MELAKA – Wanita yang terdesak untuk bercerai dan tidak mahu mengambil peguam untuk menjimatkan kos akan mudah terpedaya dengan ‘ulat’ mahkamah yang mengenakan caj lebih tinggi dan berisiko cacat pada penyediaan dokumen.
Peguam Syarie, Rosmainie Rofiee berkata, ulat mahkamah menggelarkan diri mereka perunding dengan menawarkan bantuan penyediaan dokumen tuntutan kepada pihak terlibat dan mengenakan caj dua kali ganda sehingga RM6,000.
Katanya, campur tangan ulat mahkamah akan menyulitkan lagi prosiding apabila maklumat dalam dokumen yang disediakan tak lengkap dan salah.
“Ada wanita terpedaya apabila ulat mahkamah meminta kos pengdokumentasian dua kali ganda berbanding kos standard untuk mengupah peguam swasta bagi pengurusan sebuah kes.
“Mereka mengenakan caj bermula RM3,000 hanya untuk dokumen sedangkan ia boleh didapati di laman web atau salinannya didapati daripada jabatan pendaftaran,” katanya.
Menurut Rosmainie, alasan penuntut ialah mereka menggunakan khidmat ulat mahkamah kerana ingin menjimatkan kos lantikan peguam.
“Wanita yang terdesak akan membayar RM6,000 berbanding kos upah peguam sekitar RM3,000.
“Pergerakan ulat mahkamah ini memang sukar dikawal dan mereka ini menyasarkan golongan yang kurang berpengetahuan mengenai tuntutan-tuntutan syariah dan warga emas,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie, Wan Ahmad Qushairi Adzmi berkata, penuntut perlu bijak mencari peguam bersesuaian dengan kemampuan.
“Jika datang mahkamah lafaz cerai terus mudah. Tetapi masalah berlaku bila talak tidak dilafazkan dan penuntut perlu membuat tebus talak, hakam dan fasakh.
“Kos mahkamah bagi lafaz terus RM2,000 tetapi bagi kes rumit seperti fasakh perlukan RM5,000 bergantung kepada kesukaran dan perjalanan prosiding. Jika di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur akan makan masa bertahun,” katanya.
Menurut Wan Ahmad, kos boleh mencecah puluhan ribu ringgit jika tuntutan dilakukan secara berasingan seperti anak, hadanah, mut’ah dan, nafkah, iddah dan harta sepencarian.
“Ada kes cecah RM25,000 kerana berlaku perbicaraan panjang dan melibatkan kos kehadiran dan peralatan yang dikenakan sebahagian peguam,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, kos menjadi tinggi kerana beberapa faktor seperti senioriti, pengalaman, kesusahan atau kerumitan sesuatu kes, jarak serta kedudukan lokasi.
“Selain itu, ia juga melibatkan peringkat mahkamah sama ada Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Utama (di Perak sahaja),” katanya.
Menurut Musa, apabila seorang wanita itu berjumpa peguam syarie dan diberikan sebut harga fi guaman, individu terbabit mempunyai pilihan sama ada hendak bersetuju atau mencari 5,000 lagi peguam yang harganya lebih munasabah. -KOSMO! ONLINE
















