ANAK Malaysia pertama menggenggam trofi Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh pulang ke tanah air sebagai tanda apresiasi buat para penyokong yang senantiasa memberi dukungan dalam naratif seninya yang kian mekar di Hollywood.
SEBAGAI anak Malaysia pertama yang berjaya menggondol trofi kebanggaan dunia seni global, Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh memiliki banyak pandangan tentang pelbagai perkara.
Tidak hanya ingin mengukuhkan namanya sebagai aktres Hollywood, Michelle atau nama sebenarnya, Yeoh Choo Kheng, 61, juga ingin melihat industri kreatif Malaysia berkembang selayaknya.
Kata pelakon filem Everything Everywhere All at Once, Malaysia mempunyai banyak potensi untuk berkembang maju dalam dunia perfileman, namun untuk memastikan impian tersebut terlaksana, banyak perihal yang perlu dikerjakan dengan semangat kebersamaan antara pelaku industri seni.
“Satu perkara yang unik tentang Malaysia adalah masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita hidup bersama dan hormat budaya masing-masing.
Uniknya Malaysia
“Saya rasa, itu yang secara asasnya membuatkan saya menjadi seorang yang mampu bersaing di peringkat global atau antarabangsa.
“Ke mana-mana sahaja saya pergi, saya tak nampak sebarang perbezaan. Saya lihat bagaimana saya boleh belajar daripada orang lain,” katanya.
Ujar anak kelahiran Ipoh, Perak itu lagi, kelebihan yang dimiliki Malaysia seharusnya digunakan sebaik mungkin.
Hal ini kerana, tidak semua negara luar bertuah memiliki keistimewaan seperti apa yang dipunyai bumi bertuah ini.
“Di sini (Malaysia), kita belajar daripada kawan-kawan berlainan bangsa iaitu Melayu, India dan Cina. Dahulu ada satu iklan dibuat seorang pengarah yang telah pun meninggal dunia (merujuk Allahyarham Yasmin Ahmad). Saya lupa namanya.
“Ada babak seseorang bertanya sekumpulan kanak-kanak apa bangsa mereka. Saya ingat ada budak Melayu, Cina dan India. Mereka duduk bersama dan terpinga-pinga dengan soalan tersebut.
“Mereka tak rasa diri mereka berbeza. Mereka faham di Malaysia ada bermacam-macam budaya dan pegangan agama. Tak macam negara lain, Malaysia ada banyak cuti panjang untuk disambut.
“Kita ada hari raya Aidilfitri, Thaipusam, Tahun Taharu Cina dan bermacam lagi. Kita memang berbeza tapi itulah keindahan negara kita. Perlu sama-sama raikan perbezaan bersama untuk maju ke hadapan,” jelas Michelle.
Terbuka bekerja di Malaysia
Melanjutkan bicara, Michelle yang mula dikenali di pentas antarabangsa menerusi filem Yes, Madam menzahirkan kesediaan dan keterbukaan untuk bekerja dengan mana-mana produksi tempatan asalkan mereka mempunyai keinginan untuk berjaya.
Beliau percaya, orang Malaysia memiliki banyak bakat yang perlu didendangkan kepada dunia, namun untuk itu terjadi, mereka perlu diberikan peluang seluasnya.
“Kita perlu berani dan bersemangat. Percaya pada diri bahawa kita semua boleh lakukannya.
“Banyak masa kita lebih suka duduk dalam zon selesa dan berfikiran, buat filem untuk pasaran kita sahaja.
“Pada saya, bila buat filem perlu pergi ke peringkat global. Tak perlu dibuat untuk ini dan untuk itu. Kemudian, barulah kita boleh bercakap tentang ‘bahasa’ global.
“Saya tahu ramai pembikin filem hebat di negara ini. Pertama sekali, kita kena cari peluang dan platform untuk menunjukkan bakat kita semua.
“Saya memang nak bekerja dengan pengarah seni atau studio di negara ini, dengan karyawan yang mampu buat perubahan dan yang boleh bergerak ke hadapan,” ujarnya ketika ditemui media pada sidang akhbar di ibu negara, beberapa minggu lalu.
Kesunyian, kerinduan
Memulakan langkah dalam bidang hiburan apabila memenangi pertandingan ratu cantik, Miss Malaysia World pada 1983 sebelum membawa diri ke luar negara demi mengejar impian sebagai bintang antarabangsa, telah banyak kesukaran yang ditempuhi Michelle.
Ketika bertemu media tempatan, Michelle meluahkan perjalanan seninya di luar negara bukan sentiasa mudah.
Sebagai orang minoriti, adakala dia dihimpit kesunyian saat mencari rezeki di negara orang, namun digagahinya jua demi menggapai impian.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada kalian semua kerana sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan.
“Saya dapat rasakan sokongan kalian semua. Saya dengar bunyi ngauman. Satu perjalanan yang sukar sebenarnya. Kadang-kadang, saya rasa sunyi dan rasa bimbang sebab berada di negara orang.
“Tiada siapa antara kita yang pernah tercalon (di Oscar) sebelum ini dan tiada siapa pernah merasai perasaan berada di posisi itu.
“Saya sangat bersyukur. Saya dengar kalian semua berteriak memberi sokongan tempoh hari di sini. Bayangkan apa akan jadi, kalau saya tak menang hari itu,” katanya.
Lama berkelana di negara orang, Michelle tidak menafikan antara perihal yang dirinduinya adalah juadah di Malaysia yang sangat enak dan tiada tandingan.
Ditemui media tempatan di Hotel Pavilion, beliau berkata, akhirnya sudah melempiaskan rasa kerinduan terhadap juadah popular Malaysia.
“Saya dah makan laksa kari, nasi lemak dan nga choy kai. Hor fun juga saya dah nikmati di sini. Sebab itu, sekarang saya dah gemuk sedikit,” katanya berseloroh.














