PRIVASI satu istilah merujuk kepada suasana kesendirian, keadaan atau juga situasi tanpa sebarang gangguan, mungkin juga tanpa campur tangan orang lain.
Setiap orang berhak miliki privasi dalam urusan peribadi dan keluarga bagi mengelak sebarang ancaman.
Lebih-lebih lagi dalam dunia serba moden dilengkapi peralatan teknologi hebat yang boleh membuat carian hanya di hujung cari.
Buat pelakon yang sering terlibat dalam naskhah aksi, Farali Khan, dia memilih kehidupan privasi dalam media sosial.
Meskipun sudah berumah tangga pada September lalu, pelakon itu berkecuali daripada menjadikan kisah hidupnya itu sebagai berita terkini, buktinya baru sekitar minggu lalu, Farali terbuka berkongsi momen bahagia kepada umum.
Pemilik nama lengkap Norfara Ali Dad Khan menjelaskan, dia tidak perlu bersungguh-sungguh untuk menunjukkan kehidupan peribadinya dalam laman sosial tetapi harus dilakukan jua demi mengelak daripada fitnah.
Tak ‘tayang’ privasi
Bahkan, laman sosialnya dicipta atas dasar sebagai seorang selebriti yang perlu mempromosikan diri dan naskhah lakonannya.
“Saya kurang berkongsi tentang soal peribadi dalam media sosial dan malas melakukan hantaran status di sana.
“Namun, saya juga memerlukan media sosial kerana terlibat dalam industri hiburan.
“Jadi, mahu atau tidak, saya memang kena tunjuk informasi penting seperti soal perkahwinan kerana risau difitnah,” kata pelakon berusia 34 tahun itu.
Diminta sedikit pencerahan tentang pasangan hidupnya, Farali selesa untuk mengunci mulut tanda tidak mahu mendedahkan identiti suaminya.

Sah bergelar isteri pada 1 September 2022, apa yang lebih membahagiakan Farali kini masa depan ceria sedang terbentang.
Di dadanya kini tergumpal bunga-bunga indah saat disahkan hamil anak pertama beberapa bulan lalu.
“Sekarang usia kehamilan saya baru 28 minggu dan bakal memasuki trimester ketiga.
“Saya sedang menikmati pengalaman mengandung, indahnya anugerah ini terutama sekali dalam melakukan ibadah kerana saya tahu pahalanya berlipat ganda,” ujarnya.
Tempoh balas dendam
Sepanjang tujuh bulan berbadan dua, kakak kepada pelakon Isa Khan itu turut meluahkan kesyukuran apabila tidak mengalami alahan teruk walaupun pada awalnya sering mengelak minum air kosong.
“Sekarang memang rasa macam bercuti dan betul-betul balas dendam makan segala benda yang boleh,” jelasnya yang sempat mengikut kumpulan jemaah tabligh mendekati agama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.
Untungnya, Farali tidak sendirian bahkan aktiviti murni tersebut turut disertai lelaki yang kini bergelar suaminya.
“Semasa PKP, saya banyak mengikuti kelas agama dalam talian kerana dibesarkan dalam keluarga yang tiada darah Melayu. Mak saya keturunan Cina, manakala ayah saya pula Pakistan, jadi apabila besar saya kena belajar sendiri (ilmu agama).
“Kebetulan semasa mengikuti kelas dalam talian, bakal suami (ketika itu) menyertai tabligh,” kongsinya lanjut.

Melihat beberapa status hantaran Instagram Farali yang sering memuat naik gambar bertudung, dia menyifatkan sebagai langkah awal untuk melakukan perubahan ke atas dirinya.
“Alhamdulillah dari situ saya belajar sikit-sikit (agama). Bukan sengaja saya pakai dan tiba-tiba tidak pakai tudung.
“Kadang-kadang saya mahu pakai tudung dua jam sahaja tetapi tetap paksa diri untuk cuba kekalkan sehingga satu hari.
“Dalam Instagram pula, kalau 100 gambar tidak bertudung, manakala dua lagi memakai tudung, saya rasa kurang dosa kalau orang melihat foto saya berhijab,” ujarnya.
Berkongsi perihal kerjaya, Farali kini muncul dengan filem terbaharu berjudul Tujuh Dua Belas selepas kali terakhir muncul dalam naskhah The Assistant tahun lalu.
Filem Aksi
Ujarnya, Tujuh Dua Belas arahan Thorpe Ali berjaya menambat hati dek tawaran banyak babak perlawanan berbanding naskhah terdahulu.
“Kalau filem aksi memang saya akan terima tambah pula naskhah ini memang banyak babak berlawan.
“Saya berlatih berlawan selama dua minggu sahaja, transisi daripada seorang pemain tinju menjadi pesilat bukan satu perkara mudah dilakukan dalam masa singkat,” katanya lagi.
Filem Tujuh Dua Belas yang menjalani penggambaran pada Januari tahun lalu menjadikan kes jenayah penculikan kanak-kanak sebagai subjek penceritaan.
Selain Farali, Tujuh Dua Belas turut dibintangi Johan Asa’ari, Chintya Candranaya dan Adam Darwisyh.














