fbpx
Pelanggan membeli barang-barang secara timbang dan membawa bekas sendiri kerana barangan tidak dijual di kedai dalam bentuk pek atau paket.

Kedai serbaneka utamakan alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HIDUP di negara orang semasa menyambung pengajian di Australia banyak mengajar wanita itu tentang erti cinta terhadap alam sekitar dalam kehidupan seharian.

Ketika di sana, Li Jia Jia, 44, kagum dengan budaya masyarakat yang mengutamakan kelestarian alam sekitar terutama dengan mengurangkan sisa buangan.

Menurutnya, di sana, amalan kitar semula dan mengurangkan kesan sisa karbon juga sudah menjadi kebiasaan, malah di universiti, rakan-rakan yang juga merupakan warga tempatan turut membudayakan amalan itu meskipun di bilik kediaman pelajar.

“Amalan melestarikan alam sangat dititikberatkan oleh bukan saja rakyat tetapi juga pemimpin negara itu. Mereka sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyampaikan mesej cintakan alam sekitar setiap hari sama ada menerusi program, bengkel mahupun penulisan artikel di akhbar serta media sosial,” katanya ketika ditemui K2 di Kepong, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya yang kagum dengan kesungguhan rakyat di sana, wanita asal Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur itu juga terbawa-bawa gaya hidup tersebut dan mengamalkannya sehingga hari ini.

Selain melakukannya di rumah, Jia Jia juga mengusahakan sebuah kedai serbaneka dan kafe, A Bit Less Zero Waste Bulk Store di Kepong yang beroperasi ke arah kelestarian alam.

Menurut graduan akauntan itu, dia pada awalnya tidak menyangka bakal menguruskan sebuah bisnes memandangkan dirinya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang tersebut.

“Awalnya perniagaan ini dibuka oleh dua orang anak muda pada 2018 yang memfokuskan model perniagaan penjagaan alam sekitar kemudian mahu menutupnya sekitar awal 2020.

“Saya pada mulanya hanyalah pelanggan di kedai berkenaan, namun apabila mengetahui kedai itu bakal ditutup dan inisiatif melestarikan alam bakal terhenti, saya kemudian memutuskan untuk mengambil alih perniagaan tersebut yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri sesuai dengan matlamat kelestarian alamnya,” ujar Jia Jia.

A Bit Less Zero Waste Bulk Store, menjual pelbagai jenis item bermula daripada bahan masakan kering, basah, herba Cina, beras, minyak dan kicap pelbagai jenis, kelengkapan kebersihan diri, sabun pakaian dan produk-produk mesra alam.

Bagi bahagian kafenya pula, kedai itu menjual beberapa pastri, kek dan roti serta air teh organik buatan tempatan.

Uniknya barang-barang ini tidak dijual secara pek atau paket plastik seperti di kedai-kedai serbaneka biasa tetapi menerusi kaedah timbang dan ‘dibungkus’ dalam apa saja bekas bersesuaian yang dibawa sendiri oleh pelanggan.

Pelanggan-pelanggan boleh membeli barangan ini secara isian semula.

Jelas Jia Jia, A Bit Less Zero Waste Bulk Store memfokuskan kepada melestarikan alam sekitar dengan cara tersendiri, menjual barangan mesra alam dan menggalakkan pelanggan membawa beg dan pembungkusan sendiri.

“Konsep ini kita lakukan bagi mengurangkan sisa buangan terutama plastik yang semakin kritikal abad ini, malah bahan-bahan makanan yang dipamerkan dalam balang kaca dan bekas plastik juga diisi secara sedikit dan selebihnya disimpan di ruang simpanan sejuk di belakang kedai.

“Bagi minyak, kicap, sabun cecair dan pembersih pakaian, semuanya diletakkan di dalam balang atau bekas dispenser yang dijual secara liter dan ‘dibungkus’ dalam botol yang dibawa sendiri oleh pelanggan,” jelasnya lagi.

Tambahnya, bukan sahaja SOP jualan yang berbeza berbanding kedai lain, kedai berkenaan juga mengutamakan barangan yang dibuat oleh warga tempatan.

Kebanyakannya adalah dari sekitar Lembah Klang dan ada beberapa barangan dari negeri berhampiran lain bagi mengurangkan kesan sisa karbon.

Malah bagi kafenya juga, Jia Jia mengambil pembekal dari sekitar rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur yang mana dia akan mengambil stok pastri sewaktu dalam perjalanan ke kedai.

“Segala yang dilakukan di kedai adalah untuk melestarikan alam sekitar, malah bekas guni dan botol dari stok barang yang dijual juga akan dikitar semula.

Kaedah penjualan barangan secara bukan dalam pek atau paket plastik tersebut membolehkan pengurangan sampah-sampah plastik.

“Pengurusan dan model perniagaan secara hijau ini juga mendapat banyak bimbingan daripada pelbagai organisasi termasuk Zero Waste Management yang sentiasa memberikan idea untuk menambah baik cara kerja ke arah melestarikan alam sekitar,” jelasnya.

Kongsinya lagi, meskipun usaha perniagaan mesra alam ini merupakan insiatif positif, Jia Jia mengakui bahawa dia juga berdepan cabaran berat untuk menjadikan model ini sebagai budaya dalam kalangan pelanggan.

Katanya lagi, selain memperkenalkan konsep perniagaan mesra alam, dia turut melakukan pelbagai usaha lain seperti kolaborasi dengan pelbagai pihak untuk penganjuran bengkel bertemakan kelestarian alam selain berkongsi kandungan di media sosial.

Usaha yang dilaksanakan Jia Jia itu turut dibantu oleh rakan dan kakitangan A Bit Less Zero Waste Bulk Store, Samantha, 23, yang mana turut tertarik dengan konsep kelestarian alam sekitar.

Katanya yang mesra disapa Sam, usaha yang dilaksanakan Jia Jia adalah langkah wajar dan perlu menjadi budaya masyarakat demi alam sekitar yang lebih baik.

“Usaha ini bukanlah besar tetapi ia boleh memberi impak terutama buat komuniti setempat dalam membudayakan amalan melestarikan alam sekitar.

“Pada masa sama, setiap pihak juga perlu peka untuk sama-sama mengamalkan amalan hijau seperti kitar semula, mengurangkan sisa karbon dan menyampaikan mesej cintakan alam sekitar kepada orang ramai,” jelasnya.

Dalam pada itu, salah seorang pelanggan kedai serbaneka tersebut, Loh Mei Fong, 45, memberitahu dia sudah lama mengunjungi kedai berkenaan sejak dibuka pada 2018.

Kongsinya, sebagai penduduk Kepong, dia lebih memilih untuk membeli-belah dengan cara mesra alam sebegitu dan mengalu-alukan inisiatif sebegini.

“Membeli-belah di A Bit Less Zero Waste Bulk Store merupakan satu pengalaman berbeza. Awalnya agak unik kerana saya disarankan untuk bawa bekas sendiri untuk membungkus barang yang dibeli seperti beras, kekacang juga kicap masak.

“Bagaimanpun, lama-kelamaan ia sudah menjadi kebiasaan dan saya suka cara sedemikian kerana di rumah saya dah kurang sampah plastik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN