SEREMBAN – Hasrat seorang jurusensor senjata pesawat tempur Sukhoi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk bergelar jurulatih penerbangan tidak kesampaian selepas dia maut dalam kemalangan di Seberang Jaya, Pulau Pinang kelmarin.
Difahamkan Mejar Hendrinraj Pulvendiran, 35, yang menaiki kereta Proton Inspira maut dalam kemalangan dengan sebuah lori.
Pegawai TUDM itu berada di Pulau Pinang kerana mengikuti latihan bagi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA`23) yang akan berlangsung di Pulau Langkawi pada 23 hingga 27 Mei ini.
Hendrinraj berkhidmat di Pangkalan Udara Gong Kedak, Jerteh Terengganu.

Menurut adik bongsu Hendrinraj iaitu Janarthanraj, 33, abangnya sebelum ini pernah meluahkan hasrat untuk menyertai kursus kejurulatihan penerbangan selepas tamat LIMA`23 dan minat itu timbul selepas kira-kira 17 tahun beliau berkhidmat dalam TUDM.
“Sejak dari kecil, abang yang merupakan anak kedua dari tiga beradik memang sudah bercita-cita mahu menjadi juruterbang bagi pesawat tempur.
“Setelah berkhidmat dengan TUDM pada tahun 2006, sedikit demi sedikit minatnya untuk menjadi jurulatih penerbangan timbul.
“Abang ada meluahkan hasrat kepada kami untuk menyertai kursus kejurulatihan penerbangan selepas tamat LIMA`23 nanti,” katanya ketika ditemui di di Seremban, semalam.
Cerita Janarthanraj, kali terakhir mereka bertemu pada Februari lalu ketika majlis perkahwinannya dan abangnya seperti biasa kelihatan gembira, peramah serta watak utama menceriakan suasana.
Menurutnya, dia yang tinggal di Pulau Pinang menerima perkhabaran mengenai abangnya itu daripada ibunya yang memaklumkan Hendrinraj terbabit dalam kemalangan.
“Saya yang bekerja di Pulau Pinang terus ke Hospital Seberang Jaya bagi melihat keadaannya. Keluarga kami terutamanya isteri mendiang masih terkejut dengan pemergian abang selamanya.

di Seberang Jaya, Pulau Pinang kelmarin.
“Kehilanggannya turut dirasai TUDM. Abang seorang yang sukar diganti dan dalam skuadron dia amat dihargai serta diperlukan oleh perkhidmatan kerana kepakaran yang dimilikinya.
“Dia seorang yang peramah dan sering menolong sekiranya terdapat rakan sepasukan yang dalam kesusahan,” ujarnya.
Menurutnya, ketika kejadian, abangnya itu dipercayai dalam perjalanan pulang balik ke hotelnya selepas tamat latihan.
TUDM memaklumkan mendiang meninggalkan isteri, Ann Linda Anthonysamy dan anak lelaki berusia tiga tahun.
“Mayat mendiang diuruskan pihak Pangkalan Udara Butterworth dan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Seremban bagi tatapan dan penghormatan terakhir oleh waris, ahli keluarga, saudara mara serta kenalan dan urusan pengebumian dilakukan esok (hari ini),” ujarnya.
TUDM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang dan pemergiannya suatu kehilangan aset sumber manusia TUDM.
“Semoga mereka tabah dan menerima ujian hidup kehilangan orang disayangi,” katanya.














