fbpx
KHAIRUL ANUAR bersama buku nukilannya, Al-Maunah, Syahid itu Mahal Harganya.

Nukilan bekas banduan Al-Maunah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN sudah 23 tahun berlalu, namun dalam minda Khairul Anuar Mohd. Ariffin masih mengingati akan setiap peristiwa yang berlaku sehingga menyebabkan dirinya terpaksa menjadi penghuni penjara untuk satu tempoh masa.

Asbab kepada kejadian tersebut adalah kerana dia merupakan salah seorang ahli kumpulan Al-Maunah yang telah menggemparkan negara pada Julai 2000.

Kumpulan tersebut yang diketuai oleh Mohamed Amin Mohamed Razali nekad melakukan pencerobohan ke atas kem tentera dan melarikan sejumlah besar senjata api bagi melancarkan peperangan dalam tragedi Bukit Jenalik, Sauk, Perak.

Kejadian tersebut melibatkan seramai 29 ahli Al-Maunah. Setelah melalui proses perbicaraan, empat dijatuhi hukuman gantung, 15 orang dipenjara sepanjang hayat dan 10 orang dipenjara 10 tahun.

Kisah yang dilalui oleh Khairul Anuar sesuatu yang boleh diambil iktibar oleh masyarakat.

KHAIRUL ANUAR telah dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun selepas mengaku bersalah terhadap penglibatannya dalam Al-Maunah.
– Foto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Atas sebab itu, dia mengambil keputusan untuk menerbitkan buku bertajuk, Al-Maunah Syahid Itu Mahal Harganya.

“Hasrat untuk menulis buku ini telah ada sejak berada di dalam penjara lagi. Ini kerana, saya rasa ia perlu dikongsi dalam bentuk penulisan.

“Terlalu banyak pengajaran dan pelajaran yang saya dapat terutamanya hal berkaitan perlunya kita ada semakan tentang siapa yang kita ikut supaya tidak terjebak dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang,” terangnya.

Pada mulanya, Khairul Anuar hanya ingin berkongsi pengalamannya ketika berada di dalam penjara.

Bagaimanapun, setelah dia memikirkan kisah Al-Maunah masih menjadi satu tanda tanya bagi masyarakat di luar sana, Khairul Anuar telah menulis beberapa kisah bagi membolehkan pembaca mendapatkan gambaran sebenar.

“Selain kisah di dalam penjara, saya turut menceritakan bagaimana saya boleh menjadi ahli Al-Maunah, melarikan senjata, boleh terpengaruh dan tertipu dengan ketua serta lain-lain lagi.

“Bukan mudah untuk saya membukukan kesilapan yang pernah saya lalui.

“Ini kerana, ia akan membuka kelemahan dan keaiban diri.

“Namun, saya mengambil pendekatan setiap pengalaman itu terkandung ilmu dan hikmah.

“Jadi, ia harus dikongsi sebagai panduan buat generasi akan datang,” katanya.

Berbicara tentang penglibatannya bersama kumpulan Al-Maunah, Khairul Anuar berkata, dia mula bersama dengan kumpulan itu pada awal tahun 1999.

“Ketika itu, saya baru berusia 23 tahun dan mengetahui tentang Al-Maunah melalui iklan di surat khabar.

“Saya tertarik dengan teknik mempertahankan diri kumpulan ini yang dilihat agak unik.

“Ketika bersama kumpulan ini, kami ditayangkan dengan video keadaan di Chechnya dan Bosnia Herzegovina di mana umat Islam diserang.

“Ini secara perlahan menanam semangat juang dan jihad.

“Kami mahu menjadi saf hadapan untuk membela agama jika sesuatu berlaku di Malaysia,” katanya.

Seorang anggota tentera menunjukkan bukti berupa peluru dan senjata yang dirampas daripada kumpulan Al-Maunah di mahkamah semasa sesi perbicaraan.

Sebelum peristiwa di Bukit Jenalik, ahli-ahli Al-Maunah dimaklumkan oleh ketua bahawa akan ada proses bertukar-tukar ilmu bersama pihak tentera.

Ia sebagai persediaan untuk menjadi pejuang bagi mempertahankan negara seandainya diserang oleh musuh.

Berbicara tentang bagaimana tragedi itu boleh berlaku, Khairul Anuar menjelaskan, dia dan ahli Al-Maunah yang lain pada mulanya dipanggil untuk ke Bukit Jenalik bagi menghadiri kursus kerohanian sebagai proses memantapkan kekuatan rohani.

“Kami berkumpul di Bukit Jenalik dan hanya dimaklumkan tentang kursus. Tiada langsung cerita tentang rompakan senjata atau berperang menentang kerajaan.

“Namun, setelah selesai solat isyak, kami dipecahkan kepada dua kumpulan. Saya diarahkan menyertai kumpulan projek dan perlu memakai pakaian tentera.

“Pada ketika itu, ada rasa curiga dalam hati. Namun, saya takut bertanya lanjut kerana bimbang dikatakan tidak sabar dalam menuntut ilmu dan tidak menghormati guru.

“Kemudian kami menuju ke kem tentera,” jelasnya.

Di situlah, bermulanya kisah mereka menceroboh kem tentera, sebelum melarikan senjata api ke Bukit Jenalik.

Ketika perjalanan pulang ke Bukit Jenalik, hati Khairul Anuar meronta-ronta untuk pulang dan keluar daripada kumpulan itu. Namun, dia tidak tahu bagaimana cara untuk keluar.

Setibanya di Bukit Jenalik, sesuatu yang tidak diduga berlaku apabila Mohd. Amin mengisytiharkan jihad untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu.

Kebanyakan ahli berwajah muram dan kelihatan seakan susah hati berbanding hari sebelumnya.

Kemudian, mereka diajar cara bagaimana untuk menggunakan senjata.

Khairul Anuar berkata, dia diarahkan untuk pulang ke Kuala Lumpur untuk mengisytiharkan perang menentang kerajaan menerusi internet.

Menurutnya, dia memiliki latar belakang dalam bidang teknologi maklumat.

Jelasnya, disebabkan itu, dia diarahkan untuk melakukan hal tersebut.

“Dalam hati saya berkata, ia merupakan peluang untuk keluar dari situ. Setelah pulang, saya tidak melaksanakan apa yang diarahkan itu.

“Ketika itu, saya melihat telah heboh hal tentang al-Maunah.

“Pada ketika itu, saya sudah mula takut, sebelum ambil keputusan untuk pulang ke rumah.

“Setelah masuk ke bilik, saya dapati ia telah digeledah oleh pihak polis,” jelasnya.

Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk menyerah diri di balai polis berdekatan.

Pada ketika itu, kes di Bukit Jenalik juga telah selesai dan ahli Al-Maunah yang lain telah menyerah diri.

Khairul Anuar berkata, selepas itu bermulalah proses mereka turun naik mahkamah bagi sesi perbicaraan.

Sewaktu proses perbicaraan berlangsung, dia dan beberapa ahli Al-Maunah yang lain mendapat tawaran daripada pendakwa raya untuk membuat pengakuan bersalah dan hukuman akan diringankan.

“Setelah mendapat nasihat daripada peguam dan keluarga, saya mengambil keputusan mengaku bersalah. Jika saya tidak berbuat demikian, andai saya didapati bersalah hukuman yang harus diterima hanya ada dua iaitu gantung atau penjara sepanjang hayat.

“Saya melakukan solat istikharah sebelum mengambil keputusan mengaku bersalah. Hakim telah menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara kepada saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN