fbpx
Gambar kiri Nurul Aiman bersama suaminya Izzat Rasydan manakala gambar kanan Ilanizalfa dan suami, Mohamad Fahmi serta anak mereka.

Jodoh cosplay, minat sama cetus keharmonian rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JODOH merupakan sebahagian daripada takdir yang tertulis dalam Lauhul Mahfudz.

Tiada siapa mampu menduga perjalanan hidup seseorang berdasarkan kehendak-Nya.

Bagi pempengaruh costume play (cosplay) berhijab, Nurul Aiman Salim, 27, pertemuannya bersama suami, Izzat Rasydan Badrol Hisham, 25, bagaikan satu kisah anime menjadi nyata.

Walaupun mereka dipisahkan dua negeri berbeza, namun minat terhadap seni penggayaan kostum cosplay berjaya menyatukan pasangan merpati sejoli itu.

Wanita kecil molek itu mengakui dia tidak pernah meletakkan pengamal cosplay sebagai salah satu kriteria untuk menjadi pasangannya.

“Pada saya, jodoh ini urusan Tuhan. Saya menyertai aktiviti cosplay kerana minat mendalam terhadap anime dan tertarik dengan seni penggayaan cosplay itu sendiri.

“Bercinta dengan cosplayer membolehkan kami berkongsi minat sama. Tapi tidak sangka kami ada jodoh.

“Cuma bonusnya di sini, kami boleh menggayakan watak berpasangan.

“Tiada batasan kerana sudah nikah,” jelasnya yang menikahi jejaka dari Kuala Lumpur itu pada 2021.

AI NURUL bersama suami menyambut kelahiran cahaya mata pertama mereka pada April lalu.

Dikenali sebagai Ai Nurul, gadis kelahiran Johor itu pernah mencetus fenomena media di dalam dan luar negara apabila muncul sebagai cosplayer berhijab.

Kemunculan Ai Nurul pada mulanya mencetuskan kecaman dari pelbagai sudut, namun wanita itu enggan mengambil peduli.

Berkat kecekalannya, Ai Nurul kini sering menerima jemputan untuk membuat kemunculan di pelbagai platform.

Antaranya, Ai Nurul dilantik menjadi duta jenama kanta sentuh, Sweetycon dan cosplay jemputan pada acara Comic Fiesta tahun lalu.

Comic Fiesta merupakan salah satu acara animasi, komik dan permainan (ACG) terbesar dan paling lama berlangsung di Asia Tenggara.

Dedah Ai Nurul, dia yang baru melahirkan cahaya mata pertama pada awal April lalu sudah ditempah untuk acara AniManGaki pada Ogos nanti.

“Saya hanya membuat kemunculan sama ada di workshop, dekat booth atau platform online untuk mencari pendapatan sampingan.

“Kadang-kadang saya teman suami yang memasuki pertandingan cosplay. Namun, saya hanya berpakaian biasa,” jelas isteri kepada eksekutif di sebuah syarikat pengurusan majlis di Puchong, Selangor itu.

Menyentuh soal cosplay selepas berkahwin dan mempunyai anak, Ai Nurul tidak menolak kebarangkalian untuk menjadikan hobi mereka itu sebagai aktiviti keluarga.

Gambar perkahwinan Ila dan Fahmi.

Akui Ai Nurul, kebanyakan pakaian cosplay yang diperagakan mendapat sentuhan daripada ibunya yang merupakan seorang tukang jahit.

Katanya, ini secara tidak langsung membuatkannya menyimpan cita-cita untuk mencipta memori indah bersama keluarga kecilnya nanti.

Naratif berbeza buat seorang lagi pengamal cosplay berhijab, Ilanizalfa Mubaraq Kamarudin, 34, yang bertemu jodoh dengan bukan cosplayer, Mohamad Fahmi Nazuli, 32.

Benar kuasa cinta itu hebat kerana Mohamad Fahmi tidak menolak untuk bersama-sama menggayakan watak animasi bersama isteri tercinta.

Ilanizalfa yang merupakan seorang pengurus kewangan di sebuah syarikat swasta meminati seni penggayaan kostum sejak menyertai acara Comic Fiesta pada tahun 2012.

“Suami saya pada asalnya bukan cosplayer.

“Tapi, dia suka teman saya ke acara-acara ACG dan cuba ‘masuk’ dengan minat saya.

“Tapi saya akan ambil pandangan suami dahulu sebelum buat keputusan untuk memperagakan sebarang karakter agar keputusan dibuat itu secara bersama,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2019.

Pada sesi penggambaran praperkahwinan, pasangan dari Johor itu bersetuju untuk memakai pakaian Naruto sebagai persalinan tambahan kepada busana perkahwinan biasa.

Tidak terhenti di situ, mereka juga memilih Jepun sebagai negara untuk pergi berbulan madu.

Ketika di sana, mereka berkesempatan melawat taman tema animasi popular, Tokyo One Piece Tower.

Pasangan tersebut turut menamakan anak mereka Adel Ayumi iaitu bersempena minat terhadap budaya Negara Matahari Terbit itu.

Dalam satu perkongsian di media sosial, Ilanizalfa sekeluarga dilihat mengenakan kostum animasi Spy X Family pada acara Cosplay Ball 2023 di Forest Valley Hall Bandar Mahkota Cheras, Selangor.

Menurut Ilanizalfa, dia hanya membawa anaknya bersama sekiranya mereka menghadiri acara ACG yang diadakan secara tertutup.

“Selalunya kalau saya pergi acara terbuka atau menjadi vendor, saya tidak akan bawa anak saya.

“Ini kerana, acara sebegini tidak sesuai untuk anak yang masih kecil.

“Hanya pada acara tertutup seperti Cosplay Ball ini, saya akan bawa dia bersama.

“Itu pun hanya untuk suka-suka,” katanya yang turut menjual hasil seni pada acara ACG.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN