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurut beliau, setakat ini tiada sebarang tindakan boleh diambil terhadap mana-mana syarikat yang mengerah tenaga pelajar latihan industri tanpa elaun atau wang saguhati.
“Tiada tindakan boleh diambil ke atas pihak yang tidak memberi elaun berikutan ia bukan sesuatu yang boleh ‘dipaksa’. Jadi kita (KPT) amat mengalu-alukan hasrat KSM,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Pada 24 Mei lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa cadangan untuk mewujudkan akta khusus bagi mewajibkan bayaran elaun kepada pelajar praktikal ke peringkat kementerian untuk diperhalusi.
Langkah itu merupakan satu peringatan penting terutama kepada kementerian untuk mengkaji supaya semua pelatih dibayar elaun sepanjang menjalani latihan industri.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menyarankan pelatih industri yang tidak dibayar elaun sehingga terpaksa mengikat perut atau berhenti supaya memaklumkan perkara itu kepada pihak universiti masing-masing.
“Mereka (pelajar praktikal) perlu beritahu pihak universiti dan universiti perlu menyemak. Jika benar langkah perlu diambil dengan mengelakkan syarikat berkenaan dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran menyambut baik cadangan untuk memperhalusi bagi mewujudkan akta khusus berkaitan bayaran elaun kepada pelajar praktikal.
Katanya, pembayaran elaun atau saguhati kepada pelatih industri adalah wajar demi kelangsungan hidup mereka lebih-lebih lagi kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
“Pemberian elaun ini boleh dijadikan sebagai wang saku tambahan kepada pelajar. Syarikat yang menerima pelatih juga pada masa sama dapat mengoptimumkan mutu kerja syarikat hasil sumbangan tenaga serta ilmu mereka.
“Syarikat boleh mendapat tahap kemahiran yang optimum daripada pelajar kerana mereka masih muda dan mempunyai daya pemikiran kreatif yang tinggi dan kemahiran itu dapat membantu meningkatkan mutu kerja syarikat itu sendiri.
“Jadi tidak salah jika beri mereka saguhati kerana bayaran itu tidaklah sebanyak gaji yang dibayar kepada pekerja tetap atau kontrak,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan sebahagian besar pelajar yang menjalani latihan industri di negara ini ibarat seperti buruh paksa apabila tidak dibayar elaun oleh pihak syarikat swasta mahupun kerajaan sehingga terpaksa mengikut perut.
Disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini, ada dalam kalangan mereka terpaksa ‘mencuri’ masa dan merisikokan nyawa sendiri dengan melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan.
Malah, tidak kurang juga, ada pelajar yang terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada rakan-rakan demi kelangsungan hidup sepanjang menjalani latihan industri selama masa sekurang-kurangnya tiga bulan.
Rata-rata pelajar praktikal memaklumkan bahawa mereka telah dikerah tenaga selama lapan hingga 13 jam setiap hari oleh pihak majikan tanpa sebarang elaun.














