fbpx
TERDAPAT warga emas yang terpaksa tinggal di rumah orang tua selepas bercerai. – GAMBAR HIASAN

Ramai isteri minta cerai di usia senja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Semakin ramai isteri meninggalkan suami dengan menuntut cerai di usia senja kerana tidak lagi tahan apabila pasangan mereka berlaku curang dan culas memberi nafkah selain tidak lagi sehaluan.

Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, dalam tempoh setahun, lebih 70 pasangan suami isteri berusia 55 tahun ke atas yang datang kepadanya tekad untuk bercerai.

Menurutnya, trend bercerai ketika usia menginjak senja bermula pada tahun 2000 lagi dan jumlah itu dijangka meningkat setiap bulan.

Katanya lagi, kebanyakan masalah berpunca daripada lelaki yang menyebabkan ramai wanita tetap mahu bercerai selepas sesi kaunseling gagal menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Boleh jadi sebelum ini suami curang atau culas bab tanggungjawab dan beri nafkah terhadap keluarga. Disebabkan itu, isteri akan pendam rasa dan menderita lama.

“Ketika ingin berpisah pada waktu muda, anak-anak pula masih kecil, jadi apabila mereka sudah dewasa, rasa ingin hidup bersama dengan suami sudah tiada.

“Mereka akan rasa masa 24 jam itu terlalu lama apabila berduaan selepas pencen atau tidak lagi bekerja. Tiada komunikasi, emosi dan sentuhan kalbu. Jadi mereka anggap buat apa lagi hidup bersama,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Hushim yang mempunyai pengalaman 40 tahun dalam bidang ini memberitahu, satu lagi punca adalah kepimpinan seorang suami dalam rumah tangga langsung tiada.

“Sejak usia muda tidak pernah ajak solat berjemaah, kurang menjadi ketua keluarga dan apabila berusia, masing-masing hidup sendiri.

“Dahulu sibuk menguruskan anak-anak, selepas mereka sudah berusia, rumah semakin terasa kosong,” ujarnya.

Hushim berkata, hanya 10 peratus rumah tangga pasangan yang mendapatkan sesi kaunseling berjaya diselamatkan, manakala yang lain tekad untuk mengakhiri mahligai yang dibina selama berpuluh-puluh tahun.

“Baru-baru ini ada pasangan datang kepada saya. Si isteri usia 60-an, sama umur suami. Anak-anak semua datang sokong ibu bapa mereka bercerai.

“Si anak menghadapi ‘childhood trauma’ kerana sejak usia lima tahun, dia lihat ibunya menangis.
Jadi dia kata lebih baik bercerai sahaja daripada terus terseksa,” katanya.

Tegasnya, kesan penceraian pada usia senja akan menjadikan emosi, keadaan mental serta psikologi seseorang itu terganggu kerana mereka akan mengalami kemurungan serta kesunyian.

Katanya, tiada guna jika mempunyai harta banyak, namun pengakhiran pada usia senja amat menyedihkan sehingga terpaksa menghembuskan nafas terakhir seorang diri.

“Baru-baru ini sudah tiga berita kematian saya terima, semuanya lelaki meninggal seorang diri. Sebelum mereka ‘pergi’, mereka ada merayu kepada saya untuk bantu mereka.

“Tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan kerana isteri-isteri mereka sudah tawar hati. Saya nasihatkan, agar lelaki jangan terlalu tinggi ego sebab isteri sudah banyak mengalah untuk kita.

“Mungkin kerajaan boleh memperbanyakan kursus rumah tangga kepada warga emas ke­rana pada usia itu mereka makin kurang bercakap,” katanya.

PASANGAN warga emas perlu menjalani semula kursus perkahwinan supaya rumah tangga mereka kekal harmoni. – GAMBAR HIASAN

Sementara itu, sikap suami yang culas memberi nafkah, menjadi punca seorang wanita warga emas tekad bercerai selepas 29 tahun berkahwin.

Memikirkan emosi enam anak yang masih kecil sebelum itu, menyebabkan Siti (bukan nama sebenar), 63, terpaksa bertahan dengan perangai suaminya.

Bagaimanapun, keputusan yang dibuat itu menyebabkan kesihatannya semakin merudum kerana tidak pernah memba­yangkan dirinya akan bercerai pada usia emas.

“Jujur kata, saya malu dengan saudara-mara dan kawan-kawan.

“Saya mengalami tekanan pe­rasan beberapa tahun dan pelbagai masalah kesihatan lain. Saya dan bekas suami pun bercerai dalam keadaan tidak baik.

“Selama ini pun saya bertahan dalam rumah tangga kerana memikirkan anak-anak yang masih kecil. Apabila semua sudah besar dan berkerjaya, barulah saya berani berpisah,” katanya

Menurutnya, punca dirinya tekad berpisah kerana suaminya culas memberi nafkah dan suka menggunakan kekerasan terhadap Siti dan anak-anaknya.

Dalam pada itu, Siti turut terkilan kerana waktu senja yang sepatutnya dihabiskan dengan melakukan aktiviti disukai serta beribadah bersama keluarga, tetapi berakhir dengan perpisahan di usia emas.

Katanya yang juga seorang pesara kerajaan, kebanyakan wang simpanannya habis gara-gara menyelesaikan pelbagai tuntutan di mahkamah bersama bekas suami.

“Di usia senja ini patutnya masa dihabiskan dengan beribadah dan luangkan masa bersama keluarga.

“Lain dengan saya, masalah tuntutan bersama bekas suami di mahkamah masih banyak tidak selesai. Banyak wang dan masa dihabiskan begitu sahaja.

“Saya terkilan usia senja saya banyak dihabiskan untuk memikir perkara yang tidak sepatutnya saya fikir. Tetapi saya bersyukur, anak-anak semua bersama saya. Saya dapat kekuatan daripada mereka semua,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN