fbpx

K2

Aroma sate perapan daun limau purut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SATE yang dibakar nampak sedikit kehijauan kerana diperap dengan daun limau purut yang menjadi bahan asas perapan.

AROMA segar sate yang dibakar tidak semena-mena meluru masuk ke rongga hidung anak jati Kusial, Tanah Merah, Kelantan itu saat tiba betul-betul di hadapan sebuah kafe.

Pun begitu, aroma sate yang dihidu lelaki itu, Ahmad Rosli Din bersama isteri serta dua orang anak mereka dirasakan lain daripada kebiasaan yang pernah dibaunya sebelum ini.

Menurut Ahmad Rosli, 42, aroma segar itu jelas terbit daripada bauan daun limau purut yang wangi sesuai dengan nama kafe disinggahi itu.

Ujarnya, kedatangan kali pertama dia dan keluarga ke Kafe Sate Limau Purut di Jalan Pasir Mas-Lemal yang terletak berdepan Jabatan Pendaftaran Negara cawangan Pasir Mas itu membuatkan dirinya benar-benar ingin merasai sendiri keunikan sate yang ditawarkan.

Sajian sate limau purut yang menggunakan perapan daun limau purut itu begitu popular di Kelantan sehingga tular di media sosial dan telah mendapat banyak liputan media dan rancangan televisyen. Sate itu turut dinikmati oleh kerabat diraja negeri itu dan golongan artis.

“Kali pertama dengar mengenai sate limau purut, memang agak pelik. Namun, aroma yang dihasilkan daripada sate tersebut benar-benar memberi kesegaran dan membangkitkan selera buat sesiapa sahaja yang ada di premis perniagaan tersebut,” katanya kepada K2.

Ditanya mengenai keunikan rasa sate itu, pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta itu menyatakan ia sangat menepati cita rasanya dan benar-benar lain daripada yang lain.

Katanya, daun limau purut yang diracik dan dikisar halus serta dijadikan bahan asas perapan sate betul-betul meresap ke dalam isi ayam dan daging, ditambah rasa enak kuah kacang dan nasi himpit.

“Pada mulanya saya jangkakan sate tersebut berasa masam, selain kelat dan pahit hasil penggunaan daun limau purut.

“Pun begitu, sangkaan saya meleset sama sekali kerana rasa masam, kelat dan pahit yang difikirkan langsung tidak ada pada sate tersebut, malah membangkitkan lagi selera untuk menikmatinya,” ujarnya.

Sebulan uji kaji

Menyingkap kembali permulaan perniagaan itu pada tahun 2017, idea untuk menghasilkan sate limau purut pada awalnya memang kedengaran agak janggal dan pelik kerana tidak pernah dibuat orang sebelum ini.

CHE AZMAWI (kanan) dan Ahmad Tamin (kiri) menunjukkan sate limau purut yang diusahakan mereka.

Menurut pengasasnya, Che Azmawi Che Seman, 41, inovasi tersebut tercetus dan datang bersama seorang lagi rakan karib yang turut merupakan rakan niaga, Ahmad Tamin Abdullah sekitar tiga tahun lalu.

Beritahu Che Azmawi, mereka berdua pernah menghabiskan lebih daripada 10 kilogram (kg) daging ayam menerusi uji kaji selama sebulan bagi mendapatkan kemuncak keseimbangan serta keserasian rasa sate limau purut berkenaan.

“Bukan mudah untuk mendapatkan keserasian rasa sate yang diberi inovasi. Banyak kali kami lakukan olahan hingga rasa pahit dan kelat daun limau purut itu benar-benar hilang.

“Alhamdulillah, selepas berpuas hati dengan rasa yang diingini, barulah kami mula membuka kafe ini dan menjualnya kepada orang ramai,” ujarnya yang sebelum ini pernah bertugas sebagai pengurus negeri di sebuah agensi kerajaan selama 13 tahun sebelum memutuskan meletak jawatan dan beralih kepada bidang perniagaan sepenuh masa.

Ditanya mengenai keistimewaan sate limau purut berbanding sate lain di pasaran, Che Azmawi menyatakan, keunikan satenya terletak pada rasa dan aroma limau purut yang sepadan dengan pes rempah-ratus istimewa yang dihasilkan.

“Rata-rata pelanggan yang datang memberi maklum balas positif selain berpuas hati dengan rasa hidangan tersebut,” katanya yang turut mempunyai satu lagi cawangan di Kampung Chabang Pasir di Kota Bharu, Kelantan yang diusahakan rakan perniagaannya.

Bercerita lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata itu menyatakan, resipi itu asalnya diperolehi daripada ibunya, Sasiah Che Omar, 63, sebelum diolah oleh isterinya, Juliana Ahmad, 38, dengan resipi ‘rahsia’ hingga menjadi pes perapan sate.

DAUN limau purut menyuntik aroma pada sate yang dihasilkan untuk dinikmati bersama nasi himpit.

Jelasnya, sebelum ini, setiap kali pulang ke teratak ibunya di Pasir Mas, Kelantan, ibunya sering menyediakan hidangan sate limau purut buat mereka sekeluarga dan daripada situ timbul idea untuk mengkomersialkannya.

“Saya memang merupakan seorang penggemar sate dan sering menikmati hidangan tersebut yang mempunyai keunikan tersendiri.

“Jadi idea tersebut muncul sekali gus menggerakkan hati saya untuk cuba memperkenalkannya kepada umum bermula dengan memasang gerai di tepi jalan hinggalah mempunyai kafe sendiri,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Che Azmawi menyatakan, bekalan bahan mentah dibelinya setiap hari dengan kira-kira 120kg ayam segar, daging lembu, itik serati, daging kambing, arnab dan ikan tilapia diperlukan untuk dijadikan sate.

“Selain bahan asas itu, saya juga akan menyediakan 3kg kisaran daun limau purut segar setiap hari bagi digunakan sebagai bahan asas perapan sate. Daun limau purut itu mestilah tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda. Pemilihan daun limau purut perlulah betul kerana jika tersilap ia akan mempengaruhi rasa sate itu.

“Kesemua sate yang siap dicucuk itu akan diperap ke dalam pes selama tiga jam lamanya hingga meresap penuh ke dalam daging sebelum dibakar dan dihidangkan kepada pelanggan.

“Bukan sahaja pes perapan, malah kuah kacang turut dihasilkan sendiri dan diadun dengan resipi rahsia serta rasa sedikit pedas sekali gus membangkitkan lagi selera sesiapa sahaja yang mencubanya,” katanya yang menjual kira-kira 2,500 hingga 3,000 cucuk sate sehari bermula dari pukul 5 petang hingga 11 malam kecuali hari Rabu.

Pun begitu, variasi sate arnab dan ikan tilapia lemonnya cuma akan ditawarkan pada setiap hari Sabtu sahaja mengikut stok bekalan yang diperolehi.

Bagi melancarkan segala kerja berkaitan pemprosesan sate daun limau purut, Che Azmawi dengan bantuan rakan niaganya turut membina sebuah bengkel pemprosesan dan penyediaan bersebelahan rumahnya di Tanah Merah.

DAUN limau purut dikisar dan diadun bersama pes istimewa untuk dijadikan bahan perapan sate.

Jelasnya, atas permintaan tinggi dan menggalakkan terhadap jualan sate tersebut, dia mula menggaji 11 pekerja wanita dan lelaki yang terdiri daripada penduduk tempatan termasuk suri rumah dan pelajar bagi membantu melancarkan proses penyediaan makanan di bengkel tersebut.

“Seawal pukul 9 pagi, kerja-kerja pembersihan dan pemotongan bahan-bahan mentah akan dilakukan.

“Selepas dicuci bersih, bahan-bahan tersebut akan digaul sebati dengan pes perapan sate sambil dibantu isteri hingga kerja-kerja mencucuk daging pada lidi siap dilakukan sepenuhnya,” ujarnya yang pernah menerima tempahan sehingga 25,000 cucuk sate dari seluruh Kelantan pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

Che Azmawi memasang impian dan cita-cita untuk membuka cawangan kafe sate daun limau purut di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua tahun akan datang sekali gus memfrancaiskan perniagaan tersebut.

“Itu memang impian saya. Bukan sahaja memperkenalkan dan mengangkat menu unik sate ini, saya juga berhasrat untuk membantu lebih ramai orang di luar sana menerusi peluang pekerjaan bersama kami kelak,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI