ALOR SETAR – Seorang pekerja kilang nekad menuntut cerai secara fasakh selepas mendakwa terseksa dengan suaminya yang dikatakan mempunyai nafsu luar biasa ketika melakukan hubungan intim.
Peguam syarie, Fahmi Ramli berkata, wanita berusia 34 tahun itu juga mengakui hidup tertekan selama berumah tangga dengan suaminya yang merupakan seorang penagih air ketum dan syabu.
“Wanita terbabit memfailkan perceraian secara fasakh ke atas suami yang merupakan penagih dadah jenis syabu tahap ekstrim.
“Si suami juga merupakan penagih tegar air ketum selain didakwa turut menjalankan bisnes air tumbuhan itu. Peti ais di rumah pasangan itu juga didakwa hanya dipenuhi dengan air ketum,” katanya.
Katanya, anak guam juga mendakwa sering terseksa apabila suaminya mempunyai nafsu luar biasa ketika melakukan hubungan intim.
“Anak guam beritahu, suaminya hanya fikir mahu melakukan hubungan intim dan lakukan berkali-kali dari tengah malam hingga subuh.
“Sampai satu ketika, anak guam saya mengalami kecederaan pada kemaluan akibat tindakan ganas suami,” ujarnya.
Katanya, wanita terbabit merupakan ibu tunggal anak dua sebelum mendirikan rumah tangga dengan suami baharunya yang ketika itu anak teruna.
Mereka kemudian dikurniakan seorang anak.
Menurutnya, akibat tidak tahan berdepan perkara sama hampir setiap hari, wanita terbabit kemudian membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat nasihat peguam sebelum memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah.
“Kes ini bagaimanapun berdepan kesukaran kerana anak guamnya tidak mempunyai bukti kukuh untuk membuktikan suami seorang penagih dan berkelakukan keji.
“Si isteri tidak ada pembuktian yang kuat kerana suami tidak ditahan atas kesalahan dadah, tetapi pada akhirnya lelaki terbabit mengaku segala dakwaan isteri terhadapnya termasuk berkaitan dadah di mahkamah adalah benar,” jelasnya.
Tambahnya, mahkamah seterusnya meluluskan tuntutan fasakh anak guamnya.














