MEMBACA buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik. Bacalah buku-buku yang bermanfaat, roman yang berisi, ketahui jalan fikiran bangsa sendiri.’
Itulah antara bait-bait kata yang pernah dinukilkan penulis dan ulama terkenal Indonesia, Buya Hamka ketika berdiskusi mengenai amalan membaca.
Ayat itu jelas menunjukkan membaca satu amalan mulia yang mampu mengisi rohani dan membuka minda seseorang terhadap pelbagai ilmu pengetahuan.
Malangnya, budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah. Menurut Perbadanan Perpustakaan Awam, rakyat negara ini hanya memperuntukkan kurang tiga jam seminggu untuk membaca.
Pastinya, jumlah itu sangat menyedihkan berbanding kecenderungan rakyat India yang memperuntukkan lebih 10 jam seminggu untuk membaca.
Berbanding negara maju seperti Jepun dan Eropah, Malaysia lagi jauh ketinggalan. Maka tidak hairanlah, banyak toko-toko buku di negara ini sudah gulung tikar kerana buku yang dijual tidak mendapat sambutan.
Lebih malang lagi, amalan membaca dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa di negara ini juga dilihat amat rendah. Mereka ini golongan yang sepatutnya menghabiskan sekurang-kurangnya lima jam sehari untuk membaca. Antara faktor utama yang dikenal pasti menjadi punca amalan membaca dalam kalangan pelajar dan mahasiswa di negara ini masih rendah adalah gajet.
Golongan ini dilihat lebih banyak menghabiskan masa menghadap gajet. Apa tidaknya, celik-celik mata sudah cari telefon pintar. Hendak tidur pun masih menghadap telefon.
Kalau ada pihak yang melakukan kajian, penulis rasa golongan ini secara purata menghabiskan masa lebih 10 jam sehari menghadap gajet terutamanya media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Pernah satu ketika, sewaktu menaiki pesawat dari Langkawi ke Kuala Lumpur, penulis tertarik dengan seorang remaja lelaki dari Jerman yang menghabiskan masa dengan membaca buku elektronik menerusi tabletnya.
Sedangkan seorang lagi remaja tempatan yang duduk di sebelah penulis dilihat khusyuk menonton video-video pendek wanita berpakaian mencolok mata di dalam TikTok.
Ketika itu, terdetik dalam nurani penulis, tidak hairanlah bangsa kita terus ketinggalan berbanding bangsa-bangsa lain di dunia.
Kesimpulannya, amalan membaca perlu dipupuk sejak usia kanak-kanak. Ibu bapa perlu mencari bahan-bahan bacaan berkualiti yang mampu membuka minda anak-anak.
Justeru sempena cuti sekolah yang bakal bermula pada hujung minggu ini, bawalah anak-anak berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dari 26 Mei hingga 4 Jun.
Pesan penulis, janganlah terlalu berkira dalam membeli buku untuk anak-anak kerana manfaatnya lebih besar daripada nilai wang ringgit.














