fbpx
KUMPULAN Wali Band dan Floor 88 memberi persembahan gempak pada konsert di Zepp KL, baru-baru ini.

Sinergi Wali Band, Floor 88

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBEZA generasi, muzik dan latar, Wali Band dan Floor 88 membuktikan muzik mampu menyatukan rasa sesiapa sahaja. Mereka berjaya melunaskan paduan energi dan aura di pentas Zepp, KL.

Siapa yang tidak lazim dengan kumpulan Wali Band yang pernah mencipta fenomena tersendiri dengan lagu Cari Jodoh, suatu ketika dahulu.

Lagu tersebut masih menjadi siulan zaman sekarang meskipun sudah 15 tahun berlalu.

Memainkan muzik bersama lantunan mesej bernuansa ketuhanan, itu tidak menjadi penghalang buat Wali Band untuk terus kekal relevan.

Gelanggang Zepp Kuala Lumpur yang menjadi saksi persembahan mereka pada 20 Mei lalu ternyata bergema dengan sorakan audiens yang hadir.

Menerusi Konsert Dream Festival Collaboration Vol. 2, Wali Band tidak sendirian apabila kehadiran mereka dimeriahkan Floor 88 yang turut menghangatkan malam sarat energi tersebut.

Konsert Dream Festival Collaboration Vol. 2 Wali Band dan Floor 88 berlangsung sukses dan mencipta kehangatan tersendiri.

Pentas dibuka Floor 88 yang menyajikan selektif hits seperti 24434, Chikadun, Zalikha, Roadblock Hatiku, medley Sahabat dan Yang Benar serta Kong Kali Kong.

Tidak dilupakan lagu popular mereka, Hutang yang menjadi siulan di Indonesia sehingga Floor 88 memancing perhatian Wali Band untuk diajak berkongsi pentas.

“Semangat Floor 88 memang sangat berbeza. Mereka anak-anak muda yang sentiasa mencuba sesuatu yang baharu.

“Malah, lagu mereka juga tular di Indonesia yang membuatkan kami mengenali mereka.

“Saya percaya mudah untuk mereka menembusi pasaran muzik Indonesia jika sentiasa berusaha dan mencari peluang,” ujar Wali Band dalam satu sesi pertemuan bersama media tempatan sebelum konsert dimulakan.

GABUNGAN Floor 88 dan Wali Band ternyata mencetuskan sebuah pengalaman istimewa, bukan sahaja untuk penonton bahkan buat dua kumpulan terbabit.

Berhibur sambil berdakwah

Tepat pukul 9 malam, dendangan lagu Mari Sholawat yang terkandung selawat pelindung diri berkumandang sepertinya memberi restu buat Wali Band menyanyi masuk di atas pentas, bukan hanya tiket hiburan semata-mata.

Setelah hampir 20 minit membiarkan peminat tertunggu-tunggu, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1999 itu kemudian ‘masuk’ dengan lagu Cari Berkah sebagai pemanas gelanggang.

Ironinya, suasana konsert yang sering menjadi medan bersuka-ria sedikit berbeza apabila apabila vokalis Wali Band, Faank tidak henti-henti melontarkan doa usai setiap dendangan.

VOKALIS Wali Band, Faank seperti tidak pernah terusik dek zaman. Kelunakan dan lenggok vokalnya masih mengasyikkan seperti dulu-dulu. – SADDAM YUSOFF

Gema doa, al-Fatihah

Bukan sahaja doa yang dijadikan pelengkap persembahan, Faank turut membacakan surah al-Fatihah sebanyak dua kali ketika konsert berlangsung bagi mencari keberkatan.

Konsert berdurasi lebih dua jam tersebut diteruskan pula seleksi hits berjudul Si Udin Bertanya, Nenekku Pahlawanku, Emang Dasar, Puaskah dan Dik.

Masalah teknikal seperti muzik terlalu kuat atau keras tidak menghalang Wali Band memukau khalayak dengan dendangan lagu lagu popular seperti Baik-Baik Sayang dan Doaku Untukmu Sayang.

Tamat membuai perasaan peminat dengan alunan muzik mendayu, tumpuan dialihkan kepada dendangan sarat pesanan serta mesej, Tobat Maksiat.

Lantunan lirik ‘Ingat mati ingat sakit, ingatlah saat kau sulit, ingat ingat hidup cuma satu kali’ tidak menghalang audiens melompat-lompat seolah-olah melayani muzik kumpulan rock.

Biar repertoire lagu ada yang mencecah dua dekad, setiap judul tetap meninggalkan rasa yang sukar diungkapkan dan mengungkit nilai nostalgia.

Momentum persembahan beralih ke dendangan Kekasih Halal yang merupakan seleksi rancak sehingga membuatkan penonton ikut berdansa.

Rata-rata hadirin puas hati dan menyifatkan persembahan Wali Band sebagai pelepas rindu.

KUMPULAN Floor 88 sangat berbesar hati untuk terus menjalin kerjasama dengan Wali Band dan bersedia melebarkan sayap ke negara seberang jika mendapat tawaran bersesuaian.

Imbau memori

Kehangatan suasana sarat penonton membuktikan kumpulan yang dibarisi Aan Kurnia (gitaris), Ihsan Bustomi (dram) dan Hamzah Shopi (keyboard) itu terus relevan biarpun dua lebih dekad ditubuhkan.

Kepanasan kemudian diteruskan dengan Yank dan Aku Bukan Bang Toyib sebelum menutup persembahan.

Tidak berundur tanpa lagu wajib, Cari Jodoh sebagai seruan buat semua orang bujang di Zepp, KL, Wali Band sekali gus mengimbau memori zaman persekolahan semasa lagu ini hits suatu ketika dahulu.

Paduan vokal Faank dan Ayie menerusi Cari Jodoh juga menjadi penutup cemerlang, sekali gus bukti konkrik, tempoh kebersamaaan lama atau baharu, mereka tetap sempurna melukis memori bersama.

KUMPULAN Wali Band juga sedang dalam persiapan untuk melancarkan single terbaharu tidak lama lagi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN