SAAT penulisan ini menemukan noktah, titis hujan ‘November Rain’ dendangan Guns N’ Roses seperti benar-benar sedang membasahi bumi. Biarpun berjarak sekitar 16,752 kilometer antara Malaysia dan Bahamas, cuaca suram semalam seperti turut meratapi pemergian bintang filem antarabangsa, Sean Connery yang meninggal dunia, pada 31 Oktober lalu.
Cukup dikenali menerusi peranan ikoniknya sebagai James Bond di layar perak, Sean menghembuskan nafas terakhir pada usia emas 90 tahun di Bahamas.
Menurut anaknya, Jason Connery, bapanya meninggal dunia dalam tenang iaitu ketika sedang tidur.
“Dia sudah lama tidak berapa sihat. Ramai ahli keluarga ada bersamanya ketika dia menghembus nafas terakhir di Nassau (Bahamas). Tempat di mana filem Thunderball (James Bond) menjalani penggambaran.

“Kami semua sudah menerima hakikat apa yang berlaku walaupun kematiannya masih baru. Hari yang suram buat semua yang mengenali dan sayangkan bapa saya. Satu kehilangan besar buat semua orang di dunia yang sudah menyaksikan bakat hebatnya sebagai aktor,” ujar Jason dalam satu kenyataan mewakili pihak keluarga.
Sean merupakan aktor pertama yang diberi tanggungjawab menjayakan watak James Bond. Ini bermakna, kalau orang tanya, siapa James Bond original, jawapannya tidak lain dan tidak bukan, Sean Connery.
Dia memainkan peranan sebagai ejen perisikan ternama tersebut dalam tujuh filem James Bond, bermula pada 1962 (Dr. No) hingga 1983.
Ironi, walaupun dunia menjulang namanya dengan gelaran James Bond terhebat dan ejen 007 penuh karisma, humor dan pesona luar biasa, dia pernah meluahkan rasa menyampah terhadap watak yang mengangkat portfolionya itu.
“Saya selalu bencikan James Bond yang tak guna itu. Saya ingin bunuh dia!,” kata Sean dalam satu wawancara ketika hayatnya.

Seorang dermawan
Sebagai seorang yang berpengaruh dan sangat dihormati dunia terutama mereka yang berkecimpung dalam dunia perfileman, Sean cakna akan tanggungjawabnya sebagai ahli masyarakat terhadap persekitaran dan manusia lain.
Menurut satu laporan media pada 2017, jumlah harta Sean melangkaui AS$300 juta (RM1.2 bilion), namun kekayaannya bukan untuk diri sendiri. Sean menyifatkan sedikit sumbangan kebajikan akan membawa kebaikan kepada manusia sejagat.
Terbukti, walaupun hidup dilimpahi glamor dan segala kemewahan di dunia, dia tidak lupa akan tanggungjawabnya sekali gus memberi epitome nyata baiknya hati seperti karakter yang pernah dijayakannya, Robin Hood.
Biarpun dunia mengenali dirinya sebagai James Bond, Sean pernah menjayakan beberapa karakter hebat lain seperti Robin Hood.
Pada 1976, dia memainkan watak Robin filem Robin and Marian.
Sekali lagi pada 1991, dia terlibat dalam pembikinan filem Robin Hood: Prince of Thieves tetapi bukan sebagai Robin. Dia membuat kemunculan khas sebagai King Richard the Lionheart.

Wang yang diraih daripada watak itu diderma untuk tujuan amal. Mungkin bukan satu jumlah yang besar tetapi amat bermakna buat mereka yang memerlukan.
Jumlah paling banyak yang pernah disumbangkan untuk tujuan amal ialah bayaran penat lelahnya menjayakan filem James Bond terbitan 1971, Diamonds are Forever.
Dia mendermakan keseluruhan bayaran yang diraih iaitu AS$1.2 juta (RM4.8 juta) kepada sebuah badan kebajikan di Scotland.
“Kasih sayang mungkin tidak membuatkan dunia berputar tetapi saya harus akui yang perkara itu menjadikan perjalanan hidup kita berbaloi,” katanya.
Barangkali, apa yang diungkapkan oleh Sean itu merupakan prinsip hidup yang dipegang sepanjang hayatnya. Dia cukup prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling dan rela menghulurkan bantuan termasuk dari segi kewangan kepada yang memerlukan.

Pemain Manchester United
Menyorot latar belakangnya, Sean merupakan anak kepada pasangan yang berkerja sebagai buruh biasa. Ibunya Euphemia McBain, hanyalah seorang tukang cuci, manakala bapanya pula seorang pekerja kilang dan pemandu lori.
Pekerjaan pertama Sean ialah sebagai penjual susu di Edinburg, Texas. Tidak lama kemudian, dia berjaya menyertai pasukan tentera laut. Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila terpaksa disingkirkan kerana menghidap ulser duodenum.
Perkara paling mengujakan yang mungkin ramai tidak tahu, Sean hampir menyarung jersi No. 7 (pemain sayap kanan) kelab bola sepak ternama Manchester United.
Pada usia remajanya, Sean pernah ditawarkan kontrak daripada pengurus pasukan bola sepak ulung Manchester United, Sir Matt Busby. Ini bermakna sebelum menyarung ‘suit’ 007, Sean hampir menyarung jersi No. 7 iaitu seorang pemain bola sepak.

Sekitar tahun 1950-an, Sean merupakan pemain bola sepak untuk sebuah kelab di Scotland, Bonnyrigg Rose. Pada waktu sama, Matt sedang mencari bakat baharu untuk pasukannya.
“Saya memang mahu terima tawaran tersebut kerana saya memang meminati sukan bola sepak.
“Namun, saya sedar yang seorang pemain bola sepak terbaik mungkin kerjayanya hanya akan bertahan sehingga usia 30 tahun. Ketika itu saya sudah berusia 23 tahun.
“Saya mengambil keputusan untuk menjadi seorang aktor dan rupa-rupanya itu antara pilihan paling bijak yang pernah saya lakukan,” kata Sean dalam satu temu bual.
Apa yang terakam di sini hanyalah sebaris daripada ribuan lembaran kisah di sebalik kilauan dan kehidupan sebenar seorang bintang bernama Sean Connery.
Tiada lagi ‘bapa perisik terulung’ yang sedia ada atau bakal dilahirkan, satu hal yang utuh di dunia ialah legasi yang ditinggalkan melalui karya dan hasil seninya.
Semoga bersemadi dengan aman, Sir Thomas Sean Connery (1930-2020).















