fbpx

Gula kurang di lima negeri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas Kelantan dan Terengganu mengalami kekurangan gula peket 1 kilogram (kg) pada akhir bulan lalu, masalah sama kali ini didakwa pengguna berlaku di lima negeri lain melibatkan beberapa tempat di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Melaka.

Pengguna mendakwa, isu bekalan gula itu berlaku sejak seminggu lalu sehingga mereka terutama peniaga sukar untuk mendapatkan stok di kedai runcit mahupun pasar mini.

Di George Town, Pulau Pinang, peniaga apam balik dan air soya, Yusri Yusof berkata, bekalan asas itu sebelum ini mudah dibeli daripada pemborong atau pembekal, malah ia boleh ditempah sehari lebih awal.

Bagaimanapun, katanya, kali ini pemborong mengehadkan pembelian maksimum dua peket gula sahaja termasuk kepada pelanggan tetap.

“Jenuh kena pusing merata-rata mencari gula di lima atau enam kedai runcit, kedai borong dan pasar raya mini.

“Sehari saya guna kira-kira 12 peket gula untuk penyediaan apam balik dan air soya. Saya terpaksa pergi ke setiap kedai untuk mengumpul stok,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Yusri juga tidak menolak kemungkinan terpaksa menghentikan operasi perniagaan sementara jika masalah itu berterusan.

“Jika tiada minyak peket, kita boleh lagi guna minyak botol, tetapi jika tiada gula, memang itu sudah terlalu kritikal,” ujarnya.

peniaga, Yusri Yusof berdepan kesukaran dalam menyediakan apam balik apabila payah mendapat bekalan gula di George Town.

Seorang peruncit, Maidin Abdul Hamid, 53, berkata, dia sendiri sukar mendapatkan stok sejak seminggu lalu kerana pengilang tidak menghantar bekalan.

“Sekarang bekalan gula tiada di kedai runcit saya, pelanggan tetap seperti peniaga kuih kini berdepan kesukaran,” katanya.

Di Kangar, Perlis, kesukaran mendapatkan gula di beberapa kawasan di Kedah menyebabkan pengguna terutama peniaga sanggup merentas negeri mendapatkan bekalan itu di Perlis.

Seorang peniaga air balang, Rosli Bidin, 45, berkata, bekalan itu sukar diperoleh di sekitar Jitra dan jumlahnya tidak mencukupi kerana bekalan mulai berkurangan sejak seminggu lalu.

“Sebagai penjaja, saya guna banyak gula untuk membancuh air dan apabila bekalan berkurangan, ia menyebabkan saya mengehadkan jenis air ba­lang yang dijual.

“Apa yang saya dengar, bekalan gula mengalami masalah di sekitar Jitra, Changlun apabila kedai-kedai runcit di kampung-kampung mendapat bekalan yang terhad,” ujarnya.

Menurut Rosli, keadaan itu menyebabkan dia mencari bekalan gula di Perlis kerana menge­tahui stok masih banyak di negeri tersebut menerusi rakan-rakan.

Seorang penduduk Changlun, Nurul Rahmah Ahmad, 52, berkata, dia turut mengambil bekalan gula di Perlis untuk mengadakan majlis keramaian.

“Agak sukar mendapatkan bekalan dalam jumlah yang banyak di Kedah kerana ada kedai mengehadkan pembelian dua pek setiap pelanggan,” ujarnya.

Di Ipoh, Perak, seorang peniaga, Nor Hanim Mohd. Noh berkata, kedai runcitnya telah kehabisan gula sejak tiga hari lalu dan dia tidak pasti sama ada bekalan akan tiba dalam masa terdekat.

“Pembekal pun ada maklumkan kepada saya yang mereka menerima banyak permintaan daripada peniaga-peniaga. Saya tak pasti bagaimana mereka mahu agihkan gula sekiranya bahan itu mengalami kekurangan di pasaran,” ujarnya.

Di Melaka, seorang peniaga air balang, Kamaruddin Abdullah, 61, memberitahu, dia yang menetap di Sungai Udang terpaksa mencari bekalan gula di bandar Melaka sejauh lebih 20 kilometer kerana kebanyakan kedai di kawasannya telah kehabisan stok.

Katanya, pasar raya besar dan kedai runcit kini mula mencatu kuantiti pembelian iaitu antara dua hingga tiga peket bagi setiap pe­langgan sahaja.

“Saya perlukan 20 kg gula setiap hari untuk menyediakan air gula, tetapi sejak kebelakangan ini sukar hendak berniaga kerana banyak membuang masa keluar mencari gula,” ujarnya.

seorang pekerja menunjukkan bekalan gula yang semakin berkurangan di sebuah kedai runcit di Seksyen 7, Shah Alam semalam.

Di Shah Alam, Selangor, peniaga kedai runcit, Muhammad Niza Abu Bakar, 22, berkata, dahulu dia boleh memperoleh gula dalam kuantiti banyak sehingga enam beg daripada pembekal, tetapi sekarang mahu dapat dua beg pun belum tentu.

“Saya pun pelik kenapa susah sangat pembekal nak bagi apa yang kita nak, bukannya kita tidak bayar,” katanya.
Seorang peniaga kedai runcit, Arman Hosen, 30, memberitahu, bekalan gula di kedainya juga semakin sukar untuk diperoleh sehingga pelanggan memarahinya kerana kekurangan stok.

“Ada suatu hari, stok gula memang habis di kedai saya, apabila pelanggan datang nak beli, mereka bising dan marah-marah sebab tiada gula,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, isu bekalan gula peket 1 kg ‘terputus’ di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu selepas Hari Raya Aidilfitri pada akhir bulan lalu susulan penutupan sementara kilang di Johor dan Perai, Pulau Pinang.

Bagaimanapun kini, bekalan di dua negeri tersebut telah pulih setelah kedua-dua kilang ini beroperasi semula dan stok dipe­roleh secara berperingkat melalui pemborong utama di ne­geri-negeri terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN