fbpx
Rumah tangga pasangan ini diserikan dengan cahaya mata perempuan, Rina.

Makna Aidilfitri Maryam You Narae

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAKDIR penentu segalanya. Demikian ungkapan paling sesuai buat selebriti media sosial dan juga YouTubers berasal dari Korea Selatan ini.

Sebelum memutuskan dan membuat pengorbanan terbesar dalam hidupnya dengan memeluk agama Islam, You Narae hanyalah seorang gadis desa biasa yang mengusahakan gerai menjual kuih walnat bersama ibu saudaranya.

Pun begitu, takdir merubah segalanya apabila Allah menemukannya dengan jejaka Melayu kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim sekitar lima tahun lalu.

Ketika awal perkenalan, Nik Muhammad Rizal atau mesra disapa sebagai Ryzal menawarkan untuk mengajar bahasa Inggeris secara percuma kepada You Na-rae atau kini dikenali dengan nama Islamnya, Maryam You Narae dengan syarat wanita itu sudi mengajarnya bahasa Korea.

Bermula daripada hubungan ‘guru dan pelajar’, keakraban yang terjalin menjadikan masing-masing hilang rasa janggal untuk berkongsi kisah peribadi.

Lebih bermakna, apabila hati kecil wanita itu terbuka untuk mengenali Islam setelah berkenalan dengan Ryzal yang pada ketika itu merupakan seorang pelajar jurusan kewartawanan di salah sebuah universiti di negara tersebut.

“Jujur saya katakan, keperibadian Ryzal yang tidak terlalu mendedahkan gaya hidup Islam secara berlebihan, malah berfikiran terbuka membuatkan saya jatuh hati dengannya.

“Ketika awal perkenalan kami cuma rakan biasa, tetapi entah bagaimana, mula wujud perasaan sayang. Ryzal juga seorang yang sangat protective (melindung) dan memahami saya,” katanya.

Nama Maryam mula menjadi perhatian dan bualan netizen di Malaysia menerusi video-videonya mempelajari bahasa Melayu yang dimuat naik menerusi saluran popular Duriankimchi TV di YouTube.

Saluran itu adalah simbol kisah cinta unik seorang wanita Korea, Maryam yang meminati durian dengan jejaka Melayu, Ryzal yang meminati kimchi. Sejak itu juga, Maryam kian dikenali sebagai pempengaruh di negara ini.

Duriankimchi telah meraih pelbagai anugerah antaranya The Best Vlog in Youtubrity Malaysia Awards 2021, Top 10 Influencer in Malaysia 2020 dan Inspiring Influencer 2022 Kelantan Business Entrepreneur Award.

Menyorot kembara hijrahnya sebagai saudara baharu, ceritanya, Ramadan empat tahun lalu menjadi detik permulaannya mendekatkan diri dengan Islam.

Katanya, dia mula tertarik dengan hati yang paling luhur untuk mempelajari Islam setelah melihat kegembiraan keluarga Ryzal dan rakan-rakan Muslimnya berpuasa.

“Timbul pertanyaan dalam diri mengapa mereka gembira dan tidak sabar menyambut Ramadan sedangkan mereka terpaksa berlapar tanpa makan dan minum?

“Sejak dari itu, saya mula mencari jawapan tentang persoalan puasa buat pertama kali dalam hidup saya,” ujarnya.

Sebagai pempengaruh, video-video Maryam sering tular dan meraih perhatian di media sosial.

Tanggal 11 Julai 2019 iaitu sebulan selepas umat Islam menyambut Aidiladha, dia melakukan pengorbanan terbesar dalam dirinya apabila dengan yakin dan ikhlas hati melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Imam di Masjid Itaewon, Seoul.

Kembara hijrah Maryam mencari keredaan Yang Maha Esa turut mendapat sokongan ibu tercinta yang gembira melihat kebahagiaan anaknya.

Kira-kira sebulan selepas memeluk Islam, Maryam sekali lagi mengambil keputusan terbesar dalam hidupnya apabila bernikah dengan Ryzal pada 15 Ogos tahun sama atas dasar cinta.

Namun, akui Maryam, 31, tidak semuanya berjalan mudah apabila ada rakan-rakan mempertikaikan hal tudung, pengharaman makan daging khinzir, mengambil minuman keras dan sebagainya.

“Pada awalnya, jujur saya berasa tidak selesa kerana hal itu dianggap kurang sopan dan tidak menghormati budaya masyarakat Korea, tetapi lama-kelamaan, mereka faham.

“Saya juga saudara baharu. Pasti banyak kelemahan dan kekurangan yang datangnya daripada saya sendiri. Tetapi, hari demi hari saya belajar untuk terus istiqamah sebagai seorang Muslim tanpa rasa jemu hingga sudah sebati,” katanya.

Selepas bernikah dan dua tahun hidup bersama di negara keduanya, Malaysia, kehidupan Maryam dan suami diserikan dengan kelahiran puteri sulung, Rina pada Oktober 2021.

Kelahiran zuriat tersebut menyerikan lagi rumah tangga pasangan tersebut yang kini bergelar ibu dan ayah.

Menyentuh mengenai Aidilfitri tahun ini, Maryam memberitahu, dia bakal beraya di Kelantan, kampung tanah kelahiran suaminya untuk kali kedua selepas bernikah.

Ujarnya, mereka sekeluarga akan pulang ke kampung selama seminggu bagi beraya bersama keluarga besar Ryzal sebelum pulang ke ibu kota.

“Saya memang tidak sabar tunggu Aidilfitri kali ini. Kalau ditanya apa makna sebenar raya bagi saya, jawapannya senang iaitu makan, makan dan makan. Jangan terkejut kalau saya katakan saya ‘hantu’ sate, nasi himpit bersama kuah kacang dan nasi dagang. Itulah tiga menu kegilaan saya sejak memeluk Islam dan beraya di sini,” katanya teruja.

Jelas Maryam lagi, tiap kali dia pulang ke kampung terutama ketika Aidilfitri ataupun Aidiladha, dia dilayan saling tidak tumpah umpama permaisuri.

“Manakan tidak, bila saya nak bantu masak di dapur, adik-beradik Ryzal dan saudara-mara lain tidak beri. Mereka nak saya rehat terutama bila sudah ada anak.

“Jadi, tugas saya apa lagi kalau bukan makan? Pada awalnya memang agak sukar juga nak terima juadah di sini terutama ketika hari raya, tetapi lama- kelamaan sudah terbiasa.

“Sejak bernikah dan ikut Ryzal pulang ke Malaysia, saya dengan sendirinya menyesuaikan cara hidup di sini. Pada awalnya memang agak sukar, tetapi lama- kelamaan okay saja. Sekarang nak makan makanan Korea pun tak begitu teruja,” katanya.

Kongsi Maryam yang turut terlibat sebagai duta jenama tudung ternama, dia juga tidak sabar mahu mengunjungi sanak saudara sebelah suaminya Aidilfitri ini.

“Selain berbaju kurung dan mengenakan pakaian cantik di hari raya, saya juga seronok mengunjungi rumah sanak saudara di Kelantan.

“Walaupun sehari suntuk dari pagi sampai tengah malam beraya, tapi saya seronok dan tidak pernah bosan kerana tak pernah merasainya ketika di Korea,” katanya yang mengakui sebelum ini bersifat introvert dan kurang keyakinan diri.

Di akhir bicara, Maryam mengakui masih banyak mengenai Islam yang sedang dia pelajari termasuk cara bertudung dan menutup aurat.

Pun begitu, jauh di sudut hatinya meminta agar saudara seagamanya yang lain tidak pernah putus mendoakan dirinya agar sentiasa istiqamah.

Pesannya kepada yang ingin memeluk Islam, perjalanan sebagai saudara baharu bukanlah mudah, namun pengorbanan dalam mencari reda Ilahi itu pasti dipermudahkan jika berbekalkan niat yang ikhlas dan jujur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN