DARI jauh, kelihatan seorang lelaki sedang berlari laju sambil lengkap memakai sepasang baju Melayu rona merah.
Hujan lebat pada petang itu tidak sedikit pun memudarkan semangat pelari maraton negara, Mohd. Syahidan Alias atau lebih dikenali sebagai Edan Syah untuk mencipta rekod baharu.
Akhirnya pada petang itu iaitu 23 April lalu, Edan berjaya menamatkan larian sejauh 42.2 kilometer (km) dengan catatan masa dua jam 49 minit 22 saat dengan memakai persalinan lengkap baju Melayu, samping dan songkok di bumi London, Britain.
Dengan itu, lelaki tersebut telah berjaya mencipta rekod dunia Guinness World Records bagi larian maraton penuh (42.2km) terpantas dengan berbaju Melayu.
“Satu cabaran luar biasa yang cuba saya lakukan sepanjang penglibatan saya selama 12 tahun dalam arena maraton. Kita berbangga untuk mempersembahkan keunikan baju Melayu di TCS London Marathon 2023.
“Merupakan maraton terbesar melibatkan 40,000 pelari, ia maraton tertua di dunia dan salah satu daripada enam maraton major. Let’s make baju Melayu great again,” tulisnya dalam hantaran di akaun Instagram miliknya sekali gus menjadi tular baru-baru ini.

Edan yang juga merupakan jurulatih @www.sacrun.coach mempunyai rekod larian lebih 30 acara maraton penuh dengan catatan masa terbaik peribadinya dua jam 30 minit.
Malah, lelaki berusia 36 tahun itu juga merupakan pemegang Guinness World Records bagi larian maraton terpantas dengan berpakaian bendera kebangsaan (lelaki) dengan catatan masa dua jam 54 minit 34 saat di Blackmores Sydney Running Festival, Australia pada 16 September 2018.
Bercakap tentang idea berlari sambil memakai baju Melayu, Edan berkata, ia timbul selepas mendapati tarikh larian TCS London Marathon itu jatuh pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya mendapat slot untuk turut sama menyertai London Marathon pada tahun ini dan mungkin ramai yang sedia maklum amat sukar untuk seseorang itu mendapatkan slot bagi acara ini.
“Kemudian, saya menyedari bahawa slot larian ini jatuh pada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan daripada situ, timbul idea untuk memperaga satu set baju Melayu dalam acara berprestij itu,” kata Edan yang menetap di Shah Alam, Selangor kepada K2 selepas kepulangannya dari acara maraton itu.
Ujar Edan, dia teruja kerana mampu mengharumkan nama Malaysia menerusi rekod tersebut, biarpun terpaksa mengorbankan sambutan Aidilfitri di tanah air.
“Saya memang suka untuk mencipta rekod kerana rasa gembira setiap kali dapat membanggakan negara,” ujarnya.
Malah, dia juga mengakui antara objektif larian tersebut adalah kerana dia mahu mempromosikan lagi baju kebangsaan itu di mata dunia.
“Ramai juga yang bertanya kepada saya, sekiranya saya mahu mencipta rekod larian sambil memakai baju Melayu, mengapa saya tidak melakukannya di Malaysia sahaja?
“Namun, objektif saya adalah untuk mempromosikan keunikan baju Melayu ini di peringkat antarabangsa dan saya fikir, acara TCS London Marathon yang jatuh pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini merupakan satu acara signifikan dan tarikh acara tersebut yang kebetulan jatuh semasa Aidilfitri adalah bersesuaian untuk memperkenalkan lagi baju Melayu ini,” jelasnya.
Kongsi Edan, dia juga ada menerima komen daripada warga tempatan di London yang bertanyakan tentang baju Melayu yang dipakainya semasa berlari.
“Ada beberapa peserta yang mendekati saya dan bertanya tentang busana ini. Mereka akui pernah berkunjung ke Malaysia, namun tidak pernah lihat baju Melayu dan tidak tahu bahawa baju Melayu itu merupakan busana kebangsaan kita.
“Maklumlah kerana baju Melayu bukanlah sesuatu yang dipakai setiap hari. Namun, ada juga yang memandang saya dengan pandangan pelik dan menganggap saya ‘tidak normal’ kerana memakai pakaian itu, tetapi saya tidak pedulikannya kerana tahu niat saya adalah untuk membanggakan nama negara dalam mencipta rekod sambil memakai baju Melayu,” katanya.

Ditanya adakah dia berasa selesa berlari dengan memakai sepersalinan baju Melayu lengkap, Edan berkata, baju Melayu merah yang dipakai pada hari itu direka khas menggunakan fabrik yang sesuai untuk acara larian.
“Baju Melayu yang dipakai adalah daripada jenama Bulan Bintang dan pasukan rekaan jenama itu menghasilkan baju Melayu daripada fabrik jersi dengan ciri dry fit yang selesa dipakai ketika berlari.
“Selain itu, songkok yang dipakai itu juga dibuat betul-betul mengikut ukuran kepala saya bagi memastikan ia tidak mengganggu larian,” ujarnya.
Kongsinya lagi, salah satu bentuk latihan sebelum berlari dengan baju Melayu adalah dengan mencubanya sendiri dalam satu acara maraton sejauh lima kilometer anjuran Management and Science University (MSU).
“Sebulan sebelum menyertai TCS London Marathon itu, saya terlebih dahulu ada mencuba menamatkan larian maraton sejauh lima kilometer sambil memakai baju Melayu sedia ada.
“Selepas muncul juara dalam larian itu, saya menyedari bahawa berlari dalam sepersalinan baju Melayu lengkap ini bukan suatu yang mustahil dan selepas itu, kami mula mencari jenama yang boleh hasilkan baju Melayu yang lebih sesuai untuk maraton,” ujarnya.
Cerita Edan lagi, antara cabaran dihadapinya sebagai persediaan acara itu termasuk latihan semasa bulan Ramadan.
“Setiap hari, saya akan jalani latihan pada sebelah malam bermula pukul 10 malam sehinggalah 1 pagi,” kongsinya.














