fbpx
WAHI gembira menerima kepulangan sebahagian anak-anak dan cucunya di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu semalam. – PUQTRA HAIRRY

Ibu tunggal teruja, tunggu 10 anak, 24 cucu pulang beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Seorang ibu tunggal teruja menunggu kepulangan kesemua 10 anaknya serta 24 cucu dan sejak awal Ramadan lagi, dia tidak berhenti berdoa agar mereka selamat dalam perjalanan pulang ke kampung.

Wahi Ali, 68, dari Kampung Pulau Rusa di sini berkata, kepulangan anak dan cucu-cucu tersayang untuk menyambut hari lebaran menjadi detik paling manis dan akan meninggalkan kenangan terindah buatnya.Boleh bayBoleh

Katanya, raya kali ini sangat bermakna apabila tahun ini adalah giliran tujuh anak lelaki dan tiga anak perempuannya berusia antara 31 hingga 48 tahun pulang ke kampung untuk bersama-sama meraikan hari istimewa itu.

“Tiada apa yang saya harapkan selain kepulangan anak-anak dan cucu-cucu yang memeriahkan suasana hari raya di kampung.

“Itulah momen yang sangat istimewa kerana mereka semua diberikan kesihatan baik, kesempatan waktu dan rezeki untuk pulang menjenguk saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Rusa di sini semalam.

Wahi memberitahu, pelbagai juadah raya istimewa akan disediakan antaranya ketupat, rendang, tapai dan makanan tradisional rakyat Terengganu iaitu nasi dagang.

Wahi berkata, anak-anaknya sa­ngat menggemari semua menu tersebut sebagai pelengkap untuk menyerikan lagi sambutan Aidilfitri.

“Sejak dari kecil lagi, saya memang biasakan anak-anak untuk turut sama menolong di dapur bagi membuat persiapan pelbagai menu hari raya dan setelah berkahwin serta mempu­nyai anak, cucu juga kini sama-sama membantu di dapur.

“Alhamdulillah, juadah raya yang disediakan menjadi pengikat kasih sayang dan dapat dinikmati seisi keluarga serta dihidangkan kepada tetamu yang bakal berkunjung ke rumah kami,” ujarnya.

Menurutnya, tradisi untuk memasak bergotong-royong setiap kali menjelang Aidilfitri sudah lama diamalkan keluarga mereka untuk mengeratkan hubungan.

“Walaupun ada yang mencadangkan agar membuat tempahan katering untuk jamuan raya memandangkan keluarga kami agak besar, saya lebih suka membuatnya sendiri.

“Saya percaya air tangan masakan itulah yang akan menjadi kerinduan anak dan cucu apabila saya tiada nanti,” ujarnya.

Di Sungai Petani, Kedah, keterujaan menanti kepulangan anak-anak bukan sahaja melibatkan kaum ibu yang bertungkus-lumus menghias rumah, malah kaum bapa yang sibuk menyediakan pelbagai juadah raya.

Bagi penduduk Taman Ria Jaya di sini, sambutan Aidilfitri kali ini amat bermakna apabila mereka berpakat untuk membakar lemang bagi menyambut kepulangan anak masing-masing.

Sipanot Salim, 52, berkata, dia dan isterinya, Latipah Che Yob, 51, teruja apabila menerima perkhabaran anak sulung mereka, Nur Syazuarina, 28, yang be­kerja di sebuah syarikat swasta di Sarawak akan pulang beraya tahun ini.

“Anak kami telah dua tahun tidak pulang beraya kerana ke­sibukan tugas berbanding kali ini apabila majikannya meluluskan cutinya untuk berhari raya di kampung.

“Kami masak lemang bersama rendang yang merupakan makanan kegemarannya selama ini,” ujarnya.

Penduduk bergotong-royong memasak lemang bagi menyambut kepulangan anak perantau di Taman Ria Jaaya, Sungai Petani semalam.

Pesara tentera, Zakaria Ariffin, 67, pula berkata, dia berpakat dengan jirannya di taman perumahannya untuk menyediakan lemang sebagai menyambut anak, menantu dan cucunya pulang beraya esok.

Kata Zakaria, anaknya, Mohammad, 40, adalah seorang anggota tentera yang berpengkalan di Kuala Lumpur dan kali ini dia mendapat kelulusan bercuti berbanding tahun lalu kerana bertugas menjaga sempadan negara.

“Kami bergotong-royong menyediakan 150 batang lemang dan akan diagihkan kepada jiran-jiran untuk dijadikan juadah menyambut kepulangan anak mereka beraya di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Suhaimi Tayeb, 62, berkata, dia sama seperti rakannya teruja menanti kepula­ngan dua orang anak lelaki dan menantunya beraya bersama keluarga di sini.

“Sebelum ini mereka bergilir beraya di rumah mentua masing-masing dan kali ini giliran beraya bersama kami pula.

“Bagi memeriahkan sambutan kepulangan mereka, saya turut menyediakan lemang yang akan dimakan bersama rendang selain kuih-muih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN