fbpx
Mohideen (kiri) pada sidang akhbar berkaitan projek tambak laut Pulau Pinang di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, hari ini. Foto IQBAL HAMDAN KOSMO!

CAP rayu Perdana Menteri batal projek tambak laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan perlaksanaan projek penambakan Penang South Island (PSI) yang disifatkan sebagai pembaziran.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader mendakwa, projek PSI turut mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar, keterjaminan makanan, iklim, komuniti nelayan dan demografi Pulau Pinang.

Malah, katanya, tambakan laut itu juga bercanggah dengan rangka kerja dasar Kerajaan Madani di mana salah satu tonggaknya adalah menggalakkan pembangunan mampan.

“Kami merayu kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan untuk tidak menyokong projek PSI dengan memberi dana dan jaminan bagi projek tersebut.

“Anggaran kos bagi penambakan ialah RM16 bilion dan ini boleh digunakan dengan lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin dan terpinggir, menyediakan penjagaan kesihatan dan pendidikan yang lebih baik serta meningkatkan lalu lintas,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat CAP, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumuman projek PSI atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR) telah mendapat kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut Mohideen, pada mulanya, kerajaan negeri Pulau Pinang memberi justifikasi projek penambakan mega itu perlu untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) memandangkan Kerajaan Persekutuan ketika itu yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) tidak menyokongnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN